Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) MySKALA menganjurkan saringan anemia percuma untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun pada 16 September 2026. Kanak-kanak yang hadir bersama ibu atau bapa dan melengkapkan saringan berpeluang membawa pulang saguhati RM150.
Program di Kelana Jaya Berlangsung Pada 16 September
Ibu bapa di Lembah Klang digalakkan untuk membawa anak anda ke Dewan Residensi TNB, Kelana Jaya pada 16 September 2026. Sesi ini bermula pada jam 9 pagi sehingga 5 petang.
Pengerusi MySKALA merangkap Penasihat Program, Fazrul Nizam Osman berkata, program ini dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan ibu bapa mengesan anemia lebih awal, di samping untuk meningkatkan kesedaran mengenai denggi dalam kalangan keluarga. “Kanak-kanak yang hadir bersama ibu atau bapa dan melengkapkan saringan berpeluang menerima saguhati RM150, tertakluk kepada syarat dan terma ditetapkan. Peserta turut menerima laporan makmal serta cadangan berkaitan pemakanan dan gaya hidup berdasarkan keputusan saringan,” katanya.
Anak Nampak Sihat Tak Semestinya Bebas Anemia
Menurut Fazrul Nizam, anemia pada golongan kanak-kanak sering terlepas pandang kerana mereka masih kelihatan sihat dan aktif walaupun sebenarnya mengalami masalah ini. “Paras hemoglobin yang rendah boleh menjejaskan keupayaan darah membawa oksigen ke seluruh badan dan dalam keadaan tertentu memerlukan perhatian serta tindakan susulan lebih awal,” katanya.
339 Kes Denggi Baharu Direkod, 124 di Selangor
Fazrul Nizam turut menegaskan program ini memberi tumpuan kepada pencegahan denggi, yang masih menjadi ancaman kepada masyarakat. Menurut rekod portal rasmi iDengue pada 3 September 2026, sebanyak 339 kes denggi baharu direkodkan di seluruh negara. Selangor mencatatkan 124 daripada jumlah itu.
Jelas beliau, denggi yang teruk boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pendarahan dan sindrom kejutan denggi yang berpotensi mengancam nyawa.
Program ini disokong oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PELITAWANIS TNB, MPP Zon 8 Shah Alam dan MPP Zon 21 Kelana Jaya.
Ada Mini Zoo dan Aiskrim Percuma
Selain saringan kesihatan, anda dan keluarga turut dapat menikmati mini zoo oleh BrotherHood Reptiles, persembahan badut, Supa Doopa, serta agihan aiskrim, makanan, minuman dan cenderamata.
Anda boleh daftar secara dalam talian menerusi kod QR yang disediakan, atau datang terus secara walk-in ke lokasi pada tarikh program.
Maklumat kesihatan ini berdasarkan kenyataan rasmi MySKALA. Untuk sebarang kebimbangan mengenai gejala anemia atau denggi pada anak anda, dapatkan nasihat pengamal perubatan berdaftar.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
