Cara Failkan Cukai Sebagai Pekerja Bebas Bagi Tahun 2026 (YA 2025)

KONGSI

Pekerja gig atau bebas (freelancing) kini menjadi salah satu cara bagi sesetengah rakyat Malaysia untuk menjana wang atau menambah pendapatan sedia ada. Sama ada berniaga di Shopee, menghasilkan kandungan, atau sebagai pemandu e-hailing, kini semakin ramai memperoleh pendapatan di luar waktu kerja yang konvensional.

Namun, apabila musim cukai tiba, prosesnya agak berbeza kerana tiada majikan yang akan menguruskan hal tersebut untuk anda. Selepas anda fahami borang mana yang perlu digunakan dan di mana anda perlu mengisytiharkan pendapatan. Barulah langkah seterusnya akan menjadi lebih mudah.

Siapa Yang Diambil Kira Sebagai Pekerja Bebas Untuk Tujuan Cukai

Bagi tujuan cukai, pekerja bebas diklasifikasikan sebagai individu bekerja sendiri. Ini bermakna pendapatan anda bergantung kepada keuntungan yang diperoleh daripada hasil kerja anda. Ini juga merangkumi pencipta kandungan, pemandu e-hailing, penghantar barangan, peniaga dalam talian, perunding bebas dan sesiapa sahaja yang memperoleh pendapatan di luar pekerjaan tetap.

Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) berkuat kuasa sepenuhnya pada 31 Mac 2026. Di bawah Akta ini, platform seperti syarikat e-hailing dan penghantaran dikehendaki memotong caruman PERKESO daripada pendapatan pekerja gig. Jika anda seorang pekerja bebas menggunakan platform, potongan tersebut seharusnya muncul sebagai amaun yang boleh ditolak baharu semasa anda memfailkan cukai. Bagi pekerja bebas yang tidak menggunakan platform, anda masih boleh menyumbang secara sukarela melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SESSS).

Perlukah Anda Memfailkan Cukai Sebagai Pekerja Bebas?

Ya. Semua individu dikehendaki memfailkan cukai sekiranya mereka sudah mempunyai fail cukai berdaftar, atau jika pendapatan bercukai tahunan mereka melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP). Bagi pekerja bergaji, ini bersamaan dengan kira-kira RM37,333 dalam pendapatan kasar tahunan sebelum KWSP dipotong. Bagi pekerja bebas dan individu bekerja sendiri, tiada jumlah minimum yang ditetapkan. Jika anda mempunyai pendapatan perniagaan, anda perlu memfailkan cukai dengan Borang B tanpa mengira jumlah pendapatan. Pucuk pangkalnya, jika pendapatan anda boleh dikenakan cukai, anda perlu memfailkannya.

Mulai 1 Mac 2026, nombor MyKad anda kini berfungsi sebagai Nombor Pengenalan Cukai (Tax Identification Number atau TIN) tunggal anda. Ini bermakna, LHDN telah memberikan TIN kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik.Jadi, walaupun anda belum pernah memfailkan cukai sebelum ini, anda mungkin sudah pun berada dalam sistem.

Perbezaan Pemfailan Cukai Bagi Pekerja Bebas

Proses pemfailan cukai untuk pekerja bebas tidak jauh beza daripada pekerja bergaji, tetapi ada beberapa langkah tambahan yang perlu diberi perhatian.

Tiada Borang EA

Jika anda bekerja dengan majikan, majikan akan mengeluarkan borang EA pada awal tahun. Dokumen ini meringkaskan pendapatan tahunan, caruman KWSP, dan potongan PERKESO anda. Semua pengiraan dibuat untuk anda, dan anda hanya perlu memindahkan angka-angka tersebut ke dalam borang cukai.

Pekerja bebas tidak mendapat borang EA. Sebaliknya, anda perlu mengira sendiri pendapatan anda dengan menyemak invois, rekod pembayaran, dan perbelanjaan sepanjang tahun. Ini akan menyusahkan anda jika tidak menyimpan rekod dengan rapi. Oleh sebab itu, menyimpan rekod kewangan yang baik sepanjang tahun sangat membantu apabila musim cukai tiba.

Tiada Potongan Cukai Bulanan (PCB)

Pekerja bergaji mempunyai sebahagian gaji mereka dipotong setiap bulan melalui program PCB. Potongan ini berfungsi sebagai pembayaran cukai pendahuluan yang dibahagi sepanjang tahun. Jadi, apabila tiba masa untuk pemfailan cukai, sebahagian besar cukai sudah pun dijelaskan. Malah, sesetengah pekerja menerima bayaran balik jika mereka terlebih bayar.

Pekerja bebas tidak terdaftar dalam program PCB. Ini bermakna, sebarang cukai yang anda perlu bayar perlu dijelaskan secara sekaligus semasa pemfailan. Sebagai contoh, seorang pekerja bebas yang memperoleh RM60,000 setahun, selepas menuntut pelepasan peribadi RM9,000, akan mendapat pendapatan bercukai sebanyak RM51,000. Cukai ke atas jumlah itu adalah lebih kurang RM1,600.

Dengan pelepasan tambahan seperti pelepasan gaya hidup, insurans perubatan, dan caruman i-Saraan, angka itu boleh turun kepada sekitar RM1,000 hingga RM1,400. Apa pun jumlahnya, ia perlu dibayar sekaligus dan anda perlu bersedia. Menyimpan 10% hingga 15% daripada pendapatan bulanan anda sepanjang tahun untuk tujuan cukai adalah cara praktikal untuk mengelakkan kejutan ketika memfailkan cukai di kemudian hari.

Borang Mana Yang Perlu Digunakan?

Ini bergantung kepada sama ada anda telah mendaftarkan kerja bebas anda sebagai perniagaan.

Situasi AndaBorang Yang DigunakanTarikh Akhir e-Filing
Kerja bebas tanpa pendaftaran perniagaan SSMBorang BE15 Mei 2026
Kerja bebas dengan pendaftaran perniagaan SSMBorang B15 Julai 2026

Jika anda belum mendaftarkan kerja bebas anda sebagai perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), anda akan menggunakan Borang BE, iaitu borang yang sama digunakan oleh pekerja bergaji.

Jika anda sudah mendaftar sebagai perniagaan (seperti milikan tunggal), anda akan menggunakan Borang B yang mempunyai bahagian untuk mengisytiharkan pendapatan perniagaan dan menuntut perbelanjaan perniagaan.

Di Mana Anda Perlu Mengisytiharkan Pendapatan Pekerja Bebas?

Jika anda menggunakan Borang BE, tempat anda mengisytiharkan pendapatan pekerja bebas bergantung kepada sama ada anda bekerja bebas sepenuh masa atau sambilan.

Jika anda seorang pekerja bebas sambilan (masih bekerja dengan majikan), gaji anda diletakkan di bawah “Pendapatan berkanun daripada penggajian” seperti biasa. Pendapatan pekerja bebas anda diisytiharkan secara berasingan di bawah “Pendapatan berkanun daripada faedah, diskaun, royalti, pencen, anuiti, bayaran berkala lain, serta keuntungan dan pendapatan lain.”

Jika anda seorang pekerja bebas sepenuh masa tanpa majikan, semua pendapatan anda diletakkan di bawah ruang “keuntungan dan pendapatan lain” yang sama itu.

Bahagian ini adalah antara bahagian yang ramai orang keliru, jadi ambil masa anda dan pastikan angka yang betul dimasukkan ke dalam ruang yang betul.

Pengecualian Cukai Untuk Pekerja Bebas

Kebanyakan pendapatan pekerja bebas anda akan dikenakan cukai, tetapi ada beberapa pengecualian khusus yang boleh dimanfaatkan, terutamanya jika kerja anda melibatkan hasil kreatif atau intelektual:

  • Pengecualian sehingga RM10,000 untuk royalti daripada penerbitan karya seni, cakera rakaman, atau pita
  • Pengecualian sehingga RM12,000 untuk royalti daripada terjemahan buku dan karya sastera
  • Pengecualian sehingga RM20,000 untuk royalti daripada penerbitan karya sastera, lukisan asal, atau komposisi muzik
  • Pengecualian 50% ke atas pendapatan berkanun yang diperoleh daripada dapatan penyelidikan yang telah dikomersilkan

Ini adalah tambahan kepada pelepasan cukai peribadi biasa yang ada pada semua pembayar cukai bagi YA 2025, termasuk pelepasan gaya hidup, pelepasan insurans perubatan, caruman KWSP, dan lain-lain. Pastikan anda semak senarai penuh pelepasan yang tersedia semasa memfail.

Pekerja bebas sepenuh masa juga disarankan untuk melihat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SESSS) dan program Caruman Sukarela KWSP (i-Saraan). Caruman kepada kedua-dua skim ini boleh mengurangkan pendapatan bercukai anda. Fungsinya sama dengan PERKESO dan KWSP bagi pekerja bergaji, dan ia turut membantu membina simpanan persaraan serta perlindungan keselamatan sosial anda dari semasa ke semasa.

Bagaimana Pula Dengan Pendapatan Pekerja Bebas Dari Luar Negara?

Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan telah melanjutkan pengecualian ke atas pendapatan dari sumber asing bagi individu pemastautin sehingga 31 Disember 2036, daripada tarikh sebelumnya pada Disember 2026.

Bagi yang layak mendapat pengecualian ini, dua syarat perlu dipenuhi:

  1. Pendapatan tersebut mestilah telah dikenakan cukai di negara tempat ia diperoleh.
  2. Anda mesti dapat membuktikan bahawa pendapatan itu berasal daripada operasi perniagaan yang dijalankan di luar Malaysia.

Simpan dokumentasi seperti invois, rekod pembayaran, dan sebarang bukti cukai asing yang telah dibayar. Jika anda tidak dapat menunjukkan bahawa pendapatan itu diperoleh daripada operasi luar negara, LHDN mungkin akan menganggapnya sebagai pendapatan yang berasal dari Malaysia, dan ia akan dikenakan cukai.

Perlu diingat bahawa pengecualian ini tidak terpakai untuk pendapatan yang diterima melalui perniagaan perkongsian di Malaysia. Jika anda tidak pasti sama ada situasi anda layak, anda boleh rujuk garis panduan LHDN mengenai cukai transaksi e-dagang [PDF] atau pakar cukai.

Mendaftar Sebagai Perniagaan Untuk Manfaat Cukai Lebih Besar

Walaupun anda hanya bekerja bebas secara sambilan, ianya lebih berbaloi jika anda mendaftarkan kerja anda sebagai perniagaan dengan SSM. Sebabnya mudah, perniagaan berdaftar anda boleh menuntut perbelanjaan tertentu sebagai kos operasi perniagaan dimana ia akan mengurangkan pendapatan bercukai anda.

Sebagai contoh, seorang juruvideo bebas boleh menyenaraikan peralatan kamera dan perisian penyuntingan sebagai perbelanjaan perniagaan. Seorang pereka grafik bebas pula boleh menuntut komputer riba dan langganan Adobe mereka. Potongan ini tidak tersedia jika anda memfail sebagai pembayar cukai bukan perniagaan menggunakan Borang BE.

Anda boleh mendaftar sebagai milikan tunggal dengan SSM melalui portal EzBiz atas nama peribadi (RM30) atau nama dagangan (RM60) bagi tempoh satu hingga lima tahun. Jika anda membelanjakan RM5,000 setahun untuk peralatan, perisian, dan kos berkaitan kerja yang lain, menuntut kos-kos itu sebagai perbelanjaan perniagaan boleh menjimatkan anda beberapa ratus ringgit dalam cukai, bergantung kepada kelompok pendapatan anda.

Memfailkan Cukai Anda

Semua pemfailan cukai untuk YA 2025 dilakukan dalam talian melalui portal MyTax. Jika ini kali pertama anda memfailkan cukai, anda perlu mengaktifkan Sijil Digital anda melalui portal tersebut sebelum boleh mengakses e-Filing.

Selepas log masuk, pilih borang yang betul (Borang BE atau Borang B), isikan butiran pendapatan anda, tuntut pelepasan anda, dan hantar. Sistem akan mengira cukai yang perlu dibayar secara automatik. Simpan semua dokumen sokongan, termasuk resit, invois, dan rekod pembayaran, sekurang-kurangnya tujuh tahun sekiranya LHDN memintanya semasa audit.

Jika anda mempunyai gabungan pendapatan pekerjaan, pendapatan pekerja bebas dari pelbagai sumber, dan pendapatan luar negara, mungkin lebih baik anda mendapatkan khidmat perunding cukai profesional. Mereka boleh membantu anda mengenal pasti potongan yang mungkin terlepas pandang dan memastikan semua yang difailkan adalah betul.

Memfailkan cukai sebagai pekerja bebas memang memerlukan usaha yang lebih berbanding pekerja bergaji, terutamanya untuk kali pertama. Namun, selepas pemfailan pertama tersebut, anda akan lebih tahu apa yang LHDN perlukan dan rekod yang perlu disimpan. Pekerja bebas yang merasakan musim cukai tidak menyusahkan biasanya mereka yang telah merekod pendapatan dan perbelanjaan sepanjang tahun, bukannya yang kelam-kabut menyusun semula 12 bulan invois pada bulan April.

Walaupun pendapatan anda jatuh di bawah jumlah bercukai dalam sesuatu tahun, memfailkan pulangan nil (nil return) dapat mengekalkan fail cukai anda secara aktif dan bersih. Bank dan pemberi pinjaman melihat sejarah pemfailan cukai anda apabila anda memohon pinjaman peribadi atau pinjaman rumah, jadi rekod yang konsisten memberi manfaat kepada anda.

Untuk panduan langkah demi langkah yang lebih terperinci mengenai proses e-Filing, semak panduan cukai pendapatan kami untuk 2026 (YA 2025). Anda juga boleh layari kandungan cukai kami yang lain untuk topik seperti pelepasan cukai bagi YA 2025 dan panduan pemfailan kali pertama.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments