Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan nombor pendaftaran siri khas “H” bermula Rabu ini (16 September 2026) sempena Hari Malaysia, dengan pilihan nombor dari 1 hingga 9,999. Selepas siri ini, JPJ tidak akan menawarkan lagi sebarang siri pendaftaran satu huruf.
Cara Untuk Membida Nombor Siri H
Anda boleh membida terus melalui aplikasi JPJeBid. Tempoh bidaan dibuka bermula Rabu ini sehingga 20 September 2026, dan keputusan akan diumumkan pada 21 September 2026.
Siapa Yang Layak Untuk Mendaftar Di Portal JPJeBid
Menerusi soalan lazim di laman JPJeBid, individu tersebut perlulah warganegara atau Penduduk Tetap Malaysia (PTM) berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar. Perniagaan dan syarikat berdaftar turut layak memohon.
Bagi pertubuhan, koperasi, badan profesional, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, kedutaan, dan bukan warganegara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Pejabat Pesuruhjaya Tinggi (High Commission), Pertubuhan Antarabangsa (international organisations), and Pejabat Serantau (regional office) permohonan hanya dibenarkan jika sudah mempunyai rekod dalam Sistem MySIKAP.
Bukan warganegara turut perlu mengemaskini nombor siri pasport terbaru sekiranya pasport lama telah luput tempoh, di mana-mana pejabat negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC.
Cara Harga Bidaan Ditentukan
Caj perkhidmatan berjumlah RM10 akan dikenakan bagi setiap nombor pendaftaran yang dibida. Caj berkenaan merupakan hasil Kerajaan dan tidak akan dikembalikan. Setiap kategori nombor mempunyai harga minimum dan kadar kenaikan bidaan yang berbeza:
| Kategori | Harga Minimum (RM) | Kenaikan Minimum Bidaan (RM) |
| Nombor Bernilai Utama | 20,000 | 1,000 (biasa) / 2,000 (30 minit terakhir) |
| Nombor Premium | 5,000 | 250 / 500 |
| Nombor Menarik | 2,500 | 125 / 250 |
| Nombor Popular | 500 | 25 / 50 |
| Nombor Biasa | 300 | 15 / 30 |
Bidaan pertama anda mesti sama atau melebihi harga minima kategori berkenaan. Kenaikan minimum ditetapkan pada 5% daripada harga minimum sepanjang tempoh bidaan, dan meningkat kepada 10% dalam 30 minit terakhir, tanpa had maksimum untuk peningkatan. Semua transaksi bidaan menggunakan kaedah Pre-Authorization.
Siri H Melambangkan Semangat Harmoni Hari Malaysia
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata siri H melambangkan semangat harmoni sempena sambutan Hari Malaysia. “Siri ini sangat istimewa, dan orang ramai digalakkan mengambil peluang ini untuk membida nombor kerana JPJ tidak akan menawarkan lagi siri satu huruf,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran siri tersebut. Pelancaran diadakan di Presint Merdeka 118.
Siri H Berbeza Daripada Nombor Teksi
Siri H berbeza daripada pendaftaran teksi. Aedy Fadly menjelaskan bagi teksi, huruf H mesti disertai huruf pendaftaran negeri. Contohnya, teksi di Perak menggunakan “HA”, di mana “A” mewakili huruf pendaftaran negeri Perak.
Peluang Untuk Individu Yang Memiliki Nama Bermula Huruf H
Nama anda bermula dengan huruf H? Sebelum ini, huruf H hanya digunakan untuk pendaftaran teksi. Menerusi siri khas ini, buat julung kalinya anda yang namanya bermula huruf H turut berpeluang memiliki nombor pendaftaran dengan huruf tersebut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
