60% Pencarum KWSP Mampu Capai Tahap Simpanan Asas Pada 2030

KONGSI

Kementerian Kewangan baru-baru ini berkongsi statistik yang cukup menggembirakan buat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dianggarkan 60% daripada pencarum berpotensi mencapai tahap simpanan asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030. 

Berapa Ramai Sebenarnya yang Sudah Capai Sasaran?

Statistik terkini menunjukkan bahawa 3.1 juta pencarum KWSP (iaitu 41.2% daripada pencarum aktif warganegara Malaysia berusia 18 hingga 55 tahun) sudah mencapai tahap simpanan asas pada akhir 2025.

Ini bermakna, masih ada 4.42 juta pencarum yang belum mencapai sasaran tersebut. Angka ini mungkin kedengaran besar, namun kerajaan dan KWSP sedang bekerjasama untuk membantu lebih ramai rakyat mencapai target tersebut.

Kenapa Angka RM390,000 Penting untuk Anda?

Untuk pengetahuan anda, angka RM390,000 bukanlah satu nombor yang dipilih secara rawak. Ia adalah tahap simpanan minimum yang dirancang untuk memastikan pencarum mempunyai duit yang mencukupi selepas bersara.

Bayangkan anda bersara pada usia 60 tahun dengan RM390,000 dalam tangan. Dengan pengurusan kewangan yang bijak, jumlah ini boleh membantu anda untuk meneruskan kehidupan selepas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap sebagai pekerja.

Inilah sebab kenapa kerajaan sangat fokus untuk memastikan rakyat mencapai target tersebut.

Apa Langkah-Langkah yang Diambil?

Kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu pencarum mencapai target ini seperti:

Penanda Aras Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA)

Ini adalah alat panduan yang membantu anda menilai sama ada simpanan anda sudah cukup sebelum membuat keputusan pengeluaran. Fungsinya adalah untuk menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang yang lebih bijak dan mengurangkan pengeluaran awal yang tidak perlu.

Penstrukturan Akaun Fleksibel

KWSP telah memperkenalkan sebuah akaun yang lebih fleksibel iaitu Akaun 3 untuk memberikan pilihan kepada pencarum. Ini dapat membantu anda dalam mengurus dan mengambil kawalan atas simpanan anda.

Program Sumbangan Sukarela

Jika anda mempunyai pendapatan tambahan, anda boleh membuat sumbangan sukarela melalui program i-Simpan, i-Saraan, dan i-Topup. Ini adalah cara yang bagus untuk meningkatkan simpanan anda dengan lebih cepat.

Pertumbuhan Positif dalam Sektor Formal

Dalam pada itu, Amir Hamzah turut memaklumkan bilangan majikan yang berdaftar dengan KWSP meningkat sebanyak 4.2% kepada 640,391 pada Disember 2025.

Katanya, manakala bilangan pekerja sektor formal bertambah 3.3% iaitu sebanyak 8.2 juta. Ini menunjukkan ekonomi semakin kukuh dan lebih ramai orang mempunyai pekerjaan formal dengan perlindungan KWSP.

Sumbangan tahunan pencarum KWSP juga meningkat kepada RM120 bilion pada 2025, iaitu 12% lebih tinggi daripada RM107.1 bilion pada 2024.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments