Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menaikkan kadar caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) secara berperingkat kepada 1.25% menjelang tahun keenam pelaksanaan skim ini. Untuk anda yang mencarum, ini bermakna faedah penggantian pendapatan turut meningkat daripada 48% sekarang kepada 80%.
Kadar Caruman Semasa Yang Rendah Akan Naik Secara Berperingkat
Memetik laporan Bernama pada 17 Ogos 2026, Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) PERKESO Edmund Cheong Peck Huang berkata, kadar caruman semasa sebanyak 0.75% merupakan kadar terendah yang praktikal untuk dilaksanakan pada peringkat awal, selepas kerajaan mengarahkan PERKESO memperkenalkan skim itu secara berperingkat.
Beliau berkata kenaikan kadar caruman berkenaan mengambil kira keperluan, memastikan manfaat perlindungan kekal relevan, termasuk faedah perubatan dan pemulihan yang disediakan PERKESO. “Sebab itulah kita guna 0.75%. Kita akan meningkat untuk pergi semula kepada 1.25% pada tahun keenam dan faedah pun akan bertambah. Bermaksud sekarang ni 48%, tahun keenam ia akan jadi 80% penggantian pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Literasi Media Bersama-sama Wartawan dan Pengarang, serta Pengumuman Anugerah Media PERKESO iLINDUNGu 2026, pada 17 Ogos 2026.
Kadar Asal 1.25% Berdasarkan Struktur Faedah PERKESO
Menurutnya, kadar asal 1.25% ditetapkan berdasarkan struktur faedah PERKESO, yang lazimnya menyediakan penggantian pendapatan antara 80 hingga 90% daripada pendapatan seseorang. Perlu diperhatikan bahawa angka-angka ini merujuk struktur faedah PERKESO secara umum, berbeza daripada sasaran 80% khusus untuk LINDUNG 24 Jam apabila kadar caruman mencapai 1.25% pada tahun keenam.
Contoh Kesan Kepada Gaji RM6,000
Kalau anda bergaji RM6,000, anda mungkin menerima bayaran bulanan kira-kira RM4,800 sekiranya kehilangan upaya secara kekal..
Cadangan Skim Sudah Dibincangkan Sejak 2017
Menurut Cheong lagi, keputusan untuk melaksanakan skim secara berperingkat dibuat selepas perkara itu dibincangkan pada peringkat kementerian dan Kabinet, berdasarkan kajian yang mendapati kadar semasa sesuai sebagai kadar permulaan.
LINDUNG 24 Jam bukanlah skim yang diperkenalkan secara mengejut. Cadangan skim itu telah melalui proses perbincangan sejak sekitar 2017, termasuk pada peringkat Kabinet dan kementerian berkaitan, manakala majikan turut dimaklumkan lebih awal mengenai pelaksanaannya.
Kenapa Caruman Diasingkan Dalam Slip Gaji Anda
Pengasingan caruman dalam slip gaji bertujuan untuk memastikan ketelusan serta membantu anda memahami perlindungan yang diterima menerusi setiap skim PERKESO, termasuk Skim Bencana Pekerjaan dan Keilatan, Skim Insurans Pekerjaan serta LINDUNG 24 Jam.
Jangan Bergantung Semata-mata Kepada Kad Perubatan Atau Insurans PA
Sebelum anda membuat keputusan untuk membatalkan caruman LINDUNG 24 Jam, Cheong menasihatkan anda untuk menilai dahulu tahap perlindungan sedia ada dan tidak hanya bergantung kepada kad perubatan atau insurans kemalangan diri (PA).
Perlindungan setiap polisi berbeza dan tidak semestinya menyeluruh. LINDUNG 24 Jam pula boleh menyediakan sokongan pendapatan jangka panjang kepada anda atau tanggungan anda sekiranya berlaku kecederaan serius.
“Contohnya kalau kita bergaji RM2,000 dan PA kita hanya RM10,000, ia akan bertahan hanya lima bulan. Tapi dengan LINDUNG 24 Jam dan sekiranya anda mempunyai kecederaan yang serius, ia boleh menanggung anda sehingga seumur hidup. Itu perlu dikaji dan diambil tahu. Jadi, pilihlah dengan betul,” katanya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
