Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan rakyat Malaysia telah membelanjakan purata RM365 setiap kali keluar bercuti dalam negara pada 2025 . Angka ini merangkumi kesemua jenis perjalanan termasuk perjalanan harian dan bermalam. Jumlah perbelanjaan pelancongan domestik keseluruhan pula mencecah RM121.3 bilion, iaitu meningkat sebanyak 13.6% berbanding RM106.7 bilion pada 2024.
Sebagai perbandingan, kadar inflasi tahunan Malaysia pada 2025 ialah 1.4%, berdasarkan laporan Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index, CPI) DOSM pada April 2026. Ini bermakna kos untuk bercuti di dalam negara meningkat dengan lebih cepat berbanding kos sara hidup secara keseluruhan. Malah, bajet percutian yang sama seperti tahun lalu juga sudah tidak mencukupi untuk anda mendapatkan pengalaman percutian yang sama.
Perbezaan Kos Perjalanan Harian dan Bermalam
DOSM membahagikan perjalanan pelancongan kepada dua kategori iaitu perjalanan harian dan perjalanan bermalam (tidur sekurang-kurangnya satu malam di destinasi percutian).
Kos kedua-dua jenis perjalanan ini memang jauh berbeza:
| Jenis Perjalanan | Purata Perbelanjaan (2025) | Perubahan berbanding 2024 |
| Perjalanan harian | RM221 | +0.3% |
| Perjalanan bermalam | RM658 | +3.4% |
Perjalanan bermalam menelan kos hampir tiga kali lebih tinggi daripada perjalanan harian. Ini bermakna kos untuk percutian bermalam semakin tinggi.
Jika anda merancang dua hingga tiga kali percutian bermalam setahun pada purata kos sebanyak RM658 bagi setiap satu percutian, jumlahnya ialah antara RM1,316 hingga RM1,974 setahun untuk bercuti sahaja. Ini belum termasuk perjalanan harian ke kawasan berdekatan.
Ke Mana Perginya Wang Anda Semasa Bercuti?
Data daripada DOSM juga menunjukkan ke mana perginya duit yang dibelanjakan oleh pelancong domestik sepanjang tahun 2025:
Berikut adalah pencahannya:
| Kategori Perbelanjaan | Peratusan (2025) |
| Membeli-belah | 36.9% |
| Makanan & minuman | 16.1% |
| Bahan api kenderaan | 13.5% |
| Penginapan | 10.7% |
| Lain-lain (pengangkutan, pakej, tiket masuk, aktiviti) | 22.7% |
Beli-belah adalah perbelanjaan terbesar semasa bercuti iaitu 36.9% daripada jumlah keseluruhan.Ramai yang tidak sedar betapa banyaknya kos yang dibelanjakan untuk membeli-belah semasa melancong kerana pembelian berlaku secara berperingkat sepanjang percutian.
Bahan api kenderaan pula menyumbang sebanyak 13.5%, iaitu hampir sama banyak dengan kos penginapan (10.7%). Kos memandu ke destinasi percutian bukan perkara kecil, terutama untuk destinasi yang jauh.
Jika anda ingin kawal perbelanjaan percutian, beli-belah dan makan di luar ialah dua kategori yang paling mudah dikawal dengan perancangan awal yang lebih rapi.
Tidur di Rumah Keluarga Tak Bermakna Kos Percutian Jadi Lagi Murah
Lebih separuh pelancong domestik Malaysia iaitu 56.2% memilih untuk bermalam di rumah saudara-mara atau rakan berbanding di hotel. Bagi sesetengah pihak, pilihan ini dapat enjimatkan kos dari segi penginapan.
Namun ada satu fakta yang menarik iaitu purata perbelanjaan perjalanan bermalam tetap mencecah RM658 walaupun majoriti pelancong tidak bayar penginapan. Ini kerana kos lain tetap wujud seperti minyak kereta dan tol pergi balik, buah tangan untuk tuan rumah, makan di luar bersama keluarga dan aktiviti di destinasi percutian. Semua ini terkumpul dan boleh mencecah ratusan Ringgit walaupun tiada kos penginapan yang dibayar.
Negeri Mana Paling Ramai Dikunjungi Pada Tahun 2025?
Pahang mendahului senarai dengan 11 juta orang pelancong, diikuti Selangor (10.6 juta), Perak (10.4 juta), W.P. Kuala Lumpur (10.1 juta), dan Johor (9.8 juta).
| Negeri | Bilangan Pelancong |
| Pahang | 11.0 juta |
| Selangor | 10.6 juta |
| Perak | 10.4 juta |
| W.P. Kuala Lumpur | 10.1 juta |
| Johor | 9.8 juta |
Destinasi popular biasanya meletakkan harga penginapan yang lebih tinggi, terutamanya semasa cuti sekolah dan musim perayaan. Jika anda merancang untuk ke mana-mana negeri dalam senarai ini, ambil kira juga faktor musim semasa menetapkan bajet.
Siapa yang Paling Kerap Bercuti di Malaysia?
Data DOSM menunjukkan kumpulan yang paling aktif bercuti ialah mereka yang berpendapatan isi rumah antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan. Kumpulan ini telah pun menyumbang sebanyak 31.7% daripada kesemua jumlah pelawat domestik. Kumpulan berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 pula menyumbang 26.2%, manakala kumpulan RM1,001 hingga RM3,000 sebanyak 26.1%.
Ini menunjukkan bahawa pelancongan domestik bukanlah aktiviti eksklusif untuk golongan berpendapatan tinggi sahaja. Kumpulan berpendapatan RM1,001 hingga RM5,000 sebulan turut aktif bercuti setiap tahun. Bagi kumpulan berpendapatan lebih rendah, perbelanjaan percutian yang tidak dirancang boleh menyebabkan wang bulanan tidak mencukupi atau memaksa penggunaan kredit yang tidak perlu.
Rakyat Malaysia sememangnya suka bercuti, namun perancangan awal seperti bajet dan simpanan khusus juga penting agar anda dapat menikmati percutian tanpa tekanan kewangan selepas pulang ke rumah.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
