Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menggubal undang-undang baharu untuk menggantikan Akta Perdagangan Elektronik 2006. Rang undang-undang (RUU) ini dijangka menetapkan dengan lebih jelas sejauh mana platform, penjual, serta anda sebagai pengguna bertanggungjawab secara sah apabila sesuatu transaksi dalam talian menjadi isu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan menggantikan akta sedia ada dibuat kerana undang-undang terdahulu hanya mengesahkan transaksi dalam talian tanpa menggariskan tanggungjawab undang-undang secara menyeluruh.
Akauntabiliti Tidak Digariskan Jelas Dalam Akta Sedia Ada
Menurut Armizan, KPDN yang bertanggungjawab terhadap sektor e-dagang turut tidak mempunyai kuasa atau kerangka undang-undang lengkap untuk mengawal selia pelbagai aspek perdagangan elektronik di bawah akta sedia ada. “Akta Perdagangan Elektronik ini sekadar kerangka undang-undang untuk mengesahkan perdagangan dalam talian dan elektronik, namun aspek akauntabiliti tidak digariskan secara jelas dalam perundangan tersebut. KPDN telah menyerahkan Memorandum Jemaah Menteri di Peringkat Dasar dua bulan lepas,” katanya.
Beliau menambah, KPDN kini bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Kementerian Digital untuk menyediakan peruntukan fasa penggubalan. RUU ini dijadualkan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
Armizan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Kempen Internet Selamat pada Sabtu lalu (22 Ogos 2026).
PM Kata Kerajaan Akan Percepatkan Penggubalan
Sebelum ini, pada 20 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan akan mempercepatkan pengubalan RUU e-Dagang bagi menambah baik aspek kemudahan dan pengawalseliaan sektor tersebut, selari dengan pertumbuhan pesat perniagaan digital.
Buli Siber dan Penipuan Cinta Antara Ancaman Yang Semakin Meningkat
Mengulas Kempen Internet Selamat anjuran MCMC dan Kementerian Komunikasi, Armizan menyifatkan kempen tersebut penting berikutan peningkatan pelbagai ancaman jenayah siber. Beliau berkata ancaman siber kini merangkumi buli siber, penipuan kewangan, penipuan cinta, serta penipuan tawaran pekerjaan luar negara yang akhirnya memaksa mangsa menjadi ejen sindiket penipuan berkenaan.
Jelas Armizan, kerajaan telah menggubal perundangan khusus, termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) pada tahun lalu, serta garis panduan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menangani isu ini.
Laporan Segera Ke NSRC Boleh Selamatkan Wang Mangsa
Armizan turut menegaskan aspek paling penting ialah tanggungjawab anda sendiri sebagai pengguna, menerusi kesedaran advokasi serta keberanian membuat laporan segera kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC). “Laporan segera kepada NSRC membolehkan agensi kerajaan mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan kewangan mangsa yang terjejas,” tambahnya.
Risiko Penipuan Kod QR Turut Meningkat Musim Perayaan
Selain e-dagang, kaedah pembayaran digital seperti kod QR turut menjadi sasaran sindiket penipuan, terutamanya semasa musim perayaan apabila aktiviti membeli-belah dan pemindahan wang meningkat. Fortinet Malaysia menganggarkan kerugian akibat penipuan di Malaysia mencecah RM2.7 bilion pada 2025, meningkat 76% berbanding tahun sebelumnya.
Antara langkah keselamatan asas ialah menyemak nama penerima sebelum mengesahkan sebarang pembayaran kod QR atau DuitNow.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
