BSN Buka Pendaftaran Kem Inovator Digital 2026, Percuma Untuk 25 Pelajar Terpilih

KONGSI

Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka peluang kepada pelajar sekolah di seluruh Malaysia untuk menyertai Kem Inovator Digital 2026, sebuah program selama empat hari yang memberi pendedahan kepada pembangunan permainan digital dan inovasi teknologi. 

Tempoh pendaftaran bermula 1 April 2026 hingga 30 April 2026, dan program ini akan berlangsung dari 4 Jun hingga 7 Jun 2026 bertempat di Pusat Latihan BSN, Bangi.

Siapa Yang Layak Untuk Menyertai?

Program ini terbuka kepada pelajar berusia 13 hingga 15 tahun sahaja dan hanya 25 tempat sahaja yang tersedia. Pemilihan adalah berdasarkan prinsip “siapa cepat, dia dapat” (first-come, first-served).

Selain syarat umur, ada satu lagi syarat yang perlu dipenuhi iaitu peserta mestilah mempunyai Akaun BSN Smart Junior dengan deposit minimum RM1,000 sebelum atau pada 30 April 2026.

Ibu bapa atau penjaga boleh mendaftar dahulu sebelum membuka akaun, tetapi akaun tersebut mesti dibuka dan wang didepositkan sebelum tarikh tutup pendaftaran. BSN berhak mengesahkan akaun tersebut sebelum kelulusan penyertaan disahkan.

Satu perkara penting yang anda perlu tahu, deposit RM1,000 itu akan dibekukan selama satu tahun. Selepas tempoh tersebut, pemilik akaun boleh mengeluarkan semula wang berkenaan.

Cara mendaftar mudah sahaja, ibu bapa atau penjaga hanya perlu mengimbas kod QR pada poster program untuk mengakses borang pendaftaran melalui Microsoft Forms.

Sila klik untuk mengimbas kod QR 

Apa Yang Peserta Akan Pelajari?

Kem ini diadakan untuk memberi pengalaman praktikal, bukan sekadar duduk dan mendengar ceramah. Peserta akan belajar asas pembangunan permainan digital menggunakan platform GDevelop, bekerjasama dalam kumpulan untuk mencipta prototaip permainan dan membentangkan hasil kerja mereka di hadapan peserta lain pada hari terakhir.

Sepanjang program berlangsung, peserta turut didedahkan kepada kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan asas kesedaran kewangan. Sesi bersama pakar industri teknologi juga dijadualkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran.

Jadual empat hari program adalah seperti berikut:

  • Hari 1 (4 Jun): Pendaftaran, taklimat, bengkel asas pembangunan permainan
  • Hari 2 (5 Jun): Sesi perkongsian industri, aktiviti kumpulan, pembangunan prototaip
  • Hari 3 (6 Jun): Bengkel lanjutan, sesi mentor, persediaan pembentangan
  • Hari 4 (7 Jun): Pembentangan projek, penilaian, majlis penutup

Sepanjang Program, Apa Yang BSN Tanggung?

BSN menanggung sepenuhnya kos penyertaan, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada peserta. Penginapan dan makanan sepanjang program berlangsung juga disediakan oleh BSN.

Walau bagaimanapun, kos pengangkutan pergi dan balik ke Pusat Latihan BSN di Bangi adalah tanggungjawab ibu bapa atau penjaga sepenuhnya. Sebarang kehilangan barangan peribadi semasa program juga tidak ditanggung oleh BSN.

Bila Keputusan Akan Diumumkan?

Senarai peserta yang berjaya akan diumumkan pada minggu kedua atau ketiga Mei 2026 melalui laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my. Peserta juga akan dihubungi melalui panggilan telefon atau SMS.

BSN berhak memilih peserta pengganti sekiranya mana-mana peserta tidak dapat dihubungi atau gagal memenuhi syarat kelayakan.

Untuk maklumat lebih lanjut, hubungi BSN terus di 03-2613 1900.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments