Boost pada 18 Ogos 2026 secara rasminya melancarkan Boost SME di KL Sentral iaitu sebuah platform yang menggabungkan akaun simpanan berfaedah, gerbang pembayaran dan pinjaman perniagaan dalam satu aplikasi. Majlis pelancaran ini dirasmikan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, Axiata Group Berhad, Nik Rizal Kamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Boost Sheyantha Abeykoon.
Kami hadir sendiri di majlis pelancaran ini untuk melihat bagaimana Boost SME mampu memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. Dalam satu aplikasi, anda boleh membuka akaun simpanan, terima pembayaran pelanggan, dan mohon pinjaman perniagaan, tanpa perlu menukar platform.
Empat Masalah PKS Yang Boost SME Cuba Selesaikan
Gobind Singh Deo dalam ucapannya berkata PKS dan mikro-PKS merangkumi 97% ekonomi Malaysia, menyumbang 39.7% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekonomi digital pada 2025, dan mewakili 49% guna tenaga negara.
CEO Boost Connect, Ankur Jakhwal pula berkongsi dapatan pasukannya selepas bertahun-tahun turun padang bercakap dengan peniaga kecil. Menurutnya, 30% mikro-PKS masih menguruskan perniagaan secara manual, dan 51% masih tidak dapat mengakses pembiayaan walaupun dunia sudah lama pulih daripada COVID. Susulan itu, beliau menyenaraikan empat masalah utama yang menjadi fokus Boost SME.
Pertama, duit simpanan yang terbiar sebab bank konvensional tak tawarkan pulangan berbaloi. Kos perniagaan pun meningkat, terutamanya caj Kadar Diskaun Peniaga (MDR) dan kos proses transaksi. Ada juga masa produktif yang terbuang sebab peniaga terpaksa beratur di cawangan bank untuk urusan yang sepatutnya boleh selesai dalam talian. Paling kerap, jurang aliran tunai datang secara tiba-tiba tanpa sebarang penyelesaian pantas untuk isi jurang itu.
Apa Yang Anda Dapat Dalam Boost SME
| Produk | Ciri Utama |
| Boost Grow (akaun simpanan) | Faedah 3% setahun, dikira harian, tiada tempoh terikat |
| Boost Flow (akaun transaksi) | Rebat 0.1% atas jualan bulanan sehingga RM2,000 |
| Boost Connect (gerbang pembayaran) | Terima QR, kad dan pembayaran online dalam satu platform, tidak perlu ke cawangan bank. Duit masuk hari sama, termasuk hujung minggu dan cuti umum |
| Boost SME Biz Loan | Pinjaman modal kerja RM50,000 hingga RM300,000. Lulus dalam 10 minit, duit masuk dalam 24 jam |
| Pendahuluan Tunai Peniaga | Aktif sebulan dengan transaksi minimum RM2,000, anda layak mohon bermula RM10,000 tanpa perlu sejarah penyata bank bertahun-tahun |
Sebagai contoh, jika anda mengambil Boost Grow dengan meletakkan RM10,000 di dalam akaun tersebut dan anda boleh menjangka akan mendapat sekitar RM300 setahun pada kadar 3%, dikira secara harian.

Tidak kira sama ada anda peniaga tunggal (sole proprietor) atau syarikat berdaftar, di Sabah, Sarawak atau Semenanjung, anda boleh membuka akaun Boost SME dalam masa 5 minit. Kalau anda peniaga tunggal, anda cuma perlu e-KYC, sementara kalau syarikat Sendirian Berhad pula, anda perlu membuat e-KYB dan isi maklumat alamat perniagaan. Semua urusan ini dibuat sendiri secara dalam talian, anda tidak perlu ke cawangan bank. Boost turut mengingatkan bahawa semua kadar dan rebat di atas adalah tertakluk kepada terma dan syarat.
Boost turut mengumumkan promosi pelancaran dimana 1,000 peniaga pertama yang mendaftar berpeluang mendapat rebat sehingga 100% untuk peranti pembayaran seperti terminal kad.

Kenapa Boost Fokus Kepada Peniaga Kecil
Bercakap kepada media selepas majlis, Sheyantha berkongsi kebanyakan pinjaman PKS Boost setakat ini masih dalam julat RM100,000 hingga RM500,000. Boost SME direka khusus untuk menurunkan had itu sehingga RM10,000, supaya kedai runcit atau gerai makanan turut mendapat manfaat. Boost telah membantu 30,000 hingga 40,000 perniagaan sepanjang perjalanannya, dengan bank digital Boost sahaja telah menyalurkan lebih RM500 juta pinjaman.
Sheyantha turut mendedahkan sasaran dalaman supaya lebih 75% pinjaman bank datang daripada segmen PKS dalam jangka panjang. Boost SME sendiri baru di fasa pertama daripada rancangan yang lebih besar.
Pelanggan Baharu Boleh Dapat Kelulusan Dalam 3 Minit
Sheyantha berkata Boost SME dibina atas konsep “one-stop-shop” supaya pelanggan tidak perlu cari penyelesaian di tempat lain. Mengenai tempoh sebenar proses pinjaman untuk pelanggan baharu, beliau memaklumkan bahawa anda masih boleh mendapat kelulusan dalam tiga minit walaupun tiada sebarang sejarah dengan bank. Duit pinjaman juga boleh dikreditkan pada keesokan hari. Menurutnya, manfaat ini jarang ditawarkan bank lain di Malaysia kepada pelanggan pertama kali, tetapi kelulusan tetap tertakluk kepada penilaian kredit Boost.
Patutkah Anda Cuba Boost SME
Boost SME lebih berbaloi sekiranya anda pernah ditolak permohonan pinjaman sebab tiada sejarah kredit dengan bank, atau simpanan perniagaan anda selama ni cuma duduk dalam akaun tanpa faedah berbaloi. Ia kurang berguna kalau anda sudah lama berurusan dengan bank atau penyedia pembayaran sedia ada yang menawarkan kadar dan perkhidmatan setanding.
Cara paling mudah adalah dengan memuat turun aplikasi Boost SME di App Store atau Google Play dan lakukan e-KYC atau e-KYB mengikut jenis perniagaan anda. Proses membuka akaun cuma mengambil masa lima minit, jadi anda boleh mencubanya dahulu sebelum memutuskan mahu memindah simpanan atau mohon pembiayaan lebih besar.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
