Setakat Oktober 2025, hampir lima juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah umur 55 tahun telah mengeluarkan wang daripada Akaun Fleksibel dengan jumlah keseluruhan mencecah RM16.6 bilion.
Jumlah ini diperolehi menerusi laporan penyelidikan terkini KWSP bertajuk “Enduring Today Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing”. Angka itu mewakili 37% daripada 13.3 juta ahli, sementara 63% lagi masih belum menyentuh akaun tersebut.
Siapa Yang Belum Keluarkan Wang?
Dalam kalangan 63% yang tidak membuat sebarang pengeluaran, 44% sebenarnya mempunyai baki yang mencukupi untuk pengeluaran, tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Manakala, baki 56% pula tidak dapat berbuat demikian kerana simpanan mereka tidak mencukupi.
Akaun Fleksibel dilancarkan pada Mei 2024 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula KWSP. Caruman diagihkan dalam nisbah 75:15:10 dimana masing-masing ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel.
Antara 11 Mei hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi peluang sekali sahaja untuk memindahkan baki daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. Merujuk gambar rajah dibawah, sejumlah 4.1 juta ahli memanfaatkan peluang ini dengan memindahkan wang sebanyak RM14.5 bilion. Daripada jumlah itu, 88.1% (3.6 juta ahli) telah membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran. 11.9% lagi hanya mengambil langkah berjaga-jaga sahaja, meninggalkan kira-kira RM2.5 bilion yang masih belum disentuh sehingga Oktober 2025.

Trend Pengeluaran: Lonjakan Awal, Kemudian Stabil
Pada bulan Mei 2024, 2.6 juta pengeluaran dalam sebulan telah direkodkan, ia didorong oleh tempoh pemindahan awal. Jumlah ini jatuh kepada sekitar satu juta pada Jun dan Julai, sebelum terus menyederhana.
Satu lonjakan kecil berlaku pada Mac 2025 pula, sebanyak 1.4 juta pengeluaran dan ia bertepatan dengan pengumuman dividen KWSP. Sejak itu, angka stabil pada sekitar 1.3 juta sebulan.
Dari segi nilai:
- Mei 2024: RM6.01 bilion
- Jun 2024: RM1.97 bilion
- Ogos 2024: RM990 juta
- Sep–Dis 2024: Kira-kira RM500 juta sebulan
- Jan–Okt 2025: Antara RM420 juta hingga RM530 juta sebulan
Purata pengeluaran seseorang ahli turut menurun daripada RM2,294 pada Mei 2024 kepada RM330 pada 2025. Median pengeluaran pula jatuh daripada RM1,063 kepada RM120 pada Oktober 2025, bermakna kebanyakan ahli mengeluarkan jumlah yang kecil sahaja.
Pengeluaran besar sebanyak RM1,000 atau lebih jadi semakin jarang selepas Ogos 2024. Kini, majoriti transaksi adalah bawah RM500.
Kesimpulan KWSP: penggunaan Akaun Fleksibel telah kembali normal apabila pencarum beralih daripada keluarkan jumlah besar sekali gus kepada pengeluaran lebih kecil berterusan mengikut keperluan. Kadar penyertaan bulanan stabil pada sekitar 10% sejak September 2024.
Untuk Kegunaan Apa Wang Itu Dikeluarkan?
KWSP menjalankan tinjauan terhadap 14,204 pencarum yang mengeluarkan wang antara Mei 2024 dan Jun 2025. Hasilnya:
- 93% untuk keperluan harian
- 81.7% untuk perbelanjaan kecemasan
- 74.4% untuk bayaran hutang dan pelaburan
- 73.3% untuk kos bermusim atau gaya hidup
- 70.3% untuk makanan dan barangan runcit (termasuk susu formula dan lampin)
- 58.7% untuk rawatan kesihatan
- 56.6% untuk bayaran hutang
- 18.3% sahaja untuk perbelanjaan gaya hidup
Ini bermakna kebanyakan ahli mengeluarkan wang bukan untuk membeli-belah, tetapi untuk kelangsungan hidup.
Corak penggunaan juga berbeza mengikut kekerapan. Ahli yang kerap mengeluarkan (9 bulan atau lebih) cenderung menggunakannya untuk keperluan rutin seperti makanan dan kos perjalanan. Mereka yang jarang keluarkan wang (1-2 bulan sahaja) biasanya berbuat demikian untuk kecemasan seperti kehilangan kerja, masalah perniagaan, atau penyelenggaraan rumah berskala besar.

KWSP Beri Beberapa Cadangan Berdasarkan Dapatan Ini
Berdasarkan dapatan ini, KWSP mengesyorkan beberapa langkah:
- Integrasikan alat panduan dalam aplikasi i-Akaun, termasuk unjuran peribadi tentang impak jangka panjang pengeluaran.
- Tingkatkan kesedaran tentang produk-produk KWSP yang lain.
- Memperluas program literasi kewangan.
- Perkukuh pemantauan corak pengeluaran dan kaitkan data KWSP dengan sistem perlindungan sosial yang lebih luas.
KWSP turut menegaskan bahawa menangani tekanan ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan upah adalah kunci untuk mengurangkan pergantungan kepada simpanan persaraan bagi keperluan segera. Pada masa yang sama, sistem jaminan pendapatan usia tua perlu diperkukuh supaya setiap pesara mempunyai pendapatan minimum yang terjamin.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
