Bukan Hanya Sebab Bekalan, Kos Penghantaran Dan Insurans Juga Punca Kenaikan Harga Minyak – PETRONAS

KONGSI

Seperti anda semua sedia maklum, harga minyak kini sedang melambung tinggi berikutan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat. Setakat ini, harga minyak global sudah mencecah AS$120 setong (kira-kira RM483).

Walau bagaimanapun, Petrolium Nasional Bhd (PETRONAS) menyatakan bahawa perkara ini berlaku bukan hanya kerana bekalan dan permintaan semata-mata. Dua perkara lain yang ramai tidak sedar turut menyumbang kepada kenaikan harga ini adalah kos penghantaran dan premium insurans.

Ini Apa Yang Berlaku Sejak Krisis Global Bermula 

Sejak krisis tenaga global bermula pada 28 Februari 2026, berikut adalah beberapa perkara yang berlaku:

  • Harga minyak mentah naik 40%
  • Kos pengangkutan meningkat antara 47% hingga 176%
  • Premium insurans melonjak sehingga 337%

Isu ini dinyatakan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, dalam program Bicara Naratif Khas di TV1 pada Jumaat lalu (3 April).

Selat Hormuz: Laluan Yang Tak Boleh Diabaikan

Punca utama gangguan ini? Selat Hormuz.

Kira-kira 20% bekalan minyak dunia dan sebahagian besar LNG (liquefied natural gas) global melalui selat ini setiap hari. Selain minyak, selat yang sama juga menjadi laluan bagi:

  • 30% bekalan helium dunia
  • 30% bekalan baja global termasuk urea, potash, ammonia, dan fosfat

Tengku Muhammad Taufik berkata gangguan di sana memberi kesan langsung kepada seluruh ekonomi global.

Gangguan juga turut berlaku pada laluan alternatif melalui Fujairah dan Yanbu di Asia Baratyang mana ia telah memburukkan lagi situasi yang sedang berlaku.

Kenapa Harga Insurans Pun Naik?

Pemilik kapal yang membawa minyak mentah menanggung risiko besar apabila melalui zon konflik. Susulan itu, harga insurans pun akan turut menaik.

Tengku Muhammad Taufik menjelaskan bahawa harga yang tertera pada skrin pasaran bukan harga sebenar yang dibayar oleh pembeli. Kos tambahan perlu ditanggung sebelum minyak sampai ke destinasi.

“Harga penyerahan fizikal mungkin AS$100 setong, tapi ada tambahan AS$10 atau AS$15 sebelum ia sampai ke loji pemprosesan,” jelasnya.

Ringkasnya, pengiraan kos sebenar termasuklah harga pasaran, kos penghantaran, premium insurans dan kos logistik setempat.

Rakyat Malaysia Dilindungi Oleh Subsidi Bersasar

Walaupun harga global melonjak, Tengku Muhammad Taufik menegaskan rakyat Malaysia masih dilindungi buat masa ini menerusi mekanisme subsidi petrol bersasar, BUDI95 yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

Sistem ini juga membolehkan PETRONAS dan pemain industri lain terus beroperasi sambil memenuhi permintaan tempatan.

Namun, sejauh mana perlindungan ini dapat bertahan bergantung kepada perkembangan konflik di Asia Barat dan seberapa lama laluan penghantaran minyak global kekal terganggu.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments