Beli Insurans Perjalanan Tapi Pergi Ke Zon Konflik? Tuntutan Anda Mungkin Tidak Akan Dilulus

KONGSI

Ramai yang baru sedar bahawa insurans perjalanan standard tidak akan menanggung kerugian akibat perang, perkara ini hanya disedari semasa krisis di Timur Tengah.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengesahkan perkara ini bahawa sebarang kejadian yang berkaitan dengan konflik bersenjata tidak dilindungi oleh polisi standard, tidak kira apa yang berlaku kepada anda.

Perang Adalah Pengecualian Biasa, Semua Syarikat Insurans Guna Peraturan Sama

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata, hampir kesemua pihak insurans di Malaysia mengecualikan tuntutan yang melibatkan perang, konflik bersenjata, tindakan tentera, perang saudara, atau pemberontakan.

Ia bukan perkara kecil yang tersembunyi dalam cetakan halus. Ia tertulis jelas dalam dokumen polisi anda.

Ramai yang tidak sedar, pengecualian ini terpakai walaupun anda tidak tahu kawasan yang anda kunjungi sedang dilanda konflik.

“Jika mereka tanpa sedar pergi ke kawasan yang sedang mengalami konflik, manfaat di bawah polisi tidak lagi terpakai. Sebarang kecederaan yang dialami secara langsung atau tidak langsung akibat perang seperti cedera ketika melarikan diri daripada kekerasan adalah dikecualikan,” katanya.

Apa Yang Masih Dilindungi Dan Apa Yang Tidak?

Berita baiknya, tidak semua tuntutan terus gugur hanya kerana anda berada di negara yang sedang berdepan konflik.

Menurut Chua, tuntutan yang tidak berkaitan dengan konflik masih boleh dipertimbangkan seperti:

  • Masalah perubatan yang tidak ada kaitan dengan perang — masih dilindungi
  • Kehilangan bagasi yang tidak berkaitan dengan konflik — masih dilindungi

Sebaliknya, perkara-perkara ini tidak dilindungi sama sekali:

  • Pembatalan atau kelewatan perjalanan akibat konflik
  • Pemindahan atau kecemasan berkaitan perang
  • Kecederaan  langsung atau tidak langsung akibat peperangan

Ada ke Insurans Khas Untuk Zon Perang?

Anda pasti tertanya-tanya sama ada syarikat insurans boleh menawarkan polisi khas untuk destinasi berisiko tinggi.

Chua menyatakan perlindungan sedemikian itu tidak ada dan hampir mustahil untuk pihak insurans menawarkannya.

“Perang adalah risiko yang terlalu besar dan sukar diramalkan untuk penyedia insurans menetapkan harganya. Itulah cabaran terbesar. Bagaimana anda hendak menetapkan harga untuk sebuah perang?” katanya lagi.

Dah Beli Polisi Tapi Nak Batalkan? Ini Yang Perlu Anda Tahu

Sekiranya anda telah membeli polisi perjalanan dan kini ingin membatalkan perjalanan ke zon konflik, ada beberapa langkah yang boleh diambil.

Chua berkata pembeli polisi boleh menghubungi penyedia insurans untuk bertanya tentang kemungkinan bayaran balik, tetapi ini atas dasar muhibah semata-mata, bukan hak kontraktual.

Untuk tiket penerbangan pula, beliau menasihatkan agar semak secara terus dengan syarikat penerbangan mengenai pilihan penangguhan atau penempahan semula.

Semak Nasihat Wisma Putra Sebelum Berlepas

Perunding insurans kanan, Leonard Tan, menambah bahawa insurans perjalanan secara umumnya tidak akan menanggung perjalanan ke destinasi yang telah dikeluarkan nasihat rasmi untuk tidak dikunjungi termasuk kawasan perang dan negara yang sedang dilanda wabak penyakit.

“Apabila nasihat perjalanan telah dikeluarkan tetapi seseorang masih memilih untuk pergi, maka ia adalah atas risiko mereka sendiri,” katanya.

Namun, Tan mengingatkan bahawa insurans perjalanan tetap berbaloi untuk destinasi tanpa sekatan sedemikian. Polisi standard biasanya melindungi bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan letusan gunung berapi.

PIAM turut memberi pesanan kepada orang ramai agar membuat semakan nasihat rasmi di laman web Wisma Putra sebelum membuat sebarang keputusan perjalanan dan pastikan anda ada perlindungan perubatan yang mencukupi untuk destinasi yang anda tuju.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments