RHB Bank Berhad kini memperluaskan sokongan kewangannya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berhadapan dengan tekanan kos operasi akibat krisis tenaga global yang berterusan.
Perniagaan di seluruh dunia kini berdepan dengan kenaikan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan, dan aliran tunai yang semakin ketat. PKS, yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, tidak terkecuali daripada tempias ini.
Pembiayaan Boleh Disusun Semula
RHB menawarkan pemprosesan segera di bawah langkah Business Continuity Support. Ini termasuk pilihan Penstrukturan dan Penjadualan Semula Pembiayaan (Financing Restructuring and Rescheduling). PKS yang terjejas boleh melaraskan jadual pembayaran balik melalui tempoh pinjaman yang lebih panjang atau ansuran bulanan yang disemak semula bergantung kepada keperluan perniagaan masing-masing.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, PKS kini menghadapi cabaran besar terutamanya dalam aspek tenaga, logistik dan bahan mentah.
“Peranan kami adalah untuk menyokong mereka dengan penyelesaian kewangan yang praktikal dan tepat pada masanya. Supaya mereka dapat terus beroperasi secara kompetitif,” katanya.
Kerjasama dengan Agensi Kerajaan
Selain langkah dalaman, RHB turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan untuk menyalurkan bantuan yang melegakan dan penyelesaian pembiayaan strategik kepada PKS. Usaha ini bertujuan menyokong inisiatif nasional yang lebih besar dalam membantu perniagaan bertahan semasa tempoh mencabar ini.
Modal Kerja dan Pembiayaan Hijau
Untuk keperluan jangka pendek, RHB menyediakan penyelesaian modal kerja bagi membantu PKS menampung kos operasi yang meningkat. Bagi perancangan jangka panjang pula, RHB menawarkan pembiayaan hijau (Green Financing) melalui penglibatan aktif dalam skim Bank Negara Malaysia (BNM).
Pembiayaan hijau ini membantu PKS beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dan operasi yang lebih cekap tenaga. Dengan kadar faedah yang kompetitif, ia berfungsi sebagai alat kawalan kos strategik, mengurangkan pergantungan kepada pasaran bahan api yang tidak menentu.
Cara Dapatkan Bantuan
Para usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pilihan bantuan yang tersedia boleh menghubungi Pengurus Hubungan (Relationship Manager), mengunjungi mana-mana cawangan RHB, menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan atau melayari laman web rasmi RHB.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
