Baru-baru ini, tular di media sosial video yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 dalam kuantiti yang banyak ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di Skudai, Johor. Video tersebut telah mendapat perhatian ramai termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Terbaharu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menjelaskan, sesiapa yang mahu membeli petrol atau diesel melebihi 20 liter di stesen minyak dalam tong atau bekas lain selain tangki kenderaan wajib memiliki Permit Khas terlebih dahulu.
Menurutnya, ia termaktub di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang bertujuan menghalang penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel.
Siapa Yang Layak Mohon?
Setakat ini, hanya 10 kategori yang boleh memohon Permit Khas:
- Forklift
- Pengangkutan air
- Penduduk kawasan pedalaman dan pulau
- Pengusaha industri makanan
- Rekreasi air
- Pertanian dan penternakan
- Bantuan kecemasan
- Penyelenggaraan
- Pelancongan
- Pembinaan berskala kecil
Harga bagi pembelian menggunakan Permit Khas adalah sama seperti harga pam semasa di stesen minyak.
Macam Mana Nak Mohon?
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan di https://spb.kpdn.gov.my. Yang menariknya, permit ini adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang layak.
Setelah diluluskan, pemegang permit boleh menggunakan tong , plastik, atau bekas lain yang selamat mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh, dan kekerapan pembelian yang ditetapkan dalam permit.
Tak Boleh Isi Minyak Dalam Tong Jika Tiada Permit
Tanpa Permit Khas, tiada sesiapa yang dibenarkan untuk membeli minyak dalam tong di stesen minyak. Satu-satunya pengecualian adalah kes kecemasan, dan kuantitinya terhad kepada bawah 20 liter sahaja.
KPDN Johor kini sedang mengesan individu dalam video viral tersebut untuk dipanggil bagi tujuan siasatan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
