Masalah kewangan bukan sahaja memberi kesan kepada akaun bank anda, malah lebih daripada itu sebenarnya. Kajian baharu daripada University College London (UCL) mendapati bahawa individu yang berdepan masalah kewangan dalam tempoh berpanjangan mempunyai daya ingatan dan kemahiran berfikir yang lebih lemah apabila mereka semakin menghampiri usia pertengahan. Imbasan otak mereka juga menunjukkan lebih banyak tanda penuaan apabila melangkah ke usia lanjut. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Innovation in Aging ini telah menjejak seramai 2,759 rakyat Britain kelahiran 1946 sejak mereka lahir sehinggalah mencapai usia 70-an.
Bagaimana Penyelidik Mengukur Masalah Kewangan
Kajian ini menggunakan dua penanda ukuran. Ukuran pertama ialah berpendapatan rendah bagi tempoh yang panjang. Seseorang dikategorikan dalam kumpulan ini jika pendapatan mereka berada dalam kelompok 20% terendah sekurang-kurangnya dua kali semasa semakan dilakukan pada usia 26, 43, dan 53 tahun. Kira-kira satu daripada enam peserta kajian berada dalam kumpulan ini. Ukuran kedua pula ialah kesukaran kewangan jangka panjang. Ini merujuk kepada mereka yang sukar membayar bil atau menampung kos sara hidup sekurang-kurangnya dua kali antara usia 36 hingga 53 tahun. Kira-kira satu daripada lapan peserta tergolong dalam kumpulan ini.
Kebanyakan kajian terdahulu hanya melihat kepada kedudukan kewangan seseorang pada satu-satu masa. Namun, disebabkan kajian ini menjejak individu yang sama selama beberapa dekad, para penyelidik dapat membezakan antara kesukaran singkat dengan kesusahan hidup yang berpanjangan. Kesusahan dalam tempoh singkat tidak dikaitkan dengan penurunan kesihatan otak, manakala kesusahan berpanjangan bertahun-tahun dikaitkan dengan kesihatan otak yang lebih lemah.
Dapatan Kajian
Menjelang usia 53 tahun, individu yang mengalami kesusahan kewangan berpanjangan mencatatkan skor kira-kira 3.2 mata lebih rendah dalam ujian ingatan (skala 45 mata) berbanding mereka yang tidak mengalaminya. Keputusan ujian kelajuan berfikir mereka juga lebih rendah. Bagi sebahagian kecil peserta yang menjalani imbasan otak antara usia 69 hingga 71 tahun, mereka yang berpendapatan rendah bagi tempoh panjang menunjukkan pengecutan otak yang lebih ketara serta ruang berisi cecair yang lebih besar di dalam otak, kedua-duanya merupakan tanda penuaan otak.
Hubungan ini kekal konsisten walaupun penyelidik telah mengambil kira faktor tahap kecerdasan (IQ) zaman kanak-kanak, tahap pendidikan, dan latar belakang kemiskinan waktu kecil. Ini bermakna, keputusan tersebut tidak boleh didakwa berpunca daripada permulaan hidup yang susah semata-mata. Kesannya ditemui lebih ketara dalam kalangan lelaki, individu yang membesar dalam kemiskinan, serta pembawa gen APOE-ε4 (Apolipoprotein E epsilon 4) yang meningkatkan risiko demensia.
Terdapat satu dapatan yang kelihatan pelik pada mulanya. Penurunan skor ingatan antara usia 53 hingga 69 tahun berlaku lebih lambat bagi kumpulan yang mengalami kesusahan kewangan. Namun, ini bukanlah bermakna kesusahan kewangan melindung otak mereka, sebaliknya skor mereka pada usia 53 tahun sudah sememangnya rendah, menyebabkan ia tidak boleh merosot lebih teruk lagi. Kebanyakan kerosakan otak sebenarnya telah berlaku menjelang usia pertengahan.
Mengapa Tekanan Kewangan Boleh Merosakkan Otak
Para penyelidik mengemukakan dua penjelasan utama. Pertama, tekanan berterusan menyebabkan keradangan pada tubuh, dan keradangan ini mempercepatkan penuaan otak. Kedua, kebimbangan mengenai kewangan mengurangkan tenaga mental. Seseorang yang kerap rungsing memikirkan hal berkaitan bil setiap hari mempunyai kurang tenaga tersisa untuk membaca, melakukan hobi, atau meluangkan masa bersama rakan-rakan, aktiviti yang sebenarnya penting untuk menjaga kesihatan otak.
Salah seorang penulis kajian tersebut yang dikenali sebagai Dr. Jacques Wels menegaskan bahawa kerosakan otak ini berpunca daripada ‘penimbunan kesusahan bertahun-tahun’, bukannya daripada kesukaran dalam tempoh yang singkat.
Impak Kepada Anda yang Sedang Mengalami Masalah Kewangan
Dua perkara penting perlu diingat. Pertama, kajian ini sekadar menunjukkan hubung kait dan bukannya bukti mutlak bahawa masalah kewangan secara terus menyebabkan penuaan otak. Kedua, hampir kesemua peserta kajian merupakan warga Britain berkulit putih yang lahir pada tahun 1946, jadi keputusannya mungkin tidak terpakai secara tepat untuk persekitaran Malaysia atau golongan generasi muda.
Namun, pengajarannya cukup jelas ialah berapa lama masalah kewangan anda berlarutan sama penting dengan seberapa teruk masalah itu, jadi bertindaklah lebih awal.
Jika bayaran balik pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, atau kad kredit anda semakin sukar diuruskan, berbincanglah dengan pihak bank sebelum anda terlepas sebarang pembayaran. Pihak bank boleh melanjutkan tempoh pinjaman atau menstruktur semula jadual bayaran balik, dan mereka mempunyai lebih banyak pilihan penyelesaian jika anda tampil lebih awal.
Jika anda berhutang dengan beberapa buah bank dan tidak lagi mampu menanggungnya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma serta Program Pengurusan Kredit. Anggaplah AKPK sebagai talian hayat terakhir, bukannya langkah pertama.
Para penyelidik turut menyampaikan mesej penting kepada pihak kerajaan iaitu usaha mengurangkan kemiskinan jangka panjang mampu menyumbang kepada penurunan kes demensia pada masa hadapan.
Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
