Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 2% pada bulan Mei, berbanding 1.9% pada April lalu, menurut laporan perkembangan monetari dan kewangan Bank Negara Malaysia (BNM). Inflasi teras yang tidak mengambil kira barangan dengan harga yang turun naik atau ditetapkan oleh kerajaan pula kekal stabil pada 2%.
Harga Runcit RON97 Dan Diesel Menurun
Purata harga runcit RON97 dan diesel kedua-duanya menunjukkan penurunan pada bulan Mei, kepada RM4.81 dan RM5.01 seliter masing-masing, daripada RM5.06 dan RM5.92 pada April. Tambang penerbangan domestik turut menjadi lebih murah sepanjang bulan tersebut. Malah, seperti yang dilaporkan Kementerian Kewangan (MOF) RON95 bersubsidi juga kekal tidak berubah pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak.
Elektrik Dan Sayur-Sayuran Jadi Lebih Mahal
Punca kenaikan inflasi adalah disebabkan oleh kos barangan bukan teras, terutamanya sayur-sayuran dan elektrik. Lonjakan elektrik adalah yang paling ketara kerana ia mencerminkan pelarasan bahan api bulanan pada bil yang bertukar menjadi surcaj buat kali pertama sejak struktur tarif semasa mula dilaksanakan.
Di bawah Automatic Fuel Adjustment (AFA), bil elektrik kini membawa rebat atau surcaj setiap bulan berdasarkan kos bahan api semasa. Mekanisme ini menggantikan Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang dahulunya disemak setiap enam bulan.
AFA sebelum ini sentiasa memberi rebat pada setiap bulan. Namun pada Mei, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mengenakan surcaj sebanyak 1.38 sen per kWj berikutan kenaikan kos penjanaan elektrik. Caj ini hanya dikenakan kepada isi rumah yang menggunakan lebih 600 kWj sebulan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
