Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Sri Khairussaleh Ramli, menyambut baik komitmen Kerajaan untuk mengecilkan defisit fiskal kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, berbanding 3.6% pada 2026.
Belanjawan 2027 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026 lalu. Khairussaleh, yang juga Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, mengulas belanjawan itu dalam kenyataan media Maybank pada hari yang sama.
Beliau turut menyebut kad kredit asas Nadi sebagai salah satu cara Maybank meluaskan akses kewangan. Kad ini menawarkan kadar keuntungan tetap 14% setahun tanpa yuran tahunan. Ulasannya juga menyentuh sukuk simpanan runcit bertoken, pembiayaan mikro untuk PKS dan perlindungan pengguna daripada penipuan kewangan.
Kad Nadi Tanpa Yuran Tahunan, Kadar Sama Untuk Semua Rekod Bayaran
Permohonan kad kredit Islamik terbaharu dari Maybank iaitu Maybank Islamic Nadi Mastercard Credit Card-i telah dibuka pada 7 Oktober 2026. Maybank menjelaskan kad ini sebagai salah satu cara bank itu meluaskan akses kewangan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada Maybank, CIMB dan Alliance Bank atas inisiatif kad kredit asas. Ketiga-tiga bank ini sudah menawarkan kad kredit asas dengan kadar tidak melebihi 14% setahun.
Jadual di bawah menyenaraikan butiran utama kad Nadi berdasarkan Penyata Pendedahan Produk (PDS) dan Soalan Lazim (FAQ) Maybank Islamic.
| Perkara | Butiran |
| Kadar Keuntungan Efektif | 14% setahun |
| Yuran Tahunan | Tiada |
| Cukai Perkhidmatan | RM25 bagi setiap kad utama dan tambahan, semasa pengaktifan dan setiap tahun selepasnya |
| Caj Bayaran Lewat | 1% daripada baki tertunggak, minimum RM10 dan maksimum RM100 |
| Bayaran Minimum Bulanan | 5% daripada baki tertunggak atau RM25, mengikut jumlah lebih tinggi |
| Had Kredit | Sehingga dua kali pendapatan bulanan atau RM20,000, mengikut jumlah lebih rendah |
| Kelayakan | Berumur 21 hingga 65 tahun dengan pendapatan minimum RM2,000 sebulan |
| Saluran Permohonan | Maybank2u, cawangan Maybank atau aplikasi MAE |
Sebagai perbandingan, kebanyakan kad kredit konvensional mengenakan kadar bertingkat antara 15% hingga 18% setahun, bergantung pada rekod bayaran pemegang kad. Mengambil contoh purata baki tertunggak RM5,000 sepanjang tahun. Pada kadar 14%, anggaran caj keuntungan kad Nadi ialah RM700.
Jika anda sentiasa membayar tepat pada masanya, kad konvensional mengenakan 15%, iaitu anggaran RM750. Dalam keadaan ini, kad Nadi memberi penjimatan sebanyak RM50 setahun. Jika rekod bayaran anda lemah dan kadar kad konvensional naik sehingga 18%, caj faedahnya menjadi RM900. Penjimatannya pula meningkat kepada RM200 setahun.
Pengiraan di atas hanya dikira secara ringkas sahaja. Bank sebenarnya mengira caj secara harian berdasarkan baki dan bayaran anda. Kadar kad Nadi kekal sama walaupun anda terlepas bayaran. Namun, caj bayaran lewat masih dikenakan, dan caj ini menambah jumlah yang perlu anda bayar. Baca PDS penuh sebelum memohon.
Permohonan melalui aplikasi MAE bagi kad Nadi hanya dibuka kepada mereka yang belum memiliki kad kredit Maybank Islamic.
Sukuk Simpanan Runcit Bertoken Disebut Sebagai Peluang Pelaburan
Sukuk simpanan runcit bertoken ialah inisiatif Kerajaan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2027. Melalui teknologi blockchain, rakyat biasa boleh melabur dalam sukuk Kerajaan dan memilih sama ada dana mereka disalurkan untuk pendidikan, kesihatan atau perlindungan sosial bagi golongan miskin. Khairussaleh berkata sukuk ini membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk melabur.
Ucapan Belanjawan 2027 belum menyatakan jumlah pelaburan minimum, kadar keuntungan atau tarikh pelancaran sukuk ini. Sementara menunggu pengumuman rasmi Kerajaan, berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan sukuk bertoken daripada pihak yang tidak dikenali.
Akses Pembiayaan Mikro PKS Dan Perlindungan Pengguna Daripada Scam
Khairussaleh berkata akses yang lebih luas kepada pembiayaan, termasuk pembiayaan mikro untuk PKS dan usahawan, akan membantu perniagaan berkembang. Jika anda merupakan pemilik PKS, semak kelayakan dan dokumen yang diperlukan dengan bank anda sebelum memohon.
Industri perbankan juga perlu terus mengadaptasi inovasi digital dan meningkatkan literasi kewangan, kata beliau. Industri ini turut perlu melindungi pengguna daripada penipuan kewangan melalui inisiatif seperti Kempen Anti-Scam Kebangsaan.
Defisit Fiskal Semakin Menghampiri Sasaran 3% Pada 2028
Defisit fiskal berlaku apabila perbelanjaan kerajaan melebihi hasil yang yang diperoleh. Ia diukur sebagai peratusan daripada KDNK. Kerajaan menyasarkan defisit 3% menjelang 2028, dan unjuran 2027 menunjukkan Kerajaan semakin hampir dengan sasaran itu.
Khairussaleh berkata Belanjawan 2027 mengimbangi pertumbuhan inklusif dengan disiplin fiskal. Belanjawan ini dibentangkan ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan dinamik perdagangan dan tekanan kos.
Belanjawan itu juga meliputi langkah dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi, menyokong isi rumah dan perniagaan, serta mempercepatkan pembangunan industri bernilai tinggi dan peralihan tenaga. Disiplin fiskal bersama langkah-langkah ini, katanya, akan mengukuhkan daya saing Malaysia dalam jangka panjang.
Rumah Mampu Milik Dan TVET Antara Fokus Belanjawan Yang Disebut Khairussaleh
Khairussaleh turut menyebut beberapa fokus Belanjawan 2027. Antaranya ialah pembangunan negeri yang lebih saksama, rasionalisasi cukai secara bersasar supaya kekayaan diagihkan dengan lebih adil, dan pemilikan rumah mampu milik. Beliau juga menyebut sokongan kepada PKS, usahawan dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. Jelasnya lagi, langkah-langkah ini akan membantu lebih ramai rakyat menyertai ekonomi.
Beliau berkata pelaburan dalam produktiviti, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan belia, peningkatan kemahiran dan inovasi pula akan terus melengkapkan rakyat Malaysia untuk peluang baharu.
Maybank Memudah Cara RM22 Bilion Pembiayaan Dan Kepentingan Pelaburan Di JS-SEZ
Maybank mengalu-alukan usaha Kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global. Bank itu berkata ia kekal komited untuk meluaskan pembiayaan dan pelaburan patuh Syariah.
Maybank kini memudah cara kira-kira RM22 bilion dalam pembiayaan dan kepentingan pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Jelas Maybank, langkah ini dapat membantu menarik pelaburan dan mengukuhkan hubungan ekonomi rentas sempadan. “Maybank berada pada kedudukan yang kukuh untuk terus menyalurkan modal kepada aktiviti ekonomi yang produktif,” kata Khairussaleh.
Bagi agenda peralihan tenaga negara, Maybank berkata ia terus menyalurkan modal kepada tenaga boleh baharu, penyelesaian rendah karbon dan infrastruktur lestari.
GLC Dan GLIC Naikkan Penanda Aras Gaji Sara Hidup Kepada RM3,400
Dalam ucapan Belanjawan 2027, Kerajaan menyambut baik komitmen GLIC dan GLC menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan, berbanding RM3,100, yang memanfaatkan 230,000 pekerja. Maybank turut mengalu-alukan langkah ini.
Bandingkan Kadar Kad Kredit Anda Dengan Kad Nadi
Jika anda membawa baki kad kredit dari bulan ke bulan, semak kadar yang dikenakan pada kad anda sekarang dalam penyata bulanan. Bandingkan kadar itu dengan kad Nadi sebelum memohon.
Memohon kad baharu tidak memindahkan baki sedia ada anda. ika anda memegang kad kredit Maybank lain, anda boleh memohon pemindahan baki ke kad Nadi sekali sahaja melalui Pusat Panggilan Kumpulan Maybank. Hanya baki runcit layak dipindahkan, tidak termasuk caj keuntungan, dan tertakluk pada had kredit yang diluluskan. Pemindahan baki daripada kad bank lain pula tertakluk pada terma program semasa, menurut FAQ Maybank.
Artikel ini berdasarkan kenyataan media Kumpulan Maybank bertarikh 9 Oktober 2026, PDS dan FAQ kad Nadi oleh Maybank Islamic, serta laporan RinggitPlus.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
