Tak Boleh Lagi Guna MyEG Untuk Roadtax Dan Lesen, Ini Pilihan Lain Untuk Anda

KONGSI

JPJ menggantung My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah Kumpulan MYEG, sebagai ejen pemungutnya mulai 12.01 pagi, 5 Oktober 2026. Mulai tarikh itu, anda tidak lagi boleh perbaharui cukai jalan (roadtax), memperbaharui lesen memandu atau membayar saman JPJ melalui MyEG.

Menurut kenyataan media JPJ bertarikh 2 Oktober 2026 yang dimuat naik di Facebook, penggantungan ini meliputi semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Cukai Jalan, Lesen Dan Saman JPJ Tidak Lagi Boleh Diurus Di MyEG

Urusan yang terjejas termasuk pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL), permohonan Lesen Memandu Malaysia (LDL), semakan dan pembayaran saman serta pertukaran hak milik kenderaan. Tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) juga tidak boleh dibuat melalui MyEG.

Di Mana Tempat Anda Boleh Perbaharui Cukai Jalan, Lesen Dan Bayar Saman

Kenyataan JPJ menyenaraikan saluran ganti mengikut jenis urusan, dan sesetengah saluran hanya menerima kategori kenderaan tertentu. Contohnya, untuk pembaharuan cukai jalan, kios JPJ dan pejabat pos hanya disenaraikan bagi kenderaan persendirian.

UrusanSaluran GantiKategori Kenderaan / Catatan
Perbaharui cukai jalan (LKM)Kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter mobile JPJ, pejabat pos, PuspakomMyJPJ dan Portal Awam JPJ untuk persendirian dan e-hailing. Kios JPJ dan pejabat pos untuk persendirian. Kaunter mudah alih JPJ untuk persendirian dan perdagangan. Puspakom untuk persendirian dan perdagangan kategori de-controlled
Perbaharui lesen memandu (CDL)Kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter mobile JPJ, pejabat posTiada catatan khusus
Mohon Lesen Memandu Malaysia (LDL)Kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter mobile JPJPejabat pos tidak disenaraikan
Semak dan bayar samanKaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kios JPJ, kaunter mobile JPJPejabat pos tidak disenaraikan
Pertukaran hak milikKaunter JPJ, kios JPJ, Portal Awam JPJ, syarikat eAutoKios JPJ untuk motosikal persendirian individu warganegara. Portal Awam JPJ untuk kenderaan persendirian individu warganegara dan persendirian syarikat. eAuto melalui Sistem Tukar Hak Milik Sementara dan eSerahan Tukar Hak Milik

Saluran Perbaharui Cukai Jalan Untuk Kenderaan Persendirian Dan Perdagangan

Pemilik kenderaan persendirian dan e-hailing boleh renew roadtax secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ atau Portal Awam JPJ.

Untuk kenderaan perdagangan, saluran yang dinyatakan secara khusus dalam kenyataan JPJ ialah kaunter mobile JPJ, serta Puspakom bagi kategori de-controlled. Kaunter JPJ turut disenaraikan untuk pembaharuan cukai jalan tanpa had kategori kenderaan. MyJPJ, Portal Awam JPJ dan pejabat pos tidak disenaraikan untuk cukai jalan kenderaan perdagangan.

Tempahan Ujian KPP01 Sebelum Dan Selepas 5 Oktober

Tempahan KPP01 yang dibuat melalui MyEG sebelum 5 Oktober 2026 kekal sah, dan anda boleh menduduki ujian seperti biasa.

Tempahan baharu mulai tarikh itu perlu dibuat terus di Pusat Ujian KPP di institut memandu seluruh Malaysia. Ujian juga dijalankan di sana.

Bayaran Saman Warga Asing Di Sempadan Johor

Bukan warganegara yang perlu membayar saman di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura boleh berurusan dengan Unit Mobile JPJ. Unit ini ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, dan beroperasi dari 8 pagi hingga 10 malam.

Jaminan Menteri Untuk Lesen Yang Sudah Diperbaharui Di MyEG

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan bahawa pengguna yang sudah memperbaharui lesen melalui MyEG tidak terjejas, menurut laporan Utusan Melayu Plus. Menurut beliau, pembaharuan lesen diproses serta-merta sebaik transaksi selesai.

Tunggakan RM314 Juta Punca MyEG Digantung

Dalam sidang media pada 5 Oktober 2026 yang dilaporkan oleh TV Sarawak, Loke berkata MyEG dan Zetrix AI gagal memindahkan RM314 juta kutipan hasil kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.

Sebagai ejen pemungut, kedua-dua syarikat perlu memindahkan bayaran cukai jalan, lesen dan saman yang anda buat kepada kerajaan dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi, menurut Loke.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ telah mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan empat sesi libat urus sejak Mei. Pada 21 Ogos 2026, kedua-dua syarikat menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta. Apabila tiba tarikhnya, bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat.

Belum Ada Tarikh MyEG Dibuka Semula

Menurut Loke seperti dilaporkan Malay Mail, perkhidmatan MyEG hanya akan dipertimbangkan untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan dilangsaikan. Kementerian Pengangkutan dan JPJ juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MyEG dan Zetrix AI.

Jika cukai jalan atau lesen anda hampir tamat tempoh, jangan tunggu MyEG dibuka semula. JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan.

Cukai jalan hanya boleh diperbaharui apabila insurans atau takaful kenderaan masih sah. Pengguna yang selama ini memperbaharui insurans dan cukai jalan serentak di MyEG kini perlu renew cukai jalan di saluran lain. Sebelum memperbaharui polisi, ambil peluang ini untuk membandingkan premium insurans kereta daripada beberapa syarikat insurans di RinggitPlus. Perbaharui insurans dahulu, kemudian barulah cukai jalan..

Untuk langkah dan dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan insurans kenderaan, rujuk panduan tuntutan insurans RinggitPlus. 

Maklumat ini mungkin berubah. Rujuk laman web atau aplikasi JPJ untuk maklumat terkini.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen