Bank Negara Malaysia (BNM) membuat pengumuman bahawa mereka akan membuka peluang kepada orang ramai untuk memiliki wang kertas ringgit bernombor siri khas melalui lelongan dalam talian yang akan berlangsung dari 11 hingga 18 April 2026.
Lelongan ini dikendalikan oleh jurulelong yang dilantik BNM, iaitu MNP Auctioneers (Central) Sdn. Bhd. (MNP) dan semua bidaan boleh dibuat secara dalam talian.
Sesi Lelongan Secara Langsung Pada 18 April
Selain bidaan biasa yang dibuka sepanjang tempoh lelongan, MNP turut akan mengadakan sesi Lelongan Secara Langsung (Live Auction) secara dalam talian pada Sabtu, 18 April 2026, bermula pukul 11:00 pagi. Ini bermakna pembida boleh bersaing secara langsung untuk mendapatkan wang kertas pilihan mereka.
Jenis Wang Kertas Yang Akan Dilelong
Wang kertas yang ditawarkan dalam lelongan ini merupakan wang kertas Ringgit dengan nombor siri yang istimewa dan bernilai tinggi dalam kalangan pengumpul, antaranya:
- Set 10 wang kertas terawal, contohnya dengan nombor siri DD0000001 hingga DD0000010
- Nombor super solid dengan awalan berulang, contohnya QQ8888888
Wang kertas sebegini popular dalam pasaran koleksi wang (numismatik) kerana keunikan nombor sirinya.
Cara Menyertai Lelongan
Pendaftaran dan bidaan boleh dilakukan sepenuhnya secara dalam talian. Berikut adalah langkah asasnya:
- Daftar akaun di www.best2bid.com
- Buat bidaan dalam tempoh 11 hingga 18 April 2026
- Sertai sesi Live Auction pada 18 April mulai pukul 11:00 pagi
Untuk pertanyaan lanjut, anda boleh layari laman web MNP atau hubungi talian khidmat pelanggan mereka di 017-400 6661.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
