Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini (30 Julai 2026) telah merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank. Bangunan ini menghimpunkan semua fungsi korporat kumpulan itu di bawah satu bumbung, sempena genap 66 tahun Maybank beroperasi. Maybank juga telah menjadi institusi kewangan tempatan terbesar negara.
Kami turut berkesempatan menghadiri majlis perasmian ibu pejabat baharu Maybank itu di Menara Merdeka Maybank.

Kenapa Nama Merdeka Dipilih
Maybank ditubuhkan pada 1960, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Pelancaran bangunan bernama Merdeka ini turut diatur menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Dato’ Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa berkata, bangunan ini melambangkan kepercayaan generasi rakyat Malaysia terhadap Maybank.
“Menara Merdeka Maybank bukan sekadar ibu pejabat baharu kami. Ia melambangkan kepercayaan yang telah diberikan oleh generasi rakyat Malaysia kepada kami, serta tanggungjawab yang kami pikul dalam menyokong kemajuan ekonomi negara. Tatkala kami melangkah ke lembaran baharu ini, kami akan terus teguh mempertahankan kepercayaan tersebut, berpandukan tujuan kami, sambil terus menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.
Maybank Akan Terus Perkasa Sektor Kewangan Inklusif
Semasa memberi ucapan alu-aluan, Zamzamzairani turut menyatakan bahawa Maybank akan terus memperkasakan sektor kewangan inklusif dengan memberi fokus kepada pelbagai inisiatif impak sosial. Ini merangkumi perluasan akses penyelesaian kewangan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping usaha berterusan dalam meningkatkan tahap literasi kewangan serta mengukuhkan kesejahteraan komuniti.
Beliau turut berkongsi kejayaan yang telah dicapai oleh Maybank termasuk dinobatkan sebagai ‘World’s Best Bank for Corporate Responsibility’ dan ‘Malaysia’s Best Bank’ oleh Euromoney, manakala Maybank Islamic pula merangkul anugerah ‘Islamic Bank of the Year’ daripada The Banker buat kali kelima.
Anwar Ucap Tahniah, Lawat Ibu Pejabat Baharu Maybank
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengucapkan tahniah kepada Maybank atas perasmian ibu pejabat baharu mereka. Ujar beliau, Maybank bukan hanya menjaga pencapaian kewangan, malah mengekalkan prestasi, tatakelola dan perkhidmatan yang cemerlang.
Selepas majlis pelancaran, Anwar turut berkesempatan membuat lawatan dalam ibu pejabat baharu Maybank itu.
Menara Merdeka 118 Kini Dinamakan Menara Merdeka Maybank
Pada 28 Julai lalu, Maybank menerusi satu kenyataan secara rasmi mengesahkan bahawa Menara Merdeka 118 telah dinamakan semula kepada Menara Merdeka Maybank yang mencerminkan kehadiran institusi kewangan itu di mercu tanda yang kini menjadi ibu pejabatnya.
Alamat berdaftar baharu ibu pejabat Maybank ialah Aras 70, Menara Merdeka Maybank, Presint Merdeka 118, 50118 Kuala Lumpur. Bekas ibu pejabat Maybank di Jalan Tun Perak yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Maybank telah dinamakan semula sebagai Menara Tun Perak.
Maybank turut menegaskan Cawangan Utama Kuala Lumpur akan terus beroperasi dari Menara Tun Perak sehingga dimaklumkan kelak. Penamaan semula ini tidak memberi kesan kepada pelanggan yang mempunyai akaun di cawangan tersebut, dan semua perkhidmatan perbankan akan terus beroperasi seperti biasa.
Maybank Teruskan Strategi ROAR30
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Sri Khairussaleh Ramli, mengaitkan pelancaran ini dengan strategi ROAR30 yang sedang dijalankan oleh kumpulan itu.
“Seiring dengan pelaksanaan strategi ROAR30, kami akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian pengalaman pelanggan yang luar biasa melalui penyelesaian yang lebih mudah, lancar dan diperibadikan, dengan memanfaatkan kekuatan warga kerja kami, keupayaan digital serta rangkaian serantau,” katanya.
Beliau turut menyebut agenda memperluaskan rangkuman kewangan dan menyokong perniagaan pelbagai saiz sebagai sebahagian daripada fokus Maybank di rantau ini.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
