Beli Saham AS, Hong Kong Dan Saham A China Terus Dari TNG eWallet Melalui Webull

KONGSI

TNG Digital dan Webull Securities (Malaysia) melancarkan dagangan saham global dalam GOfinance, menurut kenyataan media TNG Digital pada 30 September 2026. Rakyat Malaysia yang layak kini boleh membeli saham di pasaran Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan saham A China (China A-share) terus dari aplikasi TNG eWallet.

Dana untuk akaun dagangan Webull Malaysia boleh dimasukkan terus daripada baki TNG eWallet anda, tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan akaun.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital, Desmond Teoh, berkata: “Dengan Webull Malaysia, pengguna yang layak boleh mengambil langkah seterusnya ke dalam pelaburan saham luar negara, bermula dengan pembukaan akaun dan pengisian dana secara digital.”

Komisen Sifar Setahun Untuk Saham Dan ETF AS

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth Chan, pengguna GOfinance boleh berdagang saham serta ETF AS dengan komisen sifar dan tanpa yuran platform. Beliau berkata hab pembelajaran percuma Webull juga boleh diakses tanpa perlu memuat turun aplikasi baharu.

Terma dan syarat kempen bagaimanapun menyatakan komisen sifar bagi saham dan ETF AS diberikan selama setahun dari tarikh akaun diluluskan, kepada pengguna baharu yang membuka akaun melalui program mini Webull dalam TNG eWallet. Peserta kempen juga menikmati yuran platform sifar bagi saham dan ETF AS, Hong Kong dan A China sehingga notis lanjut. Yuran kawal selia, yuran bursa serta cukai masih dikenakan.

Dilesenkan Oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tawar Dagangan 24 Jam Untuk Saham AS

Webull Malaysia memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) yang sah dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Status lesen ini boleh disemak melalui Investment Checker SC.

Platform ini juga menyediakan maklumat pasaran, bahan pendidikan dan alat carta untuk anda membuat kajian sendiri sebelum membeli saham. Bagi saham AS yang layak, dagangan 24 jam pada hari bekerja tersedia, termasuk di luar waktu pasaran biasa AS.

Saham Apple Bernilai RM30 Untuk 50,000 Peserta Pertama Yang Lengkapkan Syarat

Sempena pelancaran, pengguna baharu yang layak boleh menerima saham pecahan (fractional shares) Apple Inc. (NASDAQ: AAPL) bernilai RM30. Kempen ini dibuka lebih awal daripada pelancaran rasmi, iaitu dari 1 September 2026, dan berlangsung hingga 31 Disember 2026, jam 3.59 petang, atau sehingga 50,000 ganjaran habis diagihkan, mengikut mana yang lebih awal.

Kuota ini dikira mengikut 50,000 peserta pertama yang memenuhi semua syarat dalam tempoh 30 hari.

SyaratButiran
Pengguna baharuTidak pernah memiliki akaun, mengaktifkan atau menutup akaun dagangan Webull
Buka akaun dalam TNG eWalletPermohonan mesti dihantar melalui program mini Webull dalam TNG eWallet, bukan aplikasi utama Webull
Deposit bersih minimum RM200Dicapai dalam tempoh kempen dan dikekalkan selama 30 hari kalendar, bermula hari deposit bersih mencecah RM200
PengecualianKakitangan, wakil dan ejen Webull tidak layak menyertai kempen ini

Deposit bersih dikira sebagai jumlah deposit ditolak jumlah pengeluaran. Jika anda membuat pengeluaran sehingga deposit bersih jatuh di bawah RM200 dalam tempoh 30 hari itu, anda hilang kelayakan. Nilai akaun yang jatuh akibat kerugian dagangan tidak menjejaskan kelayakan, tetapi keuntungan dagangan tidak dikira sebagai deposit.

Semua syarat mesti dipenuhi sebelum 31 Disember 2026, jam 3.59 petang, jadi deposit bersih RM200 perlu dicapai lebih awal supaya tempoh 30 hari sempat selesai. Ambil kira juga masa kelulusan akaun, kerana terma kempen menyatakan Webull tidak bertanggungjawab atas kelewatan dalam proses kelulusan.

Saham akan dikreditkan secara automatik dalam tempoh 15 hari bekerja selepas tempoh 30 hari selesai dan disahkan. Nilai RM30 ditukar pada kadar tetap RM1 = USD0.2445, jadi bilangan unit saham yang diterima bergantung kepada harga saham Apple. Ganjaran ini tidak boleh ditukar kepada tunai.

Cara Buka Akaun Webull Dalam TNG eWallet

LangkahApa yang anda perlu buat
1Cari “Webull” dalam aplikasi TNG eWallet
2Baca butiran persetujuan, tandakan kotak dan tekan “Agree“
3Tekan “Start Now“
4Tetapkan kata laluan Webull anda
5Tekan “Open Trading Account“
6Isi butiran diri dan hantar permohonan

Borang permohonan pada langkah 6 meminta maklumat seperti status kerakyatan, sama ada anda menetap di Malaysia, dan jenis dokumen pengenalan diri. Selepas permohonan dihantar, paparan dalam aplikasi menyatakan semakan akan selesai dalam tempoh satu hingga tiga hari bekerja dan anda akan dimaklumkan sebaik sahaja akaun diluluskan.

GOfinance Catat 8.5 Juta Pengguna Setakat Ogos 2026

Lebih empat juta pengguna GOfinance membuat transaksi setiap bulan dan 46% memegang lebih daripada satu produk kewangan.

TNG eWallet mempunyai lebih 27 juta pengguna yang disahkan. Webull Corporation (NASDAQ: BULL) pula menawarkan perkhidmatan pelaburan di 18 pasaran dengan lebih 28 juta pengguna berdaftar di seluruh dunia.

Komisen Hong Kong, A China Dan Caj Pertukaran Mata Wang Belum Jelas

Terma dan syarat kempen tidak menyatakan kadar komisen bagi saham Hong Kong dan saham A China. Butiran penuh yuran boleh disemak dalam program mini Webull di bawah Profile > Account Management > About Fees sebelum anda membuat dagangan.

Belum jelas juga kadar dan caj pertukaran mata wang apabila ringgit ditukar untuk membeli saham luar negara.

Jika ini kali pertama anda melabur dalam saham, anda boleh baca artikel kami mengenai panduan untuk mula melabur. Ia menerangkan kenapa dana kecemasan perlu disediakan dahulu, berapa banyak yang wajar dilabur dan bagaimana yuran memberi kesan kepada pulangan anda. 

Baca terma dan syarat penuh kempen di laman TNG Digital sebelum mendaftar.

Penafian: Pelaburan saham melibatkan risiko, termasuk risiko pertukaran mata wang bagi saham luar negara, dan anda mungkin kehilangan sebahagian atau keseluruhan pelaburan anda. Artikel ini bertujuan memberi maklumat dan bukan nasihat pelaburan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen