Masih Terima Subsidi RM4 Bilion Sebulan, Pemaju Tiada Alasan Untuk Naikkan Harga Rumah

KONGSI

Pemain industri pembinaan diingatkan agar tidak mengambil kesempatan atas ketegangan di Asia Barat untuk menaikkan harga. Terutamanya harga rumah mampu milik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus komited dalam memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun kos bahan binaan di pasaran global terus meningkat.

Subsidi Masih Diteruskan, Jangan Ambil Kesempatan

Nga mengingatkan bahawa kerajaan kini membelanjakan RM4 bilion sebulan untuk subsidi bahan api, termasuk untuk kenderaan pengangkut bahan binaan.

“Mereka masih lagi menerima harga subsidi setiap hari. Harga bahan api mereka masih jauh lebih rendah,” katanya selepas majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak.

Menurutnya, subsidi itu dirangkumi di bawah peruntukan am kerajaan untuk semua pengangkutan awam termasuk lori yang mengangkut bahan binaan. Oleh itu, tiada sebabuntuk syarikat pembinaan menaikkan harga projek perumahan atas alasan kenaikan kos.

“Berlandaskan semangat teguh bersama, saya memohon semua pemain industri supaya jangan ambil kesempatan. Ini krisis dunia yang membawa musibah kepada semua orang dan Malaysia tidak terkecuali,” tegasnya.

KPKT Pantau Rapi, Skim Jaminan Kredit Perumahan Diperkukuh

Selain isu harga, Nga turut menyebut bahawa kementeriannya sedang memantau rapi projek perumahan yang sedang berjalan agar tidak terjejas atau mengalami kelewatan akibat situasi global ini.

Pada masa yang sama, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan terus diperkasa untuk membantu golongan yang tidak mempunyai slip gaji tetap termasuk pekerja ekonomi gig untuk memiliki rumah pertama mereka.

Kerajaan MADANI telah mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 bilion untuk SJKP dalam Belanjawan 2026, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan jaminan kredit itu RM40 bilion.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments