DOSM: Inflasi Malaysia Cecah 1.9% pada April 2026, Harga Minyak Jadi Punca Utama

KONGSI

Inflasi Malaysia naik kepada 1.9% pada April 2026, daripada 1.7% pada Mac 2026, menurut data terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Penyumbang terbesar bulan April ialah kos pengangkutan yang melonjak kepada 4.1% berbanding Mac 1.6% seiring dengan harga minyak mentah Brent yang naik kepada AS$120.42 setong daripada AS$67.75 setong pada bulan sama tahun lalu.

Harga Minyak Punca Inflasi Naik

Harga Petrol RON97 kini berada pada RM5.06 seliter, manakala Diesel Semenanjung mencecah RM5.92 seliter. 

RON95 bersubsidi (BUDI95) pula masih kekal pada RM1.99 seliter, tetapi RON95 tanpa subsidi telah naik kepada RM4.00 seliter berbanding RM2.05 seliter pada April 2025. Kos pengangkutan awam turut meningkat 7.0%, dan kos selenggara kenderaan peribadi naik 4.8%.

Makanan di Luar Rumah Makin Mahal

Harga makanan dan minuman secara keseluruhannya naik 1.2% berbanding Mac 2026 (1.1%). Daripada 247 barangan makanan yang dipantau, 158 item (64.0%) mengalami kenaikan harga berbanding April 2025.

Makanan di luar rumah pula naik 2.6%. Kek mencatat jumlah paling tinggi pada 4.6% diikuti nasi campur (3.4%), roti canai (2.8%) dan masakan ikan sebanyak 2.7%. Harga ayam standard pula sedikit turun kepada RM10.39 sekilogram daripada RM10.59 pada Mac 2026.

Walau bagaimanapun, harga sayur-sayuran turun 4.7% tahun ke tahun, bawang putih turun 15.6%, bawang merah besar turun 15.2%, terung turun 15.1% dan tomato turun 11.3%. Harga susu, produk tenusu serta telur juga turun 0.9%.

Bil Elektrik Masih Tidak Naik

Harga elektrik, gas, dan bahan api terus turun untuk bulan kesepuluh berturut-turut, pada -4.5%. Ini kerana kadar Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) bagi pengguna domestik Semenanjung yang menggunakan lebih 600 kWh sebulan telah berubah kepada rebat 0.47 sen/kWh pada April 2026, berbanding caj 2.15 sen/kWh pada Mac 2026. 

Mereka yang menggunakan 600 kWh dan ke bawah tidak terjejas langsung. Di Sarawak pula, semua pengguna domestik mendapat diskaun bil elektrik 25% dari April hingga Disember 2026, yang memberi manfaat kepada kira-kira 714,000 isi rumah.

Negeri Mana Paling Terasa?

Sarawak mencatat inflasi paling rendah pada 0.4%, manakala Pahang paling tinggi pada 2.8%. Lapan negeri melebihi purata nasional 1.9%:

  • Pahang: 2.8%
  • WP Labuan: 2.7%
  • Negeri Sembilan: 2.5%
  • WP Kuala Lumpur: 2.5%
  • Johor: 2.4%
  • Sabah: 2.1%
  • WP Putrajaya: 2.1%
  • Selangor: 2.0%

Pendapatan Bawah RM3,000 Lebih Terbeban

Isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 mencatat inflasi 1.3% (Mac 2026, 1.2%). Walaupun kos makanan dan minuman mereka hanya naik 0.6%, namun kos makan di kedai naik 3.2%, pengangkutan naik 2.3% dan pendidikan naik 2.4%. Penurunan harga sayur-sayuran sebanyak 5.9% pula sedikit membantu.

Malaysia Masih Lebih Baik Berbanding Negara Lain

Inflasi Malaysia pada 1.9% jauh lebih rendah berbanding Filipina (7.2%), Zon Euro (3.0%), Korea Selatan (2.6%) dan Indonesia (2.4%). China pula menjadi negara paling rendah dengan hanya 1.2% sahaja.

Bagi tempoh Januari hingga April 2026, purata inflasi Malaysia adalah 1.7%, naik sedikit daripada 1.5% bagi tempoh yang sama tahun 2025. Kenaikan ini didorong terutamanya oleh kos insurans dan perkhidmatan kewangan iaitu sebanyak 5.0%, serta pendidikan dan tembakau (masing-masing 2.7%).

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan DOSM melaporkan ekonomi Malaysia tumbuh 5.4% pada suku pertama 2026 (Q1 2026) dengan jumlah keluaran bernilai RM437.7 bilion.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen