Percutian Domestik Naik Walaupun Tambang Penerbangan Makin Mahal

KONGSI

Tambang penerbangan untuk ke destinasi antarabangsa semakin mahal sejak konflik AS-Iran bermula, tetapi ia tidak menghalang rakyat Malaysia daripada bercuti. Kebanyakan daripada mereka hanya menukar destinasi, dari luar negara kepada dalam negara sendiri. Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, keluarga Malaysia dilihat masih terus berbelanja untuk percutian  walaupun kos sara hidup meningkat.

Percutian Domestik Bukan Lagi Kemewahan

Menurut Wong, percutian domestik sudah menjadi gaya hidup, ia bukan lagi dianggap kemewahan tetapi keperluan gaya hidup bagi keluarga moden. Jelas beliau, tambang yang lebih mahal ini juga menjadikan destinasi tempatan pilihan yang lebih murah dan senang diakses. Beliau turut mengaitkan trend ini dengan minat baharu terhadap tempat-tempat yang menarik dalam negara sendiri, hasil daripada produk dan tarikan pelancongan yang bertambah sejak selepas pandemik.

Pakej Keluarga Dan Kembara Jalan Raya Jadi Pilihan Utama

Pakej mesra keluarga, taman tema, penginapan resort dan glamping antara yang paling popular dalam kalangan pelancong domestik sekarang. Kembara jalan raya (road trip) ke Pulau Pinang, Ipoh dan Melaka juga semakin popular, terutamanya dalam kalangan keluarga muda.

Wong berkata, permintaan untuk seksyen domestik di MATTA Fair pada September ini sudah melebihi jangkaan. “Kami menjangkakan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh, terutamanya memandangkan konflik AS-Iran masih mengekalkan tambang penerbangan pada tahap yang lebih mahal,” katanya.

Tempahan Domestik Trip.com Catat Pertumbuhan Dua Angka 

Data tempahan Trip.com turut menyokong kenyataan Wong. Penerbangan, hotel dan tarikan domestik yang ditempah oleh pengguna Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun pada separuh pertama 2026. Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, purata penginapan hotel domestik kini sekitar 1.5 malam, iaitu lebih lama berbanding tahun lepas. Tempahan untuk penginapan enam malam atau lebih pula catat pertumbuhan paling pantas.

Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang kekal menjadi tiga destinasi domestik paling popular berdasarkan tempahan hotel Trip.com, diikuti Johor, Sabah, Pahang, Sarawak, Perak, Melaka dan Kedah. Rakyat Malaysia juga antara tiga penyumbang teratas bagi tempahan sewa kereta di seluruh negara pada separuh pertama 2026, terutamanya di bandar berhampiran lapangan terbang menunjukkan ramai pelancong terbang ke negeri lain sebelum menyewa kereta untuk bergerak sepanjang percutian.

Tempahan Berganda Sempena Cuti Merdeka

Tempahan hotel domestik mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda dari tahun ke tahun sepanjang tempoh cuti Merdeka, dari 28 Ogos hingga 6 September. Peningkatan tersebut lebih tinggi berbanding tempoh Hari Malaysia dari 12 hingga 20 September. Thong kaitkan ini dengan cuti sekolah yang bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, jadi ramai keluarga mengambil peluang untuk pergi bercuti.

Penginapan jangka pendek juga masih mendapat permintaan ramai dengan tempahan satu malam yang banyak berlaku pada hari bekerja. “Ini mungkin menunjukkan trend workation, iaitu rakyat Malaysia mengambil percutian singkat semalaman sambil terus bekerja dari jauh,” kata Thong.

Trip.com akan melancarkan kempen pelancongan domestik seterusnya bersama Tourism Malaysia dan Persatuan Hotel Malaysia, dengan tumpuan kepada Port Dickson dari 25 Ogos hingga 12 September.

Kos Percutian Luar Negara Berbanding Dalam Negara

Kepada anda yang sedang merancang dan melakukan perbandingan sama ada mahu bercuti di Malaysia atau ke luar negara tahun ini, tambang penerbangan antarabangsa yang lebih mahal sejak konflik AS-Iran bermula patut anda ambil kira dalam bajet percutian.

Kalau anda merancang percutian sekitar cuti Merdeka atau Hari Malaysia, permintaan yang tinggi sepanjang tempoh ini bermakna ada kemungkinan harga hotel dan tambang domestik turut terkesan. Buat tempahan lebih awal, atau pertimbangkan penginapan lebih singkat pada hari bekerja, boleh jimatkan kos percutian anda. 

RM658 Purata Kos Setiap Percutian Bermalam

Data DOSM pada Jun 2026 menunjukkan perbelanjaan pelancongan domestik keseluruhan mencecah RM121.3 bilion pada 2025, naik 13.6% berbanding RM106.7 bilion pada 2024. Purata perbelanjaan untuk setiap percutian bermalam ialah RM658, hampir tiga kali ganda kos perjalanan harian yang cuma RM221. Pahang menerima jumlah pelancong domestik paling tinggi tahun itu dengan 11 juta orang, diikuti Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Jika anda merancang dua hingga tiga kali percutian bermalam setahun pada kadar RM658 setiap satu, jumlahnya boleh mencecah RM1,316 hingga RM1,974 setahun, tidak termasuk perjalanan harian. Beli-belah kekal jadi perbelanjaan terbesar semasa bercuti, iaitu 36.9% daripada jumlah perbelanjaan, tetapi beli-belah dan makan di luar kekal jadi dua kategori yang paling mudah anda kawal dengan perancangan bajet awal sebelum bertolak. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen