Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan tiga jenis borang khas untuk membolehkan anda melaraskan jumlah potongan cukai bulanan daripada gaji anda. Borang TP1 digunakan untuk menuntut pelepasan cukai, contohnya jika anda membeli komputer riba baharu atau melanggan gimnasium. Borang TP3 pula khusus untuk mereka yang bertukar kerja dalam tahun semasa, manakala Borang TP2 adalah bagi manfaat bukan tunai seperti kereta syarikat. Anda hanya perlu mengisi borang-borang ini dan menyerahkannya kepada bahagian HR anda sendiri, dan bukannya dihantar ke LHDN.
Tanpa borang-borang ini, Potongan Cukai Bulanan (PCB) anda mungkin dipotong lebih tinggi atau lebih rendah berbanding cukai sebenar yang patut dibayar. Ini kerana majikan biasanya mengira PCB berdasarkan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta status sama ada anda sudah berkahwin atau mempunyai anak. Pembelian gajet peribadi tidak akan mengurangkan potongan tersebut secara automatik, dan gaji dari tempat kerja lama juga tidak diambil kira. Disebabkan itu, anda mungkin terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan bayaran balik lebihan cukai, atau tiba-tiba terkejut apabila menerima baki tunggakan cukai yang besar ketika mengisi e-Filing nanti.
TP1 Membolehkan Anda Menuntut Pelepasan Cukai Melalui Slip Gaji
Majikan anda sebenarnya sudah pun memasukkan pelepasan asas individu sebanyak RM9,000 untuk setiap pemastautin cukai, caruman KWSP, serta pelepasan bagi pasangan dan anak sekiranya anda telah memaklumkannya kepada pihak Sumber Manusia (HR). Jadi, Borang TP1 ini berfungsi untuk menuntut pelepasan lain yang selebihnya. Sebaik sahaja majikan mengemas kini pelepasan tersebut dalam sistem penggajian, potongan cukai bulanan daripada gaji anda akan berkurangan untuk baki bulan dalam tahun berkenaan.
Sebelum menghantar borang ini, semak slip gaji anda terlebih dahulu untuk memastikan memang ada potongan PCB dibuat. Borang TP1 tidak boleh mengurangkan cukai yang anda langsung tidak bayar. Sebagai contoh, pekerja bujang dengan gaji RM3,000 sebulan berserta caruman biasa KWSP memang tidak dikenakan sebarang PCB.
Borang TP1 versi 2026 [PDF] ini merangkumi sebahagian besar pelepasan yang biasa anda tuntut semasa e-Filing, termasuk zakat yang anda bayar sendiri di luar potongan gaji. Antara pelepasan yang tersenarai dalam borang ini termasuklah:
| Pelepasan | Perbelanjaan Yang Layak | Had Tahunan (RM) |
| Gaya Hidup | Buku, telefon, komputer atau tablet, internet rumah atas nama anda, dan kursus peningkatan diri | 2,500 |
| Sukan | Peralatan sukan, keahlian gim, sewa gelanggang atau fasiliti, dan yuran pertandingan | 1,000 |
| Perubatan (Diri Sendiri, Pasangan Atau Anak) | Penyakit serius dan rawatan kesuburan, serta sehingga RM1,000 setiap satu untuk pemeriksaan kesihatan penuh, vaksinasi dan rawatan pergigian | 10,000 |
| Perubatan Ibu Bapa | Rawatan, rawatan pergigian dan penjaga untuk ibu bapa atau datuk nenek | 8,000 |
| Insurans Pendidikan Dan Perubatan | Premium untuk diri sendiri, pasangan atau anak | 4,000 |
| Yuran Penjagaan Anak | Taska atau tadika berdaftar, untuk anak berumur 12 tahun ke bawah | 3,000 |
Pelepasan gaya hidup dan sukan diletakkan di bawah kategori had yang berasingan. Jadi, perbelanjaan untuk gimnasium tidak akan mengurangkan kuota RM2,500 yang diperuntukkan bagi komputer riba atau telefon anda.
Anda juga tidak perlu melampirkan resit bersama Borang TP1. Majikan hanya menyimpan borang tersebut, manakala anda sendiri wajib menyimpan semua resit asal selama tujuh tahun sebagai persediaan sekiranya disemak oleh LHDN. Tambahan pula, LHDN membenarkan anda menghantar Borang TP1 lebih daripada sekali dalam tahun yang sama. Jadi, anda boleh serahkan borang baharu bila-bila masa sahaja setiap kali membuat pembelian yang layak.
TP3 Memaklumkan Majikan Baharu Tentang Pendapatan Yang Telah Anda Terima
Borang TP3 wajib diisi oleh sesiapa sahaja yang bertukar tempat kerja pada pertengahan tahun. Borang ini bertujuan memaklumkan majikan baharu tentang jumlah pendapatan terkumpul, caruman KWSP yang telah dibuat, dan jumlah potongan PCB yang telah dipotong di syarikat terdahulu dari bulan Januari sehingga hari terakhir anda bekerja di sana.
Jika anda tidak menyerahkan Borang TP3, majikan baharu akan mengira PCB anda berdasarkan andaian bahawa gaji baharu itu adalah satu-satunya pendapatan yang anda peroleh untuk tahun berkenaan. Pendapatan daripada majikan lama menjadikan jumlah pendapatan tahunan anda lebih tinggi, menyebabkan potongan cukai bulanan di tempat baharu menjadi terlalu rendah. Akibatnya, anda mungkin perlu membayar tunggakan cukai yang agak besar semasa mengisi e-Filing nanti.
Borang TP3 turut menyediakan ruangan untuk merekod pelepasan yang sudah pun dituntut di syarikat lama supaya ia dapat disambung di tempat kerja baharu. Anda boleh merujuk slip gaji lama kerana kebanyakan butiran yang diperlukan ada di situ.
TP2 Hanya Untuk Manfaat Seperti Kereta Syarikat
Borang TP2 digunakan untuk merekodkan manfaat berupa barangan (benefits-in-kind), iaitu pelbagai kemudahan atau imbuhan bukan tunai yang disediakan oleh majikan. Selain kemudahan kereta syarikat, ini termasuklah kemudahan tempat tinggal, perabot, pemandu peribadi, yuran kelab eksklusif, mahupun pelan perlindungan insurans yang ditanggung syarikat.
Borang TP2 [PDF] berfungsi untuk mengisytiharkan nilai anggaran manfaat tersebut kepada majikan supaya cukai ke atas kemudahan berkenaan dapat dimasukkan ke dalam potongan PCB bulanan dan diagihkan secara berperingkat sepanjang tahun. Langkah ini mengelakkan anda daripada menerima kejutan bil cukai sekali gus pada musim taksiran. Jika majikan anda tidak menyediakan sebarang kemudahan sebegini, anda boleh abaikan terus borang ini.
Pekerja Bergaji RM5,000 Terima RM210 Dalam Slip Gaji, Bukan Sebagai Bayaran Balik
Sebagai contoh, seorang pekerja bujang berpendapatan RM5,000 sebulan, mencarum kadar biasa KWSP sebanyak 11%, dan tidak mempunyai pelepasan lain. Berdasarkan formula PCB LHDN, majikan akan memotong cukai sebanyak RM110 setiap bulan.
Pada bulan September, individu tersebut membeli sebuah komputer riba berharga RM2,600 dan melanggan keahlian gimnasium setahun bernilai RM1,000. Pada bulan Oktober, dia telah menyerahkan Borang TP1 dengan menuntut RM2,500 untuk pelepasan gaya hidup dan RM1,000 untuk pelepasan sukan. Berikut adalah simulasi perubahan potongan PCB beliau:
| Bulan | PCB Tanpa TP1 (RM) | PCB Dengan TP1 (RM) |
| Januari Hingga September | 110 sebulan | 110 sebulan |
| Oktober Hingga Disember | 110 sebulan | 40 sebulan |
| Jumlah Bagi 2026 | 1,320 | 1,110 |
Hasilnya, dia membawa pulang tambahan wang tunai sebanyak RM70 sebulan bagi baki tiga bulan terakhir, atau RM210 kesemuanya. Tanpa Borang TP1, dia tetap akan mendapat semula wang RM210 tersebut, namun perlu menunggu sebagai bayaran balik lebihan cukai selepas menghantar e-Filing bagi taksiran 2026 pada tahun 2027 kelak.
Sekiranya pembelian yang sama dibuat lebih awal dan Borang TP1 dihantar pada bulan Mac, RM210 itu akan diagihkan selama sepuluh bulan, iaitu PCB dia RM21 lebih rendah setiap bulan dari Mac hingga Disember.
TP1 Tidak Menggantikan Pemfailan Cukai
Borang TP1 dan TP3 hanyalah untuk menyelaras potongan cukai setiap bulan di peringkat slip gaji, bukannya mengubah jumlah liabiliti cukai tahunan sebenar anda. Kiraan cukai muktamad tetap dibuat semasa anda menghantar borang penyata cukai melalui portal MyTax, dan anda masih perlu memasukkan semula butiran pelepasan yang sama di sana.
LHDN menetapkan sasaran pembayaran balik lebihan cukai e-Filing dalam tempoh 30 hari bekerja selepas borang dihantar. Setakat 30 Jun 2026, kerajaan telah memulangkan sebanyak RM5.75 bilion lebihan cukai kepada 3.1 juta individu pembayar cukai, iaitu bersamaan purata sekitar RM1,850 bagi setiap orang.
Jika anda menuntut perbelanjaan yang tidak sah dalam Borang TP1 atau menuntut melebihi had yang dibenarkan, potongan PCB bulanan anda akan menjadi terlalu rendah daripada sepatutnya. Anda wajib melunaskan semula baki kekurangan cukai tersebut semasa pemfailan kelak. Oleh itu, langkah paling selamat ialah hanya tuntut perkara yang memang telah anda belanjakan dan mempunyai bukti resit yang sah.
Menghantar Borang Kepada Pasukan HR
Borang TP1 dan TP3 boleh dimuat turun secara percuma melalui portal rasmi LHDN. Kedua-dua borang memerlukan anda mengisi maklumat asas terlebih dahulu, seperti bulan dan tahun pelaksanaan borang berkenaan, nama serta nombor cukai pendapatan majikan, berserta nama penuh, nombor kad pengenalan, dan nombor cukai anda sendiri. Bagi Borang TP3, bahagian maklumat majikan hendaklah diisi dengan butiran tempat kerja lama anda.
Pada helaian Borang TP1, masukkan nilai perbelanjaan yang hendak dituntut dalam ruangan lajur “semasa”, dan masukkan jumlah perbelanjaan terkumpul setakat tahun ini dalam lajur “terkumpul”. Tandatangani borang tersebut dan serahkan terus kepada pegawai HR atau unit gaji (payroll) syarikat anda, bukan ke pejabat LHDN. Pihak majikan seterusnya akan meluluskan dan memperakui borang tersebut pada bahagian pengesahan majikan.
Bagi mereka yang baru berpindah syarikat, serahkan Borang TP3 kepada pihak HR seawal mungkin sebelum gaji bulan pertama anda diproses. Jangan lupa untuk menyemak tarikh akhir pemprosesan gaji (cut-off date) setiap bulan dengan HR anda, kerana borang yang diterima selepas sistem gaji diproses mungkin hanya akan mula dikira pada bulan yang berikutnya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Pugaleshwaran Raja Kumaran adalah seorang Pengarah Eksekutif Cukai di ThinkTx Consultants dengan pengalaman lebih sedekad dalam melaksanakan penyelesaian cukai yang strategik dan praktikal. Dengan pengalaman tersebut, beliau menjadi penasihat kepada individu-individu dengan nilai bersih yang tinggi (high net worth), perbadanan multinasional, perniagaan yang sedang berkembang, serta membantu mereka menguruskan hal ehwal cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Beliau mempunyai pengalaman yang cukup meluas dalam pelbagai tugasan melibatkan cukai, termasuk pematuhan cukai korporat, Cukai Keuntungan Modal (CGT), cukai pegangan, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta khidmat nasihat mengenai pelaburan masuk dan keluar negara. Beliau juga menerajui bidang yang merangkumi insentif cukai, audit dan siasatan cukai, khidmat nasihat pelanggan peribadi, usaha wajar (due diligence) cukai, dan khidmat nasihat e-Invois. Ia secara tidak langsung, beliau memberikan sokongan yang menyeluruh merentasi pelbagai peringkat dalam urusan perniagaan.
Selain daripada khidmat nasihat pelanggan, beliau juga turut aktif dalam menyumbang kepada profesion percukaian melalui penulisan dan perkongsian mengenai dasar cukai Malaysia, perkembangan kawal selia, dan amalan terbaik industri. Beliau telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional, dengan penerbitan yang dipaparkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD), dan Wolters Kluwer (CCH) termasuk sumbangan kepada kemas kini kandungan Cukai Jualan dan Perkhidmatan Malaysia.
Keahlian Profesional
- Ejen Cukai Berlesen yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Penasihat Industri bagi Program Perakaunan dan Kewangan HELP Academy
Sebagai rakan kongsi RinggitPlus dengan kepakaran cukai yang dipercayai, Pugaleshwaran menyemak dan mengesahkan kandungan percukaian Malaysia bagi memastikan maklumat tersebut tepat, patuh undang-undang, dan relevan untuk kegunaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.
