Public Bank (PB) dan Public Islamic Bank (PIB) sedang menawarkan satu tiket penerbangan pergi balik percuma ke China menerusi Malaysia Airlines, di bawah kempen “Buy 1 Get 1 Air Ticket with PB Mastercard Credit Card“. Kempen ini berlangsung dari 24 Ogos hingga 23 November 2026.
Anda perlu membeli satu tiket tambang penuh, dan barulah mendapat satu lagi tiket pengiring kelas ekonomi secara percuma pada penerbangan yang sama.
Anda Kena Belanja RM20,000 dalam 30 Hari
Untuk layak, anda perlu menjadi ahli kad utama PB atau PIB Mastercard, dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM20,000 secara terkumpul dalam tempoh 30 hari kalendar pada atau sebelum tarikh anda beli tiket, dalam mana-mana satu bulan penyertaan kempen.
Katakan anda membeli tiket pada 1 Oktober 2026. Belanja RM15,000 pada 2 September dan RM5,300 pada 1 Oktober boleh disatukan kerana kedua-duanya jatuh dalam tempoh 30 hari itu. Tetapi kalau salah satu transaksi jatuh di luar tempoh tersebut, jumlah itu tidak dikira, dan anda tidak layak.
Hanya perbelanjaan runcit dalam dan luar negara, pembelian dalam talian, jumlah penuh Pelan Ansuran Faedah atau Keuntungan Sifar (ZIIP atau ZPIP), dan tambah nilai e-dompet yang dikira layak. Sementara ansuran flexipay, pindahan baki, debit auto, bayaran berulang, bil utiliti, premium insurans, bayaran berkaitan kerajaan, pendahuluan tunai, serta bayaran melalui laman web pbebank.com, aplikasi MyPB atau ATM pula tidak layak. Ambil perhatian bahawa pembahagian transaksi (split transactions) daripada saudagar yang sama dihadkan kepada 8 kali sahaja sebulan, transaksi ke-9 dan seterusnya tidak akan dikira untuk perbelanjaan layak. Kalau anda ada kad tambahan, perbelanjaan pemegangnya digabung dengan akaun anda sebagai ahli kad utama.
Tiket Pengiring Dihadkan RM2,000, Cukai Bayar Sendiri
Tiket pengiring ini meliputi tambang asas sahaja, dan dihadkan RM2,000 setiap penebusan. Semua cukai, caj lapangan terbang, surcaj bahan api dan fi lain untuk tiket tersebut perlu anda tanggung sendiri, dan mesti dibayar menggunakan kad kredit PB atau PIB Mastercard.
Anda hanya boleh mendapatkan satu tiket pengiring sepanjang kempen ini. Anda juga mesti menjadi salah seorang penumpang, dengan satu tiket ditempah atas nama anda. Anda dan teman anda pula perlu menempah penerbangan sama dan terbang bersama. Selain itu, tawaran ini tidak boleh digabungkan dengan promosi lain seperti tambang Karnival MATTA, tambang Ahli Enrich, atau tawaran bank lain.
Lapan Destinasi China Menerusi Malaysia Airlines
Tiket ini boleh digunakan untuk penerbangan pergi balik dari mana-mana lapangan terbang di Malaysia ke lapan destinasi terpilih iaitu Beijing (PKX), Shanghai (PVG), Guangzhou (CAN), Xiamen (XMN), Chengdu (TFU), Shenzhen (SZX), Changsha (CSX) dan Hong Kong (HKG). Perjalanan mesti pergi balik ke satu destinasi yang sama sahaja. Anda dibenarkan transit sekali di lapangan terbang lain dalam Malaysia sebelum ke China, tetapi tidak boleh masuk dari satu bandar dan balik dari bandar berbeza, atau singgah beberapa bandar dalam satu tiket.
Kempen ini terpakai untuk penerbangan Malaysia Airlines sahaja, tertakluk pada peraturan tambang, syarat tiket dan ketersediaan tempat duduk. Anda perlu buat tempahan sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja sebelum tarikh berlepas, dengan tempoh perjalanan sehingga 11 bulan dari tarikh tempahan.
Kuota Hanya 300 Tiket
Peruntukan tiket pengiring ini dihadkan kepada 100 tiket sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan 300 tiket bernilai RM600,000 sepanjang kempen. Tiket diberi atas dasar pengesahan dan pembayaran terawal, tertakluk pada baki kuota bulanan.
| Bulan Penyertaan | Tarikh | Tiket Maksimum |
| Bulan 1 | 24 Ogos – 23 September 2026 | 100 |
| Bulan 2 | 24 September – 23 Oktober 2026 | 100 |
| Bulan 3 | 24 Oktober – 23 November 2026 | 100 |
Kempen ini tamat sama ada apabila tempoh berakhir pada 23 November 2026, atau apabila peruntukan RM600,000 habis. Perbelanjaan yang cukup sahaja belum menjamin tiket. Anda perlu sahkan tempahan dan bayar penuh dahulu, kerana kuota diberikan mengikut siapa cepat dia dapat.
Tempahan Melalui Holiday Tours & Travel
Anda perlu hubungi terus ejen pelancongan yang ditetapkan, iaitu Holiday Tours & Travel Sdn Bhd. Berikan maklumat kad anda kepada mereka untuk saringan kelayakan awal. Anda boleh hubungi mereka melalui talian 03-2303 1500, WhatsApp di 012 926 2971 (mesej sahaja), atau e-mel di hi@holidaytours.com.my. Waktu operasi dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.
Semua tiket kempen ini juga tidak boleh dipindah milik dan tidak boleh dipulangkan. Anda tidak akan dapat pulangan wang jika membatalkan atau terlepas penerbangan. Kalau ada pertanyaan lanjut, hubungi Perkhidmatan dan Sokongan Kad PB di talian 03-2170 8000.
Diskaun Tambahan Alipay dan Trip.com
Kempen ini turut menawarkan dua tawaran lain untuk perjalanan anda ke China menerusi Alipay dan Trip.com. Kalau anda pengguna baharu, anda akan mendapat kupon RMB30 (Renminbi, mata wang China) dengan perbelanjaan minimum RMB300 di China apabila memautkan kad kredit PB Mastercard kepada Alipay. Jika anda pengguna sedia ada, anda dapat diskaun serta-merta RMB30 dengan perbelanjaan minimum RMB1,000.
Untuk penginapan pula, anda boleh menikmati diskaun sehingga 10% untuk hotel di China di Trip.com dengan kod promosi PBCHINA10. Kedua-dua tawaran Alipay dan Trip.com sah sehingga 31 Disember 2026.
Sebelum anda sertai kempen ini, semak dahulu terma dan syarat penuh [PDF] kempen ini, kerana pihak bank berhak meminda syarat dengan memberi notis 21 hari terlebih dahulu.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
