Imigresen: 404,848 Rakyat Malaysia Disekat Ke Luar Negara Sejak 2024

KONGSI

Jika anda mempunyai cukai pendapatan tertunggak, tunggakan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau kes kebankrapan, anda mungkin tidak dibenarkan keluar negara. Sejak 2024, seramai 404,848 rakyat Malaysia telah dikenakan sekatan perjalanan imigresen atas sebab-sebab seperti ini.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dalam temu bual bersama The Star yang disiarkan pada 23 November 2026. Menurut beliau, ada individu yang disekat oleh lebih daripada satu agensi pada masa yang sama. Zakaria turut menjelaskan bahawa membuat bayaran di pusat pemeriksaan imigresen tidak akan menarik balik sekatan perjalanan secara automatik dengan serta-merta.

Siapa Yang Boleh Menyekat Anda Ke Luar Negara

Sekatan datang daripada agensi kerajaan atau pihak berkuasa penguatkuasaan, dan Jabatan Imigresen melaksanakannya. Ini senarai agensi dan sebab sekatan yang dikongsi Zakaria.

AgensiSebab Sekatan
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)Cukai pendapatan tertunggak
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)Bayaran tertunggak atau perkara penguatkuasaan kastam
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)Caruman tertunggak atau kewajipan statutori lain
MahkamahPerintah mahkamah
Jabatan Insolvensi MalaysiaKes berkaitan kebankrapan
PTPTNBayaran pinjaman tertunggak
Agensi penguatkuasaan lainSekatan lain yang dikenakan agensi tersebut

Bagi KWSP, antara sekatan yang dikenakan ialah ke atas majikan dan pengarah syarikat yang gagal membayar caruman pekerja di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991, menurut kenyataan KWSP yang dilaporkan Berita Harian. Sebagai pekerja, anda boleh menyemak sama ada majikan membayar caruman anda melalui aplikasi KWSP i-Akaun.

Bagi PTPTN pula, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, berkata sekatan disasarkan kepada peminjam yang mampu membayar tetapi tidak berbuat demikian, serta peminjam yang bekerja di luar negara, menurut laporan The Star pada Februari 2026. Beliau menegaskan ia bukan dasar menyeluruh. Graduan yang baru tamat pengajian, mereka yang belum mendapat pekerjaan, dan peminjam berpendapatan rendah serta sederhana tidak termasuk.

Jika anda mempunyai tunggakan PTPTN dan cukai serentak, anda boleh disekat oleh PTPTN dan LHDN pada masa yang sama. Kedua-duanya perlu diselesaikan dengan agensi masing-masing.

Semak Status Anda Di SSPI Sebelum Tempah Tiket

Zakaria menasihatkan anda menyemak status perjalanan melalui Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) di sspi.imi.gov.my/sspi sebelum ke luar negara.

Buat semakan sebelum anda membayar tiket kapal terbang atau hotel. Setiap agensi menghantar senarai sekatan kepada Jabatan Imigresen mengikut keperluan dan sistem masing-masing, jadi kekerapan kemas kini tidak sama. Pegawai di pintu masuk dan keluar negara menyemak senarai ini semasa pemeriksaan sempadan.

Zakaria turut mengingatkan anda supaya memastikan pasport masih sah, menyemak syarat visa dan kemasukan negara destinasi, dan menyelesaikan urusan tertunggak yang boleh menyebabkan sekatan perjalanan.

Bayaran Di Kaunter Imigresen Tidak Buka Sekatan

Jabatan Imigresen tidak mengutip bayaran tertunggak bagi pihak agensi kerajaan lain. “Jika seorang rakyat Malaysia dihalang daripada meninggalkan negara kerana liabiliti tertunggak atau sekatan lain, individu itu mesti menyelesaikan perkara tersebut secara terus dengan agensi yang mengenakan sekatan itu,” kata Zakaria.

“Sebaik sahaja agensi berkaitan mengesahkan penyelesaian atau mengeluarkan arahan untuk menarik balik sekatan, Jabatan Imigresen akan mengemas kini status imigresen individu tersebut sewajarnya,” tambah beliau.

Apa Yang Perlu Anda Buat Jika Disekat

Hubungi agensi yang menyekat anda, contohnya LHDN untuk cukai pendapatan atau PTPTN untuk bayaran balik pinjaman pendidikan. Tanya jumlah sebenar yang perlu anda jelaskan, pilihan penyelesaian yang ditawarkan, dan berapa lama masa yang diambil untuk mereka memaklumkan Jabatan Imigresen.

Untuk sekatan cukai, tunggakan perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum anda boleh memohon pembatalan secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax. Menurut laporan Bernama, permohonan yang memenuhi syarat diproses dalam tempoh lima hari bekerja.

Bagi yang tidak mampu menjelaskan semua tunggakan sebelum tarikh perjalanan, LHDN menawarkan pelepasan sementara. Anda perlu membayar 50% daripada jumlah cukai tertunggak. Selepas itu, hantar resit bayaran bersama surat permohonan yang menyatakan destinasi, tujuan dan tempoh perjalanan ke pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai anda, sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perjalanan. LHDN akan mengeluarkan surat pelepasan sementara yang menyatakan tempoh pelepasan yang diluluskan.

Bagi pembayar cukai yang membuat pembayaran melalui ansuran CP500, ansuran yang terlepas tidak akan terus membawa kepada sekatan perjalanan kerana ia bukan taksiran cukai muktamad, seperti yang pernah dilaporkan RinggitPlus.

Simpan resit bayaran dan surat pengesahan daripada agensi berkenaan. Semak SSPI sekali lagi sebelum anda bertolak ke lapangan terbang.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen