Anak Anda Kini Boleh Bayar Guna DuitNow QR Di Vircle

KONGSI

Anak anda kini boleh membuat bayaran dengan mengimbas DuitNow QR melalui aplikasi Vircle. Mereka menggunakan ciri DuitNow QR Scan & Pay ini melalui akaun Child Login yang anda aktifkan sendiri, dengan had belanja harian yang anda tetapkan.

Setiap bayaran yang layak juga boleh dikira untuk cabutan bertuah Student Protect Plus Campaign 2026, dengan 150 hadiah langganan tahunan percuma. Kempen ini berlangsung sehingga 31 Oktober 2026.

Aplikasi dan kad Vircle dikeluarkan oleh Debit Circles Sdn Bhd dengan kerjasama Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay), pengeluar e-wang dan kad prabayar Visa berlesen.

Had Harian Dan Notifikasi Setiap Kali Anak Berbelanja

Anak anda tidak boleh berbelanja melebihi had harian tersebut. Jika ada transaksi yang mencurigakan, anda boleh membekukan fungsi perbelanjaan DuitNow terus dalam aplikasi pada bila-bila masa.

Setiap kali anak membayar menggunakan DuitNow di Vircle, anda akan menerima notifikasi segera (push notification) yang menunjukkan di mana mereka berbelanja dan berapa jumlahnya.

Cara Aktifkan DuitNow QR untuk Anak Anda

Aktifkan Child Login

Buka papan pemuka (dashboard) anak anda dalam aplikasi Vircle, kemudian tekan “Enable Now“.

Anak Log Masuk dan Mula Mengimbas

Anak anda perlu memuat turun aplikasi Vircle dan log masuk menggunakan butiran akaun yang anda tetapkan. Selepas itu, mereka boleh terus mengimbas DuitNow QR untuk membayar. Anda juga boleh kongsikan panduan log masuk Child Login daripada Vircle dengan anak.

Setiap Bayaran yang Layak Dikira Sebagai Satu Penyertaan

Menurut terma dan syarat kempen di laman web Vircle, setiap transaksi DuitNow QR Scan & Pay yang layak dan berjaya melalui Child Login dikira sebagai satu penyertaan. Tiada had jumlah penyertaan.

Vircle merekodkan penyertaan secara automatik, jadi anda tidak perlu mendaftar atau menghantar bukti. Bukti hanya akan diminta jika Vircle perlu membuat pengesahan.

Walaupun bayaran dibuat oleh anak, penyertaan dikaitkan dengan akaun Vircle anda sebagai ibu bapa atau penjaga berdaftar.

100 Langganan Vircle Club dan 50 Student Protect untuk Dimenangi

HadiahBilangan pemenang
Langganan Vircle Club percuma selama setahun100
Langganan Student Protect percuma selama setahun50

Setiap peserta hanya boleh memenangi satu hadiah. Vircle berhak menggantikan hadiah dengan item yang nilainya setara jika perlu, dan keputusan Vircle ialah muktamad.

Hadiah Diserahkan dalam Tempoh 30 Hari Bekerja

Vircle akan memilih pemenang secara rawak selepas kempen tamat. Cabutan itu akan dirakam dan disiarkan di media sosial Vircle, dan pemenang akan dihubungi melalui nombor telefon yang didaftarkan di Vircle.

Pemenang mungkin perlu mengemukakan pengenalan diri untuk pengesahan. Selepas disahkan, hadiah akan diserahkan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Jika pemenang sudah mempunyai langganan aktif yang sama dengan hadiah yang dimenangi, hadiah akan digunakan untuk pembaharuan langganan seterusnya. Pemenang tidak perlu membayar yuran pembaharuan tersebut selama setahun.

Hadiah hanya terpakai untuk langganan di bawah akaun Vircle pemenang. Ia tidak boleh dipindah milik, ditukar, ditebus secara tunai atau dibawa ke hadapan selepas pembaharuan seterusnya.

Bila Kelayakan Anda Boleh Dibatalkan

Vircle boleh membatalkan kelayakan anda jika transaksi dibatalkan, diterbalikkan, dipulangkan (refund), dipertikaikan atau didapati tidak sah. Pembatalan juga boleh berlaku jika dikesan aktiviti penipuan atau mencurigakan.

Had Harian Anak Tidak Perlu Dinaikkan untuk Lebih Banyak Penyertaan

Penyertaan cabutan bertuah datang daripada perbelanjaan harian anak anda. Tidak perlu menaikkan had harian semata-mata untuk mendapat lebih banyak peluang. Tetapkan had mengikut keperluan sebenar anak. Sebelum anak anda mula membayar sendiri, ajar mereka cara menyemak kod QR sebelum membuat pembayaran. 

Memandangkan pemenang dihubungi melalui telefon, pastikan nombor yang anda daftarkan di Vircle masih aktif. Jika anda menerima panggilan atau mesej kemenangan, sahkan dahulu melalui saluran rasmi Vircle sebelum memberikan sebarang maklumat peribadi.

Vircle boleh meminda terma dan syarat tanpa notis awal. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi Vircle melalui WhatsApp atau halaman bantuan mereka, atau rujuk halaman DuitNow Scan & Pay Vircle untuk terma dan syarat terkini.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen