Tahniah, menamatkan pengajian adalah satu pencapaian yang hebat! Seperti kebanyakan graduan Malaysia, anda mungkin mempunyai satu tanggungjawab kewangan yang akan dibawa bersama ke alam pekerjaan iaitu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anda.
Kalau anda terlepas bayaran, anda mungkin akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan bagi pinjaman kereta atau pinjaman rumah. Jika tunggakan pinjaman PTPTN anda terlalu banyak, anda juga berisiko untuk disekat dari meninggalkan negara.
Bilakah Tempoh Bayaran Balik Bermula dan Berapakah Jumlah yang Perlu Dibayar?
Bayaran balik PTPTN anda akan bermula 12 bulan selepas anda menamatkan pengajian. PTPTN mewajibkan anda mula membayar tanpa perlu menunggu sebarang peringatan, jadi adalah penting untuk anda peka dengan tarikh tersebut.
Apabila memasuki bulan ke-13, caj perkhidmatan (Ujrah) akan mula terkumpul berdasarkan baki pinjaman anda yang masih ada. Tarikh akhir pembayaran untuk setiap bulan adalah pada 27 hari bulan dan sebarang bayaran yang dibuat selepas tarikh ini hanya akan direkodkan dalam penyata bulan berikutnya.
Jumlah Sebenar yang Perlu Anda Bayar
Bayaran bulanan anda dikira berdasarkan jumlah keseluruhan pinjaman dan tahap pendapatan anda. Apabila PTPTN memproses pinjaman anda, mereka akan menyediakan Jadual Bayaran Balik (JBB) berdasarkan baki pinjaman dan kemampuan kewangan anda.
Berikut adalah contoh situasi bagi graduan biasa:
- Jumlah pinjaman PTPTN: RM45,000
- Pendapatan kasar bulanan: RM3,500
- Anggaran bayaran bulanan: Antara RM175 hingga RM280
- Tempoh bayaran balik: Sehingga 15 tahun dengan bayaran minimum
Kalau anda membayar kurang daripada jumlah yang ditetapkan, ia akan menyebabkan anda mempunyai tunggakan. Walau bagaimanapun, anda digalakkan untuk membayar lebih bagi melunaskan pinjaman dengan lebih cepat dan menjimatkan jumlah keseluruhan caj Ujrah.
Tip buat graduan baharu: Jika anda masih mencari kerja atau berpendapatan rendah semasa tempoh percubaan, anda boleh memohon untuk penstrukturan semula pinjaman setelah berada di bawah skim Ujrah bagi mengelakkan tunggakan.
Memahami Skim Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anda
PTPTN mengendalikan dua skim pinjaman yang utama.
| Skim | Kadar Tahunan (% p.a.) | Jenis | Penstrukturan Semula? |
| Konvensional | 3.0% hingga 5.0% setahun | Faedah | Tiada |
| Ujrah | 1.0% setahun | Yuran tetap (Patuh Syariah) | Ya |
Skim Konvensional berfungsi seperti pinjaman tradisional dengan caj faedah sebanyak 3.0% hingga 5.0% setahun. Jika anda mengambil pinjaman beberapa tahun yang lalu, anda berkemungkinan besar berada di bawah skim ini.
Skim Ujrah (Disyorkan) adalah skim patuh Syariah dengan upah tetap sebanyak 1.0% setahun. Skim ini menawarkan penjimatan kos yang nyata sepanjang tempoh pinjaman anda
Proses pertukaran skim adalah mudah melalui myPTPTN tanpa sebarang penalti. Perlu diingat bahawa penstrukturan semula pinjaman hanya tersedia untuk pinjaman Ujrah sahaja. Jika anda berada di bawah skim Konvensional, anda perlu menukarkannya kepada Ujrah terlebih dahulu sebelum boleh menstruktur semula bayaran anda. Kalau nak lebih mudah, tukarkan pinjaman anda terus ke skim Ujrah dalam beberapa bulan pertama selepas tamat pengajian untuk memudahkan urusan fleksibiliti bayaran balik pada masa hadapan.
Cara untuk Menetapkan Bayaran Automatik
Anda boleh menetapkan bayaran secara automatik melalui dua cara:
- Potongan Gaji: Majikan anda akan memotong bayaran terus daripada gaji anda dan memprosesnya secara dalam talian melalui Portal Majikan Online. Ini adalah pilihan paling mudah bagi graduan baharu kerana HR anda akan menguruskan segalanya.
- Debit Secara Terus (Direct Debit): Bank anda akan menolak bayaran secara automatik daripada akaun anda pada tarikh tetap setiap bulan. Kaedah ini lebih sesuai jika anda bekerja sendiri (freelance) atau bekerja dengan syarikat kecil yang tidak mempunyai sistem penggajian automatik.
Kedua-dua kaedah automatik ini memastikan anda tidak akan mempunyai masalah tunggakan secara tidak sengaja. Malah, anda juga layak mendapat diskaun yang lebih tinggi kerana PTPTN menghargai peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman secara konsisten setiap bulan.
Jika bayaran automatik tidak sesuai untuk anda, terdapat pilihan lain termasuk aplikasi myPTPTN, pindahan bank dalam talian, kaunter PTPTN, Bank Islam, Bank Rakyat, Pos Laju, 7-Eleven, atau pengeluaran Akaun 2 KWSP.
Apa yang Perlu Anda Buat Jika Menghadapi Kesukaran Membuat Bayaran Balik Pinjaman PTPTN?
Jika situasi kewangan anda berubah dan anda tidak mampu meneruskan pembayaran, terdapat dua pilihan yang mungkin dapat membantu anda.
Penangguhan (Memberhentikan bayaran buat sementara waktu)
Anda boleh memohon untuk membuat penangguhan bagi keadaan tertentu, namun Ujrah akan terus terkumpul sepanjang tempoh penangguhan tersebut.
- Melanjutkan Pengajian: Mohon melalui myPTPTN jika anda menyambung pengajian sepenuh masa. Jika anda melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana sejurus selepas Ijazah, mohon penangguhan dengan segera.
- Pengangguran: Tempoh penangguhan maksimum adalah selama 24 bulan dari tarikh asal bayaran balik bermula.
- Penangguhan Kecemasan: PTPTN melaksanakan moratorium bayaran khas semasa kecemasan negara seperti COVID-19 atau banjir besar.
Penjadualan Semula (Mengurangkan bayaran bulanan)
Jika anda tidak mampu membayar ansuran bulanan sedia ada, penjadualan semula dapat mengurangkan jumlah bayaran dengan memanjangkan tempoh bayaran balik. Untuk melayakkan diri, anda perlu berada di bawah skim Ujrah, membayar sebahagian daripada tunggakan jika anda mempunyai tunggakan dan membuat permohonan melalui myPTPTN.
Ramai graduan baharu mendapati gaji permulaan mereka lebih rendah daripada apa yang dijangkakan. Penjadualan semula membolehkan anda menyelaraskan bayaran mengikut pendapatan sebenar daripada membiarkan pinjaman tersebut tertunggak.
Apa Kesannya Jika Saya Tidak Membuat Bayaran Balik Pinjaman PTPTN?
Tabiat pembayaran balik PTPTN memainkan peranan yang lebih besar daripada yang anda jangkakan, lebih-lebih lagi kalau anda mempunyai perancangan untuk memohon kad kredit atau pinjaman pada masa hadapan.
Tersenarai Dalam Laporan CCRIS dan Kerosakan Skor Kredit
PTPTN melaporkan status peminjam kepada CCRIS Bank Negara Malaysia. Tunggakan pada pinjaman anda ini akan menurunkan skor kredit anda dengan ketara, sekali gus menyekat permohonan pinjaman perumahan, pinjaman kereta, kad kredit, dan pinjaman peribadi.
Kalau anda tidak pasti tentang kedudukan kredit semasa, anda boleh semak skor kredit anda secara percuma dan fahami bagaimana skor kredit memberi kesan kepada keputusan kewangan utama.
Tindakan Undang-Undang dan Sekatan Perjalanan
PTPTN mengikuti proses tetap yang bermula dengan surat peringatan, disusuli dengan Notis Tuntutan, dan kemudian saman sivil. Penghakiman mahkamah boleh mengakibatkan pemotongan gaji atau penyitaan aset, dengan kos guaman akan ditambah ke dalam jumlah hutang anda.
Sekatan perjalanan akan dikembalikan semula pada tahun 2026 di bawah Belanjawan 2026. Polisi ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015 tetapi telah dimansuhkan pada Mei 2018 dan bakal diperkenalkan semula. Ia menyasarkan peminjam culas yang berpendapatan tinggi dan mereka yang bekerja di luar negara yang mengelak daripada membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.
Diskaun dan Insentif untuk Bayaran Balik Pinjaman PTPTN
PTPTN menawarkan beberapa diskaun dan insentif yang boleh membantu anda penjimatan yang besar jika anda merancang pembayaran balik anda dengan bijak.
Pengecualian Caj Perkhidmatan Tempoh Ihsan 12 Bulan
Jika anda menjelaskan keseluruhan pinjaman dalam tempoh 12 bulan selepas tamat pengajian, PTPTN akan mengecualikan 100% daripada semua caj perkhidmatan. Untuk pinjaman sebanyak RM40,000, ini boleh menjimatkan ribuan ringgit.
Strategi graduan bijak: Jika anda menerima duit raya atau angpao yang banyak semasa musim Raya atau Tahun Baru Cina pertama selepas graduasi, atau jika ibu bapa anda menawarkan bantuan kewangan, pertimbangkan untuk menggunakannya bagi melunaskan PTPTN sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan tersebut.
Diskaun Belanjawan Tahunan
Belanjawan 2024 menawarkan diskaun 15% untuk potongan gaji atau debit terus berjadual, dan diskaun 10% untuk bayaran penuh sekali gus (lump-sum) atau bayaran 50% sekaligus.
Setakat Disember 2024, tiada tempoh diskaun baharu diumumkan. Pengumuman ini biasanya dibuat pada bulan Oktober semasa pembentangan Belanjawan tahunan, jadi nantikan kemaskini pada waktu tersebut.
Pengeluaran Akaun 2 KWSP
Anda boleh menggunakan dana Akaun 2 KWSP tanpa had pengeluaran atau yuran untuk melunaskan pinjaman PTPTN anda. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa simpanan KWSP ada pulangan dividen kompaun. Jadi, pertimbangkan dulu kesannya terhadap pertumbuhan simpanan jangka panjang anda. Kalau keluarkan RM20,000 sekarang, bermakna anda mungkin terlepas potensi keuntungan dividen berkali ganda untuk puluhan tahun akan datang.
Sebagai graduan baharu, baki KWSP anda mungkin masih kecil buat masa ini. Sebaik sahaja anda mengumpul RM15,000 hingga RM20,000 dalam Akaun 2 selepas beberapa tahun, penggunaan KWSP menjadi pilihan yang munasabah terutamanya semasa tempoh diskaun PTPTN.
Bina Tabiat Kewangan yang Baik Ketika Pembayaran Balik Pinjaman PTPTN

Pinjaman PTPTN anda mungkin merupakan antara komitmen kewangan besar yang pertama, dan cara anda menguruskannya sekarang akan menentukan tabiat kewangan anda untuk tahun-tahun mendatang.
- Rancang bajet selepas tamat belajar: Masukkan bayaran bulanan PTPTN dalam bajet anda seperti bayar sewa rumah atau bil telefon. Jangan biarkan nafsu untuk menaikkan taraf gaya hidup dengan berbelanja melebihi kemampuan membuatkan anda terpaksa tangguh membayar hutang pinjaman PTPTN.
- Pantau nisbah hutang dengan pendapatan: Graduan baharu sebaiknya perlu memastikan jumlah bayaran hutang bulanan (termasuk PTPTN) adalah di bawah 40% daripada pendapatan. Ini bermakna jika gaji anda RM3,000 sebulan, jumlah bayaran hutang tidak sepatutnya melebihi RM1,200.
- Mulakan tabung kecemasan: Berusaha untuk menyimpan sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan asas. Ini bagi mengelakkan anda terlepas bayaran PTPTN jika berlaku situasi diluar jangkaan seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.
- Utamakan hutang faedah tinggi: Jika anda mempunyai hutang kad kredit atau pinjaman peribadi selain PTPTN, selesaikan hutang dengan kadar faedah tertinggi dahulu. Faedah kad kredit (15% sehingga 18% setahun) jauh lebih membebankan berbanding kos Ujrah PTPTN yang hanya 1%.
Urus Pinjaman PTPTN Anda dengan Bijak
Pinjaman PTPTN sepatutnya tidak menjadi bebanan dalam fikiran anda untuk tempoh puluhan tahun. Semuanya boleh diuruskan apabila anda faham bagaimana sistem ini berfungsi.
Lakukan tetapan potongan gaji pada bulan pertama anda bekerja, tukar kepada skim Ujrah jika anda belum melakukannya, dan sentiasa peka dengan pengumuman diskaun semasa pembentangan Belanjawan tahunan setiap Oktober. Pantau rekod CCRIS anda secara berkala melalui portal percuma eCCRIS, dan jangan sesekali membayar kurang daripada jumlah JBB anda.
Jika anda mengalami masalah kewangan, mohon penjadualan semula dengan segera sebelum tunggakan semakin bertambah. Anda juga boleh pertimbangkan penangguhan jika tidak bekerja (maksimum 24 bulan), dan hubungi PTPTN Careline di talian 03-2193 3000.
Seelok-seeloknya elakkan dari mengabaikannya bayaran balik pinjaman PTPTN anda. Beribu-ribu graduan berjaya menguruskan bayaran balik PTPTN mereka sambil membina kerjaya, menyimpan untuk impian masa depan, dan menjalani kehidupan yang bermakna.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.
