Kerajaan bakal memberikan 10 gigabait (GB) data percuma kepada pengguna prabayar dan pascabayar yang layak, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026. Insentif Rebat Rahmah ini merupakan hasil kerjasama melibatkan Kementerian Komunikasi dengan lima syarikat telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengumumkan perkara ini pada 12 Ogos 2026 sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Program Sambutan HKHM 2026 di Putrajaya.
5GB Pada Hari Kebangsaan, 5GB Lagi Akan Diberikan Pada Hari Malaysia
Anda akan menerima data percuma ini pada dua tarikh berasingan, iaitu pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Menurut Fahmi, semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar dalam kalangan warganegara Malaysia yang layak akan menikmati pemberian 10GB data percuma iaitu 5GB pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos dan 5GB lagi pada Hari Malaysia, 16 September. Walau bagaimanapun, kriteria kelayakan penuh masih belum diumumkan secara terperinci.
Cara Tebus Data Masih Belum Diumumkan
Fahmi berkata kaedah dan tempoh sebenar untuk menebus data percuma ini akan diperincikan oleh setiap syarikat telekomunikasi terlibat, tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing. Fahmi turut menyatakan soalan lazim (FAQ) berkaitan inisiatif ini bakal dimuat naik di laman web Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat.
Penggunaan Internet Rakyat Malaysia Naik Kepada 98.3%
Inisiatif data percuma ini turut selari dengan trend penggunaan internet rakyat Malaysia yang semakin tinggi. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 98.3% rakyat Malaysia menggunakan internet pada 2025. Kadar tersebut menunjukkan kenaikan daripada 98.0% pada tahun sebelumnya, dengan 97.1% isi rumah kini mempunyai akses internet.
Malah, golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas turut mencatatkan kadar penggunaan internet sebanyak 92.3%, menunjukkan jurang digital antara generasi semakin mengecil.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
