Tahniah, anda baru sahaja dapat pekerjaan tetap pertama anda. Selepas membayar sewa, membeli barangan runcit dan berbelanja sedikit ‘ganjaran’ untuk diri sendiri, anda masih ada lebihan wang di dalam akaun anda pada akhir bulan.
Mungkin anda terfikir, nak buat apa dengan lebihan wang tersebut?
Mengembangkan kekayaan tidak bermakna anda perlu menunggu gaji yang lebih besar. Ia juga boleh bermula dengan jumlah yang kecil, membuat pilihan yang bijak dan memulakannya hari ini.
Simpan Dulu Sebelum Melabur
Ramai orang masih keliru antara menabung dan melabur, mari kami kongsikan perbezaan antara kedua-duanya.
- Menabung memastikan wang anda selamat dan mudah diakses untuk kecemasan dan keperluan jangka pendek.
- Melabur pula adalah situasi di mana anda meletakkan wang anda untuk bekerja demi pertumbuhan jangka panjang. Wang anda mungkin akan ada nilai naik atau turun dan anda tidak boleh mengeluarkannya serta-merta. Namun, selepas bertahun-tahun, pelaburan akan melonjak lebih daripada jumlah simpanan kerana pulangannya melepasi kadar inflasi.
Peraturannya mudah sahaja: menabung dahulu, barulah melabur. Tanpa simpanan, situasi kecemasan akan memaksa anda menjual pelaburan pada harga yang merugikan.
Dana Kecemasan Anda Diutamakan
Dana kecemasan berfungsi untuk menampung masalah yang tidak dijangka seperti pembaikan kereta, bil perubatan, atau kehilangan pekerjaan, tanpa menyentuh pelaburan anda. Anda perlu menyimpan simpanan yang cukup untuk tiga hingga enam bulan perbelanjaan anda. Mulakan dengan jumlah RM1,000, kemudian kembangkan jumlahnya dari situ.
Akaun pengurusan tunai (Cash Management Accounts) seperti StashAway Simple atau Versa Save berfungsi lebih baik daripada simpanan tetap (fixed deposits). Ia menawarkan pulangan sekitar 2.4% hingga 2.5% setahun dan membolehkan anda mengeluarkan wang dalam tempoh tiga hingga empat hari bekerja. Tiada baki minimum diperlukan.
Berapa Banyak Anda Perlu Melabur?
Purata gaji permulaan di Lembah Klang adalah sekitar RM3,417 sebulan sebelum apa-apa potongan. Selepas potongan KWSP, SOCSO, dan EIS, gaji bersih yang anda terima adalah sekitar RM3,000.
Kos sara hidup untuk seorang individu adalah antara RM1,400 hingga RM2,500 sebulan. Sewa dianggarkan antara kos yang mengambil bahagian terbesar kos kehidupan. Dengan mengekalkan kos sewa sekitar RM700 melalui perkongsian bilik atau rumah, anda dapat menjimatkan perbelanjaan dengan ketara.
Peraturan 50/20/30 membahagikan pendapatan anda: 45% hingga 50% untuk keperluan, 20% hingga 30% untuk simpanan dan pelaburan serta 20% hingga 30% untuk kehendak.
Cuba untuk melabur sekurang-kurangnya RM600 sebulan. Apabila dana kecemasan anda sudah lengkap, gunakan jumlah tersebut untuk melabur pula.
Tempat Pelaburan Yang Sesuai Untuk Golongan Yang Mahu Mula Melabur
Dana ASNB dikendalikan oleh kerajaan dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Dana harga tetap (Fixed Price Funds) seperti ASM membolehkan anda mulakan pelaburan dengan jumlah RM10 tanpa perlu membayar sebarang yuran dan pernah memberikan pulangan 5.10% hingga 5.26% setahun.
Penasihat robotik (Robo-advisors) seperti StashAway, myTHEO, dan Wahed melabur secara global melalui Exchange-Traded Fund (ETF). Sesetengah daripadanya tidak memerlukan deposit minimum. Mereka hanya mengenakan caj 0.15% hingga 0.8% setahun dan menyesuaikan pelaburan secara automatik berdasarkan tahap keselesaan risiko anda.
Mengapa Bayaran Yuran Adalah Penting
Unit Amanah mengenakan kos pendahuluan antara 1.75% hingga 5% ditambah juga dengan yuran tahunan. Melabur RM1,000 dengan yuran 5% bermakna anda kehilangan RM50 serta-merta. ETF pula akan mengikuti indeks pasaran secara pasif, jadi yuran kekal jauh lebih rendah.
Pilih pilihan yang tidak mengenakan yuran seperti ASNB atau penasihat robotik yang mengenakan yuran rendah. Persediaan yang baik menggunakan ASNB sebagai aset utama tempatan anda dan penasihat robotik untuk pertumbuhan global.
Ambil Tahu Tentang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Skim Persaraan Swasta (PRS) dan Penjimatan Cukai

KWSP anda adalah wajib. Anda mencarum 11%, majikan anda menambah 12% hingga 13%. KWSP menjamin pulangan sekurang-kurangnya 2.5% dan biasanya memberikan pulangan 5% hingga 6.3% setahun.
KWSP sahaja tidak dapat menampung kenaikan kos sara hidup. Pakar mengesyorkan anda untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak 15% sehingga 30% daripada pendapatan di tempat lain. Biarkan KWSP berkembang secara automatik sambil melabur wang tambahan dalam ETF berasingan.
PRS adalah simpanan persaraan pilihan yang menawarkan manfaat cukai. Mencarum kepada PRS memberikan pelepasan cukai tambahan sebanyak RM3,000 setahun, berasingan daripada pelepasan KWSP bernilah RM4,000. Anda dapat menjimatkan sehingga RM840 dalam cukai. Manfaat ini berkuat kuasa sehingga tahun 2030.
Masukkan RM250 sebulan untuk mendapatkan penjimatan cukai sepenuhnya, kemudian laburkan wang selebihnya dalam ETF global yang mudah diakses.
Elakkan Dari Membuat Kesilapan Lazim
Menunggu akan membawa kos yang besar kerana wang tumbuh melalui kaedah penggandaan. Senang kata, lebih awal anda bermula, lebih banyak masa bekerja untuk anda.
Antara kesilapan lain yang perlu anda elakkan adalah untuk tidak mencuba untuk meramal pasaran. Laburlah secara kerap dan konsisten daripada bertindak untuk mengejar saham yang sedang popular.
Selain itu, elakkan dari meletakkan semua wang anda dalam satu pelaburan kerana ia berisiko jika berlakunya kerugian. Perluaskan wang dalam jenis, industri, dan geografi yang berbeza.
Yuran kecil terkumpul juga boleh menjadi berganda dan terkumpul menjadi sehingga puluhan ribu dalam tempoh 30 tahun. Sentiasa semak segala yuran yang dikenakan sebelum membuat komitmen.
Membina Kejayaan Secara Automatik
Purata Kos Ringgit (Dollar Cost Averaging) melaburkan jumlah tetap setiap bulan tanpa mengira harga. Apabila harganya berada dalam keadaan yang agak tinggi, anda tidak kerap membelinya. Apabila harga berada dalam keadaan yang rendah, anda boleh membelinya dalam jumlah lebih banyak.
Penasihat robotik akan mengembangkan pelaburan bulanan anda secara automatik. Hanya tetapkan sekali, dan ia akan berkembang dengan sendirinya. Semasa pasaran sedang jatuh, mereka akan mengimbangkan semula secara automatik dan memastikan anda fokus pada matlamat jangka panjang.
Kekal Komited Dengan Pelaburan Anda
Tetapkan pelaburan secara automatik dan percaya dengan perancangan anda semasa pasaran berada dalam keadaan turun naik. Semak pelaburan anda sekali atau dua kali setahun sahaja dan cuba untuk tingkatkan caruman apabila gaji anda meningkat.
Kekal fokus dengan rancangan anda setiap bulan dapat membina kekayaan yang berterusan. Mula untuk melabur hari ini dengan apa sahaja yang anda mampu laburkan setiap bulan dan biarkan ‘wang’ anda bekerja untuk anda.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip dan kemas kini wang terkini.
