Tourism Malaysia dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) mengumumkan kerjasama strategik pada 23 Julai 2026 menerusi pelancaran Kempen “Jom Jalan MYDIN”, yang menggabungkan pengalaman beli-belah interaktif dengan sokongan terhadap barangan tempatan.
Kempen yang akan berlangsung sehingga 30 September 2026 ini dilancarkan selari dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dan menawarkan ganjaran beli-belah menarik di cawangan MYDIN terpilih di seluruh negara.
Kerjasama Awam-Swasta Disifatkan Langkah Proaktif
Menerusi satu siaran media yang dikongsikan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Dato Sri Tiong King Sing menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah proaktif yang menyokong aspirasi negara.
“Inisiatif seperti Kempen ‘Jom Jalan MYDIN’ berupaya menyemarakkan lagi semangat Cuti-Cuti Malaysia dalam kalangan rakyat tempatan. Kerjasama ini menyokong persiapan VM2026 dengan memperkukuh pelancongan domestik melalui pengalaman beli-belah yang menghubungkan masyarakat secara terus dengan produk serta tarikan tempatan,” katanya.
MYDIN Angkat Usahawan Tempatan Menerusi Produk Warisan Pelbagai Negeri
Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN, berkata pusat beli-belah kini turut berfungsi sebagai platform yang menawarkan pengalaman unik kepada pelanggan, selain menjadi tempat membeli barangan keperluan.
“MYDIN sentiasa komited dalam menyokong produk tempatan dengan menyediakan ruang kepada usahawan IKS dan PKS dari seluruh negara untuk memperkenalkan produk mereka. Menerusi kempen ini, kami berharap rakyat Malaysia dapat mengenali, menghargai, dan terus memilih barangan buatan Malaysia,” katanya.
Anda boleh mengenali dan membeli produk warisan dari pelbagai negeri di bawah satu bumbung menerusi kempen ini.
Treasure Hunt Dan Ganjaran Bernilai Lebih RM5 Juta
Antara tarikan utama kempen ini ialah aktiviti Treasure Hunt di cawangan MYDIN terpilih, dengan kerjasama Sunway Lagoon, Lost World of Tambun, dan Setel. Anda boleh sertai pelbagai cabaran sambil meneroka lokasi pelancongan menarik, dan pada masa yang sama turut menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
Tabung Haji Travel & Services menaja ganjaran utama kempen ini, iaitu 10 pakej pelayaran kapal persiaran tiga hari dua malam serta 30 pakej penginapan hotel tempatan empat hari tiga malam. Dengan sokongan rakan pembekal, pelbagai hadiah, baucar, serta penjimatan bernilai keseluruhan melebihi RM5 juta turut disediakan merentasi seluruh kempen sepanjang tempohnya berlangsung.
Pelawat Domestik Meningkat 7.2% Pada Suku Pertama 2026
Malaysia mencatatkan 74.7 juta ketibaan pelawat domestik bagi suku pertama 2026, iaitu naik 7.2% berbanding 69.7 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun 2025.
Perbelanjaan pelawat domestik bagi tempoh sama turut meningkat 15.8% kepada RM34 bilion, berbanding RM29.4 bilion pada suku pertama 2025. Angka ini dikongsikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital merangkap Ketua Sekretariat VM2026 Tourism Malaysia Encik Akbal bin Setia ketika berucap bagi pihak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sempena majlis pelancaran kempen di Ibu Pejabat MYDIN, USJ, Subang Jaya.
Kerjasama Ini Sokong Ekonomi Tempatan Sempena VM2026
Inisiatif ini selaras dengan usaha Tourism Malaysia memperkasakan segmen pelancongan beli-belah (shopping tourism), yang menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan domestik negara.
Kerjasama Tourism Malaysia dan MYDIN ini turut merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan yang melibatkan sektor peruncitan, penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, serta pembangunan komuniti usahawan tempatan sempena VM2026.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
