Cubaan Scam Semakin Berkurang, Tetapi Anda Tetap Perlu Berwaspada
RinggitPlus mengumumkan satu dapatan terkini daripada RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) 2024. Iaitu, kajian tahunan yang meneliti tabiat, cabaran dan pandangan rakyat Malaysia terhadap pengurusan kewangan peribadi.
Keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan positif dalam beberapa aspek penting, termasuk kesejahteraan dan keselamatan kewangan. Namun begitu, dapatan ini juga menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh literasi kewangan digital di seluruh negara.

Kajian mendapati lebih ramai rakyat Malaysia kini berdepan dengan kurang cubaan penipuan kewangan berbanding tahun lalu. Sebanyak 38% responden melaporkan menerima kurang cubaan penipuan atau scam. Serta peratusan keseluruhan yang pernah mengalami cubaan penipuan turut menurun kepada 86% berbanding 94% pada tahun 2023.
Ini merupakan satu perkembangan positif yang membuktikan usaha kesedaran awam oleh badan-badan kerajaan mula menunjukkan hasil. Terutamanya menerusi kempen Jangan Kena Scam yang diiktiraf oleh 56% responden sebagai sebab mereka berjaya mengelak daripada menjadi mangsa.

Namun, masih ramai yang kekal terdedah kepada risiko penipuan. Seramai 32% responden mengakui mereka tidak pasti apa tindakan yang patut diambil atau siapa yang perlu dihubungi jika terkena scam. Contohnya seperti panggilan penyamaran atau mesej transaksi mencurigakan. Situasi ini menjadi lebih membimbangkan apabila semakin ramai rakyat Malaysia bergantung pada teknologi digital dalam urusan kewangan harian.
Sebanyak 95% responden kini menggunakan sekurang-kurangnya satu e-dompet, meningkat berbanding 91% pada tahun 2023 dan 89% pada tahun sebelumnya. Di samping itu, 45% sudah mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun bank digital, manakala 26% lagi merancang untuk membukanya dalam masa terdekat. Pembelian insurans dan takaful secara dalam talian juga semakin mendapat sambutan, dengan 29% menyatakan mereka lebih gemar menggunakan kaedah ini.
Apa yang membimbangkan ialah peningkatan kepercayaan terhadap media sosial sebagai sumber maklumat kewangan utama. Skor kepercayaan terhadap platform media sosial meningkat daripada 3.7 kepada 4.0. Ini menunjukkan pentingnya usaha memperkukuh literasi kewangan digital agar rakyat dapat mengenal pasti maklumat palsu dan melindungi diri daripada scam.
Detik Perubahan Bagi Kesejahteraan Kewangan Rakyat Malaysia

Tahun ini juga mencatatkan kemajuan dalam tiga indikator utama yang mencerminkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia. Kajian mendapati semakin ramai rakyat mampu menyimpan lebih banyak wang setiap bulan. Dengan 33% responden melaporkan mereka menyimpan lebih daripada RM500 sebulan, berbanding 29% tahun lalu. 39% pula menyatakan mereka mampu bertahan selama 4 bulan atau lebih sekiranya kehilangan sumber pendapatan, naik daripada 33% tahun sebelumnya. Tambahan pula, 47% mengatakan keadaan kewangan mereka lebih baik berbanding tahun lepas.
Wanita Malaysia turut mencatatkan peningkatan dari segi ketahanan kewangan. Kajian menunjukkan peningkatan sebanyak 3% dalam kalangan wanita yang menyimpan lebih RM500 sebulan. Manakala, peningkatan 8% wanita yang mampu bertahan tanpa pekerjaan selama 4 bulan atau lebih. Penurunan 3% wanita yang hidup dari gaji ke gaji, serta peningkatan 6% wanita yang telah mula merancang untuk persaraan.

Walaupun peningkatan ini masih perlahan, ia petanda positif ke arah mengurangkan jurang kewangan antara wanita dan lelaki di negara ini.
Lebih ramai rakyat Malaysia juga dilihat mengamalkan tabiat kewangan yang lebih sihat. Ramai yang mula berjimat, menilai semula keperluan perbelanjaan dan mula merancang untuk persaraan. Pengeluaran Akaun Fleksibel KWSP digunakan untuk keperluan seperti membayar hutang atau menampung kos sara hidup, bukan untuk tujuan berbelanja berlebihan.
Namun begitu, 55% responden masih berasa tertekan atau tidak yakin tentang keadaan kewangan mereka. Ini menunjukkan masih banyak ruang untuk meningkatkan disiplin kewangan di peringkat individu. Dapatan RMFLS 2024 memberi harapan bahawa rakyat kini berada di landasan yang betul untuk bina masa depan kewangan yang stabil.

Komitmen RinggitPlus Terhadap Literasi Kewangan Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata RMFLS 2024 menunjukkan kemajuan tahap literasi kewangan rakyat khususnya dalam kalangan wanita. Namun begitu, beliau menegaskan dalam usaha menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi, rakyat perlu dilengkapi dengan ilmu dan alat kewangan yang betul. Ini kerana, mereka bukan sahaja mampu bertahan, tetapi juga berkembang maju dalam dunia digital yang semakin kompleks ini.
Beliau turut menyatakan komitmen RinggitPlus dalam membantu rakyat Malaysia mengharungi cabaran kewangan mereka. Menerusi kerjasama dengan rakan-rakan strategik RMFLS, RinggitPlus berazam untuk menghasilkan kandungan yang lebih fokus, relevan dan bertepatan dengan masa. Pada masa yang sama, syarikat ini juga sedang menambah baik produk dan perkhidmatan mereka demi memperluas akses kewangan yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Untuk membaca laporan penuh, anda boleh klik pautan RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey 2024 atau ikuti RinggitPlus di Instagram dan Facebook untuk lebih banyak kandungan dan sorotan RMFLS 2024.
