Jualan kenderaan baharu Malaysia melonjak 17% pada April 2026, mencecah 72,113 unit berbanding 61,807 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Angka ini turut mengatasi jualan Mac sebanyak 14%, iaitu daripada 63,489 unit. MAA menyebut dua faktor utama di sebalik lonjakan ini iaitu pengeluaran yang pulih semula selepas kilang berhenti operasi semasa Aidilfitri dan permintaan lebih tinggi terhadap model kereta baharu yang baru dilancarkan.
Kenderaan Penumpang Catat Prestasi Kuat
Jualan kenderaan penumpang meningkat 19% kepada 67,893 unit, naik daripada 57,231 unit pada April 2025. Sebaliknya, kenderaan komersial pula mencatatkan penurunan sebanya 8%, iaitu turun kepada 4,220 unit daripada 4,576 unit.
Prestasi Empat Bulan Pertama 2026
Jika dikira dari Januari hingga April 2026, jumlah jualan industri naik 2% kepada 254,318 unit, berbanding 250,239 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pecahannya adalah:
- Kenderaan penumpang: naik 2% kepada 238,418 unit
- Kenderaan komersial: turun 2% kepada 15,900 unit
Pengeluaran Pulih Pada April, Tapi Jumlah Terkumpul Masih Lemah
Output pengeluaran pada April melonjak 25% tahun ke tahun kepada 70,611 unit, daripada 56,602 unit sebelum ini. Daripada jumlah itu, 66,351 unit adalah kenderaan penumpang dan 4,260 unit adalah kenderaan komersial.
Namun, jumlah pengeluaran bagi Januari hingga April masih mencatat penurunan 2%, iaitu kepada 229,988 unit berbanding 234,205 unit setahun sebelumnya.
MAA menjangkakan momentum jualan akan kekal kukuh sepanjang bulan Mei.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
