Anda Boleh Beli Pakaian Sekolah Pada Harga Berpatutan Menerusi NADI

KONGSI

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan inisiatif Pakaian Seragam Sekolah NADI kini menjual pakaian sekolah pada harga lebih berpatutan dan anda boleh memilih untuk membayarnya secara ansuran tanpa faedah. Menerusi hantaran di Facebook pada 9 Ogos, Fadhlina berkata inisiatif ini bermula daripada program NADI Mahir Jahit di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). Program ini membantu suri rumah dan ibu tunggal untuk mempelajari kemahiran menjahit, sebelum kemahiran itu digunakan untuk menjana pendapatan bagi menyara ahli keluarga.

Program Mahir Jahit Kini Bantu Ramai Keluarga

Sejak program ini dilancarkan, lebih 2,000 orang peserta telah menyertai program NADI Mahir Jahit dan kini ia sudah memasuki kumpulan pengambilan keempat. Alumni yang sudah mahir menjahit diberi peluang menghasilkan pakaian sekolah untuk dijual pada harga lebih murah kepada masyarakat. 

Selain Mahir Jahit, anda juga boleh memanfaatkan program lain di bawah tunjang Pembelajaran Sepanjang Hayat NADI, termasuk NADI TINYTECHIE, NURTURE EKELAS Pelajar , NADI E-Sports, NADI Tuisyen Rakyat, NADI Cybersecurity, NADI Mahir (Jahit, Masak, Baiki gajet, Foto/Video, Pertanian pintar, Literasi ICT), dan NADI AI Programme.

Ini Bukan Pinjaman, Bukan Pay Later

Jika anda memerlukan bantuan menguruskan kos, NADI menawarkan pilihan bayaran ansuran untuk pembelian pakaian seragam sekolah tanpa sebarang faedah dan tiada caj tambahan dikenakan.

Fadhlina menegaskan bahawa kemudahan ini bukanlah berbentuk satu pinjaman dan bukan juga skim Pay Later. Ia sekadar pilihan untuk membantu anda menguruskan perbelanjaan, terutamanya jika anda perlu menyediakan keperluan sekolah untuk beberapa anak pada masa yang sama.

Kemahiran Menjahit Beri Manfaat Kepada Dua Pihak 

Menurut Fadhlina, kemahiran seorang wanita yang belajar menjahit boleh menjadi sumber pendapatannya, malah hasil kerja tangan individu itu juga dapat membantu keluarga lain menjimatkan wang.

“Saya percaya program yang baik bukan sekadar memberikan bantuan untuk hari ini. Ia memberikan kemahiran supaya seseorang mempunyai lebih banyak pilihan untuk masa hadapan. Satu kemahiran. Dua keluarga mendapat manfaat,” katanya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen