Allianz Life Lancar HealthCover Prime, Tawar Bayaran Sehingga 635% Untuk Penyakit Kritikal

KONGSI

Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) telah melancarkan HealthCover Prime, iaitu satu pelan penyakit kritikal yang menawarkan bayaran sehingga 635% daripada jumlah diinsuranskan. Pelan ini menumpukan kepada kos hidup semasa tempoh pemulihan anda, selain rawatan di hospital. Menurut risalah produk Allianz Life [PDF], HealthCover Prime merupakan rider atau kontrak tambahan bersama polisi asas sedia ada, bukan produk insurans berdiri sendiri. 

Manfaat Multi-Pay Dan Recurrence 

HealthCover Prime membenarkan anda membuat pelbagai tuntutan dalam kategori penyakit kritikal yang sama atau berbeza melalui Manfaat Multi-Pay. Pelan ini turut menyertakan Manfaat Recurrence untuk kanser peringkat lanjutan, serangan jantung atau strok.

Kos Pemulihan Berterusan Untuk Tempoh Yang Panjang  Selepas Rawatan Tamat 

Menurut laporan Bernama pada 10 Ogos 2026, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Giulio Slavich berkata, cabaran kewangan akibat penyakit kritikal selalunya berterusan untuk tempoh masa yang lama selepas rawatan perubatan tamat, terutama apabila pesakit tidak mampu bekerja. Ujar beliau, proses pemulihan boleh menjadi mencabar dari segi fizikal, emosi dan kewangan, terutama apabila pendapatan terjejas. HealthCover Prime diwujudkan untuk memberi sokongan kewangan sepanjang tempoh pemulihan, termasuk perlindungan terhadap penyakit kritikal berulang.

Bagaimana Bayaran Sehingga 635% Dikira

Angka 635% bukan jumlah tetap untuk semua pemegang polisi. Berdasarkan risalah produk Allianz Life, had bayaran maksimum untuk Manfaat Staged Critical Illness, Multi-Pay, Recurrence dan Gender Specific Cancerdigabungkan ialah 400% daripada jumlah diinsuranskan di bawah Plan 1, berbanding 600% di bawah Plan 2.

Manfaat Catch All Booster pula menambah sehingga 35% lagi, dengan had maksimum RM150,000 seumur hidup. Jumlah ini bermakna had keseluruhan ialah 435% untuk Plan 1, dan 635% untuk Plan 2. Anda perlu menyemak plan yang anda pilih untuk tahu had sebenar yang terpakai kepada polisi anda.

Manfaat Tambahan Untuk Kanser Dan Kemasukan ICU

Allianz Life turut menyediakan bayaran tambahan untuk kanser payudara dan prostat peringkat lanjutan melalui Manfaat Gender Specific Cancer. Manfaat Catch All Booster pula meliputi kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kemasukan ke hospital akibat pembedahan atau jangkitan, walaupun anda tidak membuat sebarang tuntutan penyakit kritikal.

Hanya 37% Rakyat Malaysia Mampu Tampung 3 Bulan Tanpa Pendapatan

Allianz Life berkata pelan ini diperkenalkan berikutan kebimbangan terhadap kesediaan kewangan rakyat Malaysia menghadapi gangguan pendapatan akibat penyakit serius. Memetik Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari segi Permintaan 2024 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat insurans itu berkata hanya 37% rakyat Malaysia mampu menampung perbelanjaan sara hidup lebih daripada tiga bulan sekiranya pendapatan mereka terjejas.

Allianz Life berkata penyakit kritikal seperti kanser, serangan jantung dan strok boleh berlaku sepanjang tahun-tahun bekerja seseorang, ketika komitmen kewangan turut termasuk menyara keluarga dan membayar balik pinjaman. Syarikat insurans itu turut menambah kadar kemandirian yang semakin meningkat bermakna lebih ramai rakyat Malaysia hidup lebih lama selepas penyakit serius, walaupun proses pemulihan mungkin memerlukan penjagaan berpanjangan atau melibatkan kambuh semula penyakit.

Perbezaan Insurans Perubatan Dan Perlindungan Penyakit Kritikal

Insurans perubatan membantu menampung kos kemasukan hospital dan rawatan. Perlindungan penyakit kritikal pula boleh membantu anda menangani kehilangan pendapatan, tempoh pemulihan yang panjang serta komitmen kewangan yang berterusan.

Tempoh Menunggu 30 Hingga 60 Hari Sebelum Layak Menuntut 

Berdasarkan risalah produk, terdapat tempoh menunggu sebelum anda layak membuat tuntutan pertama. Tempoh ini ialah 60 hari untuk kanser, serangan jantung, pembedahan pintasan arteri koronari, penyakit arteri koronari serta angioplasti, dan 30 hari untuk penyakit kritikal lain yang dilindungi. Tuntutan di bawah Manfaat Catch All Booster pula mempunyai tempoh menunggu 60 hari.

Dari segi kelayakan usia, terdapat dua kategori. Bagi bayi yang belum lahir, pendaftaran boleh dibuat dari usia kandungan 13 minggu sehingga 36 minggu. Bagi kanak-kanak dan dewasa, pendaftaran boleh dibuat dari usia 15 hari sehingga 70 tahun. Umur minimum untuk mendaftar adalah 16 tahun. Polisi tamat apabila Life Assured mencapai usia 100 tahun. Jumlah diinsuranskan yang ditawarkan bermula RM20,000 sehingga maksimum RM650,000. 

Kempen Percuma Untuk 3,000 Pelanggan Plan 1 Pertama

Sempena pelancaran ini, jika anda membeli HealthCover Prime Plan 1 dan memenuhi syarat kelayakan, anda akan menerima Manfaat Recurrence dan Manfaat Gender Specific Cancer secara percuma di bawah kempen bertempoh terhad. Kedua-dua manfaat ini hanya disediakan di bawah Plan 2. Kempen ini berlangsung dari 10 Ogos sehingga 31 Ogos 2026, terhad kepada 3,000 pelanggan Plan 1 yang layak pertama atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya, bergantung mana yang lebih awal.

Jika anda ingin mengetahui dengan  lebih lanjut tentang syarat kelayakan dan had perlindungan penuh, sila semak terus dengan Allianz Life atau ejen berdaftar sebelum kempen tamat. Perlindungan PIDM ke atas manfaat yang dibayar daripada bahagian unit produk ini tertakluk had tertentu, sila rujuk risalah TIPS PIDM atau hubungi Allianz Life Insurance Malaysia Berhad atau PIDM untuk butiran lanjut. 

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen