Hampir sembilan daripada 10 rakyat Malaysia menyatakan bahawa kehidupan yang berdikari merupakan matlamat utama mereka pada usia lanjut, berbanding meninggalkan harta warisan untuk anak-anak, menurut Tinjauan Manulife Asia Care 2026.
Dapatan kajian ini menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia yang menganggap penjagaan kesihatan dan jaminan kewangan kendiri sebagai sebahagian daripada tanggungjawab terhadap anak-anak, dan tidak lagi berfokuskan pemindahan kekayaan semata-mata.
Kajian ini merangkumi lebih daripada 9,000 responden dari seluruh Asia, termasuk 1,000 rakyat Malaysia. Hasil kajian telah dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Malaysia, Vibha Coburn bersama Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Investment Management, Jason Chong dalam satu sesi taklimat media di Menara Manulife, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Kami turut berkesempatan untuk menghadiri sendiri taklimat tersebut bagi memahami dengan lebih mendalam tentang implikasi dapatan kajian ini terhadap isu penuaan, tanggungjawab penjagaan, persaraan, serta perancangan kewangan.
Jangka Hayat Lebih Panjang Mungkin Bermaksud Lebih Daripada Simpanan Persaraan

Rakyat Malaysia dijangka memerlukan penjagaan selama kira-kira 17 tahun pada usia lanjut, tiga tahun lebih lama daripada purata serantau. Tujuh daripada 10 responden risau tentang kemampuan membiayai penjagaan pada masa depan, dan mereka menganggarkan bahawa mereka memerlukan kos sebanyak RM4,760 sebulan.
Ini bermakna perancangan persaraan mungkin perlu ambil kira lebih daripada sekadar ada cukup simpanan untuk berhenti kerja.
Kajian mendapati 68% rakyat Malaysia merancang untuk terus bekerja walaupun sudah melepasi umur persaraan biasa. Manakala 57% daripada mereka yang sudah menyimpan dan melabur pula merancang beralih kepada pelaburan yang jana pendapatan. Ini kerana mereka mahukan pendapatan stabil dan mampu menyara diri sepanjang tempoh persaraan yang lebih panjang.
Semasa sesi taklimat, Chong berkata perancangan persaraan perlu mengambil kira kenaikan kos penjagaan dan keperluan pendapatan sepanjang tempoh persaraan, bukan hanya fokus kepada membina jumlah simpanan.
Bagi rakyat Malaysia yang lebih muda, beliau memberi nasihat agar mula menyimpan pada usia yang lebih awal dan meningkatkan jumlah simpanan seiring dengan pendapatan yang bertambah. Risiko pelaburan juga boleh diselaraskan dari semasa ke semasa. Pelabur muda biasanya ada lebih banyak masa untuk pulih daripada kerugian, sebelum beralih kepada strategi yang lebih selamat apabila hampir bersara.
Isu sebenarnya, wang untuk persaraan mungkin perlu menampung lebih daripada satu perkara sekali gus termasuk perbelanjaan harian, penjagaan kesihatan, kos penjagaan, dan mungkin juga tempoh tanpa pendapatan langsung.
Tanggungjawab Keluarga Boleh Menjejaskan Perancangan Peribadi

Dua pertiga daripada rakyat Malaysia yang dikaji memikul tanggungjawab menjaga atau menanggung keluarga dari segi kewangan, dengan purata 41% daripada gaji bulanan diperuntukkan untuk keperluan keluarga. Kira-kira satu daripada 10 responden tergolong dalam ‘generasi sandwic’, iaitu golongan yang perlu menyara ibu bapa yang tua dan anak-anak secara serentak.
Dalam kalangan generasi sandwic ini, 68% berkata tanggungjawab kewangan keluarga menghalang keupayaan mereka untuk membina keupayaan berdikari dalam jangka panjang, manakala 60% terpaksa menangguhkan rawatan perubatan diri sendiri akibat tekanan kewangan dan tanggungjawab penjagaan.
Tanggungjawab penjagaan turut boleh beri kesan kepada perancangan jangka panjang. Kira-kira 69% penjaga berkata mereka susah untuk membuat perancangan untuk diri sendiri, manakala 62% menghadapi masalah kewangan disebabkan tanggungjawab penjagaan mereka.
Ini boleh wujudkan satu situasi yang sukar diimbangi. Wang yang sepatutnya disalurkan untuk simpanan persaraan atau matlamat jangka panjang lain, mungkin terpaksa digunakan dulu untuk anak-anak, ibu bapa yang semakin lanjut usia, atau perbelanjaan isi rumah yang mendesak.
Tekanan yang sama turut boleh beri kesan kepada kesihatan. Apabila masa dan wang sudah terhad, penjagaan kesihatan diri sendiri boleh menjadi perkara yang senang ditangguhkan, sedangkan penjagaan awal boleh membantu mengurangkan kos rawatan pada masa hadapan.
Penjagaan Kesihatan Sebagai Teras Kekal Berdikari
Tinjauan mendapati 85% rakyat Malaysia bersetuju bahawa amalan penjagaan pencegahan dan penjagaan diri mampu membantu mereka kekal berdikari lebih lama, namun hanya 27% yang benar-benar menjalani saringan awal serta langkah pencegahan.
Kos penjagaan kesihatan turut menjadi cabaran utama dalam perancangan kewangan. Menurut Coburn, sebanyak 32% daripada keseluruhan kos penjagaan kesihatan di Malaysia pada masa ini dibayar terus daripada poket rakyat sendiri (out-of-pocket).
Ini bermakna individu yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi sekalipun mungkin masih perlu memperuntukkan dana bagi perbelanjaan perubatan yang tidak dilindungi sepenuhnya oleh insurans atau perlindungan lain.
Semasa sesi soal jawab, kedua-dua eksekutif menekankan kepentingan memiliki insurans perubatan sewaktu masih sihat dan layak dilindungi. Chong turut berkongsi pengalaman peribadinya bahawa beliau tidak lagi dapat memohon insurans perubatan selepas disahkan menghidap kencing manis.
Coburn pula berkongsi bahawa beliau memperuntukkan simpanan khusus bagi menampung kos deduktibel insuransnya, daripada bergantung sepenuhnya kepada insurans bagi setiap perbelanjaan perubatan kecil.
Pendekatan ini menunjukkan satu lagi aspek penting dalam persediaan untuk berdikari: mempunyai perlindungan bagi kos luar jangka yang besar, di samping simpanan cair yang mudah diakses untuk kos yang perlu dibayar secara terus.
Kebebasan Semakin Menjadi Sebahagian Daripada Warisan
Empat daripada lima rakyat Malaysia menganggap kebebasan kewangan dan keupayaan berdikari sebagai warisan baharu yang ingin ditinggalkan kepada keluarga mereka. Tinjauan tersebut turut mendapati responden memperuntukkan 68% daripada aset mereka untuk kesihatan dan kebebasan diri, berbanding 32% yang diperuntukkan sebagai harta warisan anak-anak.
Peralihan ini tidak semestinya bermakna rakyat Malaysia kurang mengambil berat tentang meninggalkan wang untuk anak-anak. Sebaliknya, ia mungkin mencerminkan cara berbeza untuk sokong generasi akan datang.
Apabila seseorang mampu membiayai kehidupan sendiri pada usia lanjut, anak-anak mungkin tidak perlu menanggung kos penjagaan kesihatan, penjagaan harian, atau sara hidup ibu bapa mereka.
Memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat, kebebasan kewangan mungkin bergantung kepada perancangan yang lebih daripada sekadar tarikh persaraan. Simpanan, pendapatan, penjagaan kesihatan, insurans dan tanggungjawab keluarga, semua ini boleh memberi kesan kepada sama ada seseorang itu mampu kekal berdikari pada tahun-tahun mendatang.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
