RHB Banking Group melancarkan sebuah peranti pembayaran bersepadu yang dikenali sebagai Sound Box Plus pada 13 Ogos 2026 yang lalu. Terminal pembayaran tersebut membolehkan anda membuat pembayaran menerusi DuitNow QR (DNQR), kad debit dan kad kredit dalam satu peranti sahaja. Menurut kenyataan rasmi RHB, peranti ini direka untuk mempermudahkan operasi peniaga di samping mengukuhkan jaminan pembayaran dan sokong pertumbuhan perniagaan.
Sound Box Plus ini dilengkapi dengan teknologi Near Field Communication (NFC), SIM yang terbina di dalamnya, serta makluman suara setiap kali transaksi berjaya.
Sambungan Daripada Sound Box Static dan Dynamic
Sound Box Plus bukanlah produk pertama dalam siri ini. RHB sebelum ini pernah memperkenalkan Static DNQR Sound Box dan Dynamic DNQR Sound Box. Sound Box Plus ini dianggap sebagai evolusi seterusnya daripada kedua-dua produk itu, dengan tambahan kemampuan menerima kad dalam unit yang sama.
Berbanding terminal kad biasa, RHB menyifatkan Sound Box Plus lebih menjimatkan kos untuk perniagaan anda, tanpa mengehadkan pilihan kaedah bayaran yang boleh anda tawarkan kepada pelanggan.
Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB Bank Berhad, Nurjesmi Mohd Nashir berkata, peniaga hari ini memerlukan penyelesaian pembayaran yang cekap, selamat dan mampu berkembang seiring peningkatan jumlah transaksi. Menurutnya, Sound Box Plus memudahkan peniaga menerima pelbagai kaedah bayaran dalam satu peranti.
Makluman Suara Bantu Kurangkan Risiko Dakwaan Bayaran Palsu
Ciri makluman suara pada Sound Box Plus mengesahkan setiap transaksi anda dengan segera. Ini membantu peniaga mengurangkan risiko dakwaan pembayaran palsu daripada pelanggan. Setiap transaksi diproses melalui infrastruktur keselamatan RHB sendiri. Peranti ini juga tidak mencetak resit dan kekal boleh menerima bayaran sepanjang waktu puncak.
Had Transaksi NFC RM250, DNQR Ikut Bank Anda
Untuk bayaran kad melalui NFC, Sound Box Plus paling sesuai untuk transaksi bawah RM250. Bagi bayaran DNQR pula, hadnya tidak ditetapkan oleh RHB, sebaliknya bergantung kepada had perbankan dalam talian bank anda sendiri.
Jika perniagaan anda kerap menguruskan jualan dengan nilai yang tinggi, ambil kira had ini. Untuk kepastian had semasa, anda digalakkan untuk menyemak terus dengan RHB atau bank anda.
Sebahagian Usaha RHB Sokong Digitalisasi PKS
Sound Box Plus turut selari dengan usaha RHB menyokong digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk kesediaan keselamatan siber. Ini melengkapi RHB Cyber-Secure, alat penilaian kendiri keselamatan siber pertama yang diterajui bank untuk PKS di Malaysia.
Terima Kad dan QR Tanpa Tambah Mesin
Static dan Dynamic Sound Box sebelum ini hanya menyokong DNQR. Kini, dengan Sound Box Plus, anda sebagai peniaga boleh menerima kad debit dan kredit sekali gus dalam satu peranti yang sama. Pelanggan yang menggunakan kad debit atau kredit juga boleh membuat pembayaran tanpa perlu memasang terminal tambahan.
Maklumat lanjut mengenai Sound Box Plus ada di laman web rasmi RHB Group.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
