Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menawarkan Instalment Payment Plan (IPP) 0% untuk dua kategori perbelanjaan, Umrah dan percutian, menerusi dua halaman promosi berasingan, “Instalment Payment Plan – Umrah” dan “Instalment Payment Plan – Holiday“.
Kedua-dua promosi ini menggunakan kemudahan IPP yang sama pada Kad Kredit-i Visa Bank Muamalat. Perbezaannya ialah kategori perbelanjaan yang disasarkan. Jika anda pemegang kad tersebut, anda boleh menukar perbelanjaan Umrah atau percutian anda kepada ansuran bulanan tanpa sebarang caj keuntungan, tertakluk kepada tempoh dan jumlah minimum yang ditetapkan.
Tempoh 6 Dan 12 Bulan Ditawarkan Pada 0% Setahun
Untuk perbelanjaan Umrah dan percutian di bawah dua promosi ini, hanya dua tempoh yang ditawarkan pada kadar keuntungan 0% setahun.
Tempoh enam bulan memerlukan perbelanjaan minimum RM500 dalam satu resit. Tempoh 12 bulan pula memerlukan minimum RM1,000. Kedua-dua tempoh ini dikenakan kadar keuntungan 0% setahun, jadi jumlah yang anda bayar balik sama dengan jumlah transaksi asal.
| Tempoh | Perbelanjaan Minimum | Caj Keuntungan |
| 6 bulan | RM500 | 0% setahun |
| 12 bulan | RM1,000 | 0% setahun |

Menurut terma dan syarat [PDF] rasmi IPP Bank Muamalat yang dikemas kini pada 21 Mei 2026, kemudahan IPP am sebenarnya turut membenarkan tempoh 18 dan 24 bulan dengan caj keuntungan sekali sebanyak 4% setahun. Namun, kedua-dua promosi Umrah dan percutian ini dihadkan kepada tempoh 6 dan 12 bulan sahaja pada kadar 0%.
Sebagai contoh, transaksi RM3,600 dengan tempoh 24 bulan di bawah kemudahan IPP am (bukan di bawah promosi Umrah/percutian). Caj keuntungan yang dikenakan ialah RM288, jadi jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar ialah RM3,888. Jika dibahagikan dengan 24 bulan, ansuran bulanan anda ialah RM162.
Hanya Pemegang Kad Utama Yang Layak, Pembelian Runcit Sahaja
IPP ini hanya untuk pemegang kad utama Kad Kredit-i Visa Bank Muamalat. Akaun kad anda mestilah dalam status semasa dan mempunyai had pembiayaan yang mencukupi semasa anda membuat penukaran.
Tidak semua jenis perbelanjaan boleh ditukar menjadi ansuran. IPP hanya tersedia untuk pembelian runcit sahaja. Pendahuluan tunai, ansuran di bawah program lain seperti Pindahan Baki dan Pelan Bayaran Mudah, yuran tahunan, serta baki tertunggak yang dibawa ke hadapan semuanya tidak layak.
Anda perlu memaklumkan kepada bank dalam tempoh tiga hari selepas pembelian dibuat, dan mesti sebelum tarikh penyata seterusnya keluar. Selepas tarikh itu, transaksi anda tidak layak untuk ditukar kepada IPP walaupun memenuhi syarat lain.
Anda boleh mohon terus melalui map.muamalat.com.my/cc-ipp/. Kelulusan bergantung kepada rekod akaun kad anda yang baik dan had kredit yang tersedia masa anda memohon.
Caj Keuntungan Dikenakan Jika Ansuran Tidak Dijelaskan Penuh
Penyelesaian awal dibenarkan. BMMB tidak mengenakan sebarang yuran penyelesaian awal. Walau bagaimanapun, caj keuntungan yang telah dipersetujui tidak akan dikembalikan sekiranya anda menjelaskan IPP lebih awal. Tetapi kalau anda cuma membayar jumlah minimum, iaitu 5% daripada baki tertunggak atau RM50, yang mana lebih tinggi, caj keuntungan akan dikenakan ke atas baki yang belum anda jelaskan. Gagal bayar ansuran bulanan penuh pun sama, anda akan dikenakan caj keuntungan tambahan serta caj lewat bayar mengikut Perjanjian Pemegang Kad.
Jika kad kredit-i anda dibatalkan atau ditamatkan atas apa juga sebab, anda tetap bertanggungjawab menjelaskan semua baki tertunggak. Caj keuntungan lazimnya sehingga 18% setahun boleh dikenakan jika jumlah itu anda tidak jelaskan.
Jika anda ingin buat penyelesaian penuh atau pembatalan IPP sebelum tarikh matang, hubungi BMMB melalui e-mel ipp@muamalat.com.my atau talian 03-2600 5500. Untuk pertanyaan am atau aduan lain, hubungi feedback@muamalat.com.my. Terma dan syarat penuh IPP boleh anda muat turun di laman rasmi Bank Muamalat.
BMMB berhak menukar terma dan syarat ini dengan notis 21 hari kalendar sebelum sebarang perubahan berkuat kuasa, jadi disarankan anda semak semula terma dan syarat terkini sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
