Maybank kini menawarkan pulangan tunai dan rebat segera sehingga RM388 kepada pemegang kad kredit dan kad caj yang membeli iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max, atau iPhone Duo, iaitu iPhone lipat pertama Apple. Promosi ini berlangsung dari 12 September hingga 31 Disember 2026, atau sehingga peruntukan habis, mengikut laman rasmi Maybank2u.
Kadar Rebat Bergantung Kepada Peruncit dan Jenis Kad
Jumlah rebat yang bakal anda terima bergantung kepada lokasi dan kad yang digunakan untuk membuat pembelian serta. Jika anda pemegang Maybank Visa Infinite Diamanté atau The Platinum Card®, anda layak untuk mendapat rebat tertinggi. Kad Maybank lain pula menerima kadar yang sedikit lebih rendah.
| Peruncit | Visa Infinite Diamanté / Platinum Card® | Kad Maybank Lain |
| Apple The Exchange TRX | RM388 pulangan tunai | RM288 pulangan tunai |
| Machines, Switch, Urban Republic by Switch, iTWorld, Senheng, senQ, Thundermatch, DirectD | RM388 rebat segera | RM288 rebat segera |
Bagi pembelian di Apple The Exchange TRX, rebat anda akan masuk sebagai pulangan tunai selepas kempen ini tamat. Pembelian di peruncit lain seperti Machines atau Senheng pula, rebat akan terus dipotong dari harga semasa anda bayar di kaunter.
Baucar Aksesori Tambahan
Senheng dan senQ menawarkan baucar aksesori RM150 tambahan di atas rebat utama. Machines, iTWorld, Thundermatch, dan DirectD pula memberi baucar RM100. Kalau anda beli di Switch atau Urban Republic by Switch, tiada baucar aksesori disertakan dalam promosi ini.
Had Unit Rebat Ikut Peruncit
Semua rebat, pulangan tunai, dan baucar tertakluk kepada had unit mengikut prinsip siapa cepat dia dapat, dan had ini berbeza mengikut peruncit.
| Peruncit | Had Unit (RM388 / RM288) | Had Baucar Aksesori |
| Apple The Exchange TRX | 64 unit / 1,132 unit | Tiada |
| Machines | 257 unit / 1,215 unit | 1,472 unit (RM100) |
| Switch & Urban Republic by Switch | 258 unit / 2,430 unit | Tiada |
| Senheng & senQ | 207 unit / 763 unit | Tertakluk had unit (RM150) |
| Thundermatch | 77 unit / 312 unit | 389 unit (RM100) |
| iTWorld | 52 unit / 138 unit | 389 unit (RM100) |
| DirectD | 52 unit / 138 unit | 190 unit (RM100) |
Dengan had serendah 52 hingga 77 unit di sesetengah peruncit, rebat RM388 boleh habis dalam masa yang singkat selepas promosi bermula.
Bayar Penuh Atau Guna EzyPay 0%
Pembelian anda mesti dibuat secara in-store dan bukannya atas talian. Anda boleh membuat pembayaran penuh atau memilih Pelan Ansuran Maybank 0% EzyPay/-i untuk tempoh enam atau 12 bulan. Kalau anda bayar sebahagian atau caj dibahagikan kepada beberapa transaksi, pembelian anda tidak layak untuk rebat ini.
Rebat dan pulangan tunai yang anda terima tidak boleh ditukar kepada wang tunai, dan tidak boleh anda gabungkan dengan promosi lain. Terma dan syarat setiap peruncit turut terpakai. Sahkan dengan kaunter berkenaan atau rujuk terma dan syarat penuh [PDF] di laman rasmi Maybank sebelum anda membuat pembelian.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Kad Kredit Maybank, anda boleh bandingkan pilihan yang tersedia dan mohon terus di RinggitPlus.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
