Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan tiga penambahbaikan yang bakal memudahkan urusan peniaga di Kuala Lumpur, iaitu permit meja dan kerusi kaki lima pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set, proses kelulusan lebih pantas untuk kerja pembaikan kecil, dan syarat yang lebih jelas untuk premis anda yang ditutup atas sebab kebersihan boleh beroperasi semula.
Menurut laporan Bernama pada 11 Ogos 2026, DBKL mengumumkan perubahan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkemas proses dan mengurangkan birokrasi yang tidak perlu. Penambahbaikan ini terpakai kepada peniaga selagi memenuhi syarat ditetapkan, tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.
Permit Meja dan Kerusi di Kaki Lima Ditetapkan Pada RM30 Sebulan Bagi Setiap Set
Bagi peniaga yang mahu meletakkan meja dan kerusi di kaki lima kedai, mereka perlu membuat permohonan di Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing. Kelulusan bergantung pada kesesuaian lokasi dan kelebaran kaki lima, serta tertakluk kepada syarat laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda dan akses kecemasan tidak terhalang.
Proses Kelulusan Kerja Pembaikan Kecil Dipercepatkan
Untuk kerja pembaikan yang berskala kecil seperti menukar jubin atau siling yang tidak melibatkan perubahan struktur bangunan, peniaga cuma perlu mengisi borang dan memaklumkan kepada DBKL. Permit ini dikeluarkan terus di Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen anda. Ini bermakna kerja berisiko rendah boleh diluluskan lebih pantas tanpa menjejaskan aspek pematuhan dan keselamatan.
Premis Ditutup Kerana Isu Kebersihan Boleh Dibuka Semula Seawal 24 Jam
Bagi peniaga yang menguruskan premis makanan, premis yang diarahkan ditutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam, asalkan kerja pembersihan sudah anda lakukan dengan sempurna. Bagaimanapun, pembukaan semula bukanlah secara automatik. DBKL akan membuat pemeriksaan dahulu dan mengesahkan semua syarat kebersihan serta keselamatan makanan dipatuhi sepenuhnya, sebelum premis anda dibenarkan beroperasi semula.
DBKL turut menegaskan setiap kelonggaran proses ini tidak akan menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan, aksesibiliti dan kepentingan awam. Sebaliknya, proses yang lebih jelas dan seragam ini memberi kepastian kepada anda sebagai peniaga, memudahkan kerja pegawai, serta mengurangkan ruang untuk tafsiran berbeza semasa pelaksanaan di peringkat cawangan.
Penambahbaikan Ini Hasil Rundingan Dengan Persatuan Peniaga
Penambahbaikan ini bukanlah keputusan sebelah pihak. Ia dibuat susulan sesi libat urus bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, serta wakil Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
Satu lagi sesi turut diadakan bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) pada April 2026, khusus membincangkan isu yang dihadapi pengusaha premis makanan, terutamanya berkaitan pembukaan semula premis.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
