KTMB Tambah Empat ETS KL-JB Setiap Hujung Minggu Hingga 27 Disember

KONGSI

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah empat perjalanan tren elektrik (ETS) antara KL Sentral dan JB Sentral setiap hujung minggu sehingga 27 Disember 2026, susulan peningkatan permintaan penumpang ke sektor Selatan.

Menurut laporan Bernama mengenai kenyataan KTMB pada 24 September 2026, perjalanan tambahan ini beroperasi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad selama 50 hari, dengan 63,200 tempat duduk tambahan. Tiketnya sudah dijual sejak 7 September.

Laporan tersebut tidak menyebut tarikh mula operasi perjalanan tambahan ini, namun semakan kami di sistem tempahan KTMB pada 25 September mendapati EX9573 sudah boleh ditempah untuk Sabtu, 26 September. Semak tarikh yang tersedia di aplikasi KITS Style sebelum anda membuat tempahan.

Waktu Bertolak Empat ETS Tambahan

PerkhidmatanLaluanWaktu bertolak
EX9572JB Sentral ke KL Sentral7 pagi
EX9578JB Sentral ke KL Sentral5.30 petang
EX9573KL Sentral ke JB Sentral9.05 pagi
EX9575KL Sentral ke JB Sentral11.55 pagi

46% Tiket ETS Tambahan Sudah Terjual

Setakat 24 September 2026, jualan tiket bagi keempat-empat perjalanan tambahan ini sudah mencapai 46% daripada kapasiti yang ditawarkan.

“KTMB menggalakkan penumpang membuat tempahan lebih awal, khususnya bagi perjalanan hujung minggu,” menurut kenyataan itu.

12 Perkhidmatan ETS KL Sentral-JB Sentral Setiap Hujung Minggu

Dengan penambahan ini, laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral kini mempunyai 12 perkhidmatan ETS, termasuk lapan perkhidmatan sedia ada. Keseluruhan kapasiti hujung minggu bagi laluan ini mencecah 189,600 tempat duduk.

ETS Atau Memandu Ke JB, Mana Lebih Jimat Untuk Anda?

Tambang ETS dikira bagi setiap penumpang, manakala tol dan minyak anda tanggung sekali sahaja untuk sebuah kereta.

Tambang ETS KL Sentral Ke JB Sentral Pada 26 September

Kami menyemak sistem tempahan KTMB pada 25 September 2026 untuk perjalanan pada Sabtu, 26 September 2026. Tambang terendah bermula dari RM88 bagi perkhidmatan ETS Gold. Bagi perkhidmatan Platinum dan Express pula, tambang terendah antara RM115 hingga RM122.

Perkhidmatan tambahan EX9573, misalnya, bermula dari RM122 sehala. Masa perjalanan bagi semua perkhidmatan ini antara 4 jam 10 minit hingga 4 jam 40 minit.

Kos Tol Dan Minyak Dari KL Ke JB

Tol PLUS Kelas 1 dari Plaza Tol Sungai Besi ke Plaza Tol Skudai ialah RM33.21 sehala, berdasarkan kalkulator tol di laman web PLUS. Jarak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru pula sekitar 335km hingga 343km, bergantung pada laluan yang anda pilih.

Dengan anggaran penggunaan 8 liter bagi setiap 100km, kereta anda memerlukan sekitar 27 liter RON95 untuk perjalanan sehala. Pada harga BUDI95 RM1.99 seliter, kos minyak kira-kira RM53 hingga RM55.

Jika kereta anda menggunakan 10 liter bagi setiap 100km, kos memandu sehala naik kepada sekitar RM100 hingga RM101. Dalam keadaan ini, tiket ETS Gold menjadi pilihan lebih murah jika anda pergi seorang diri.

Kos Seorang Mengikut Bilangan Penumpang

Jadual di bawah membahagikan jumlah kos memandu (tol dan minyak) sama rata antara semua penumpang dalam kereta, berdasarkan anggaran 8 liter bagi setiap 100km.

Bilangan penumpangETS (seorang)Memandu (seorang)
1 orangRM88 (Gold) hingga RM122 (EX9573)RM86.54 hingga RM87.82
2 orangRM88 (Gold) hingga RM122 (EX9573)RM43.27 hingga RM43.91
3 orangRM88 (Gold) hingga RM122 (EX9573)RM28.85 hingga RM29.27
4 orangRM88 (Gold) hingga RM122 (EX9573)RM21.64 hingga RM21.96

Jika anda pergi seorang diri, kos memandu hampir sama dengan tiket ETS Gold termurah pada tarikh tersebut. Namun, ia lebih rendah berbanding tambang Platinum dan Express.

Untuk dua orang atau lebih, memandu jauh lebih jimat bagi setiap orang. Dengan ETS pula, anda boleh berehat sepanjang perjalanan tanpa perlu memandu lebih 300km.

Kos Parkir, Tol Lain Dan E-hailing Tidak Termasuk

Anggaran kami hanya merangkumi tambang, tol PLUS dan minyak. Ia tidak termasuk tol lebuh raya lain di Lembah Klang atau Johor Bahru, kos parkir, penyelenggaraan kenderaan, atau tambang e-hailing dari JB Sentral ke destinasi anda. Harga tiket ETS juga boleh berubah mengikut tarikh dan waktu perjalanan.

Jika anda tidak layak menerima BUDI95, atau sudah menggunakan had kelayakan bulanan anda, anda perlu membayar harga RON95 tanpa subsidi, yang diumumkan setiap minggu. Pada harga RON95 tanpa subsidi minggu ini (RM4.57 seliter, 24 hingga 30 September), kos minyak sehala naik kepada sekitar RM122 hingga RM125. Jumlah kos memandu seorang diri pula menjadi sekitar RM156 hingga RM159, lebih tinggi daripada tambang Platinum dan Express.

Lapan EMUPlus Tambahan Ke Ipoh Dari 25 Hingga 27 September

Hujung minggu ini (25 hingga 27 September 2026), KTMB turut menyediakan lapan perkhidmatan EMUPlus tambahan. Anda boleh memulakan perjalanan dari Bandar Tasek Selatan, selain Stesen Klang.

Perkhidmatan ini menawarkan 2,448 tempat duduk bagi laluan Bandar Tasek Selatan-Ipoh-Klang dan Klang-Ipoh-Bandar Tasek Selatan. Tiketnya mula dijual pada 22 September.

KTMB berkata penambahan perkhidmatan ETS dan EMUPlus ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti dan menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan awam ketika permintaan perjalanan hujung minggu meningkat, sejajar dengan aspirasi Road to Rail. KTMB juga akan terus memantau corak permintaan dan jualan tiket untuk menyesuaikan kapasiti mengikut keperluan semasa.

Cara Beli Tiket ETS Dan EMUPlus

Anda boleh membeli tiket melalui aplikasi KITS Style, laman web rasmi KTMB atau kiosk tiket di stesen terpilih. KTMB juga menasihatkan anda supaya tiba lebih awal di stesen untuk melancarkan urusan sebelum menaiki tren.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen