Ketidaktentuan global pada ketika ini sedang menekan kewangan ramai rakyat Malaysia termasuklah syarikat-syarikat perniagaan. Jika anda salah seorang yang terkesan, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi kritikal, hubungan bank anda sekarang!
Ini kerana, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) menggesa individu dan perniagaan yang menghadapi tekanan kewangan untuk menghubungi bank masing-masing lebih awal bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian dengan anda.
Apakah Jenis Bantuan Yang Boleh Anda Dapatkan?
ABM menjelaskan bahawa industri perbankan kekal komited untuk menyediakan sokongan, termasuk:
- Pengaturan semula jadual pembayaran balik
- Penyelesaian kewangan yang disesuaikan mengikut situasi individu
- Bantuan jangka pendek untuk meringankan tekanan kewangan semasa
“Sokongan sentiasa tersedia bagi mereka yang benar-benar memerlukan, dan bank akan terus menilai setiap situasi dengan teliti, penuh kefahaman dan fleksibiliti,” kata ABM dalam satu kenyataan semalam (1 April).
Jangan Tunggu Masalah Jadi Lebih Besar
Tidak dinafikan, ada individu yang berasa malu atau bimbang untuk menghubungi bank apabila menghadapi masalah kewangan. Sebenarnya, bank lebih suka jika anda berusaha mencari penyelesaian pada peringkat awal berbanding hanya menunggu sehingga hutang yang tertunggak jadi semakin menimbun.
ABM turut menegaskan bahawa institusi perbankan kekal kukuh dan berdaya tahan serta bersedia memberi sokongan kepada pelanggan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan global termasuk perkembangan terkini konflik di Timur Tengah.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pelanggan berasa disokong dan mempunyai akses kepada bantuan yang sesuai dalam masa yang mencabar ini,” kata ABM lagi.
Ini Langkah Mudah Untuk Anda Hubungi Bank
Jika anda sedang menghadapi tekanan kewangan, berikut adalah langkah pertama yang boleh diambil:
- Hubungi cawangan bank anda atau talian khidmat pelanggan mereka
- Jelaskan situasi kewangan anda dengan jujur
- Tanya tentang pilihan pengaturan semula bayaran atau penangguhan bayaran yang tersedia
Ingat! Semakin awal anda bertindak, semakin banyak pilihan yang ada untuk anda, jadi jangan terlambat dalam membuat keputusan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
