Samsung Wallet Kini Boleh Buat Pembayaran QR Guna Maybank

KONGSI

Bayar makan tengah hari, beli barang runcit atau secawan kopi menerusi QR sememangnya sudah jadi kebiasaan bagi orang ramai ketika mereka berbelanja. Tetapi untuk pengguna Samsung Galaxy, proses itu baru sahaja menjadi lebih pantas. Menerusi kerjasama rasmi antara Samsung Malaysia dan Maybank, anda kini boleh imbas dan bayar terus dari Samsung Wallet, tanpa perlu membuka aplikasi MAE secara berasingan lagi.

Menerusi kenyataan rasmi Samsung Malaysia, ciri ini mula dilancarkan sejak 21 Julai 2026, menjadikan ini sebagai pengalaman Pembayaran QR Samsung Wallet yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Cara Pembayaran QR Berfungsi Dalam Samsung Wallet 

Fungsi MAE Scan & Pay milik Maybank kini terbina terus dalam Samsung Wallet, jadi anda tidak perlu membuka aplikasi lain untuk membuat pembayaran. Anda hanya perlu swipe untuk buka Samsung Wallet, imbas kod QR, dan bayar.

Presiden Samsung Malaysia Electronics, Charles Kim, berkata visi Samsung Wallet sejak awal adalah untuk menjadi rakan harian yang memudahkan urusan kehidupan pengguna. Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Mohd Amri Mohd Sofian, pula berkata langkah ini selari dengan aspirasi ROAR30 Maybank untuk mempermudahkan urusan harian pelanggan tanpa menjejaskan tahap keselamatan yang mereka harapkan daripada bank.

Anda Juga Boleh Guna Semasa Bercuti Di Negara Serantau

Ciri ini turut boleh anda guna di Singapura, Thailand, Indonesia dan Kemboja. Jadi kalau anda bercuti ke mana-mana negara tersebut, anda boleh melakukan transaksi QR dengan selamat menggunakan Samsung Wallet yang sama.

Setiap Transaksi Beri Mata Ganjaran

Setiap kali anda buat pembayaran QR menerusi Samsung Wallet, anda turut mengumpul mata Samsung Reward. Mata ganjaran tersebut membolehkan anda untuk membeli produk Samsung atau menebus baucar yang tersedia dalam aplikasi Samsung Members.

Hadiah Bernilai Sehingga RM500,000 Untuk Anda 

Sempena pelancaran ini, Samsung dan Maybank menyediakan kempen promosi bernilai sehingga RM500,000 secara keseluruhan yang berlangsung dari 28 Julai hingga 30 Oktober 2026. Kalau anda berjaya menyambung dan mengaktifkan Pembayaran QR pada Samsung Wallet, anda layak dapat RM5.

Selepas itu, anda boleh dapat sehingga RM15 dalam bentuk pulangan tunai atau baucar apabila anda berbelanja menggunakan ciri ini.

Cara Aktifkan Ciri Ini Pada Peranti Anda 

Ciri ini tersedia pada telefon pintar Samsung Galaxy yang layak menerusi kemas kini terkini Samsung Wallet dan perisian peranti anda. Buka Samsung Wallet dan semak sama ada kemas kini sudah ada di peranti anda untuk mula menggunakan ciri ini.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen