TikTok Shop Kenakan SST 6% Ke Atas Caj Penghantaran Penjual Mulai 1 September 2026

KONGSI

TikTok Shop akan mula mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6% ke atas caj penghantaran penjual mulai 1 September 2026, menurut laman web rasmi TikTok Shop Academy. Kalau anda berniaga di platform tersebut, caj penghantaran anda mungkin terjejas akibat SST mulai tarikh tersebut

Perubahan ini berpunca daripada pertukaran entiti logistik TikTok Shop, daripada Tokgistics Pte. Ltd. kepada TikTok Shop (Malaysia) Sdn. Bhd. SST 6% akan dikira ke atas Yuran Penghantaran Sebenar bagi perkhidmatan penghantaran, pengedaran, dan pengangkutan barangan, dokumen, atau bungkusan melalui platform.

Tiada SST Dikenakan Sehingga 6 September

Dari 1 hingga 6 September 2026, TikTok Shop akan menanggung SST 6% bagi pihak anda. Caj penghantaran anda kekal seperti biasa sepanjang tempoh ini, tanpa sebarang cukai tambahan. Namun, bermula 7 September 2026, anda akan mula menanggung SST 6% sepenuhnya bagi setiap perkhidmatan penghantaran yang anda gunakan di platform.

Caj Penghantaran RM3.00 Naik Kepada RM3.18 Selepas SST 

Selepas SST berkuat kuasa, caj penghantaran anda dikira dengan formula Caj Penghantaran Sebenar (termasuk SST, jika berkenaan) tolak Diskaun Caj Penghantaran Platform, tolak Caj Penghantaran Pelanggan. 

Sebagai contoh, kalau caj penghantaran sebenar sesuatu pesanan anda ialah RM3.00 dan tiada caj penghantaran dikenakan kepada pelanggan, jumlah itu akan naik kepada RM3.18 selepas SST 6% dikira. Dalam contoh ini, selepas ditolak diskaun penghantaran daripada platform, jumlah sebenar yang perlu anda tanggung untuk pesanan tersebut naik daripada RM0.00 kepada RM0.18. Jumlah sebenar yang anda tanggung untuk pesanan lain mungkin berbeza, bergantung pada caj penghantaran sebenar dan diskaun platform bagi pesanan tersebut.

Caj penghantaran anda tidak dinaikkan oleh TikTok Shop. Kenaikan itu mungkin disebabkan SST kerajaan ke atas yuran penghantaran sebenar, jika berkenaan. 

SST Juga Mungkin Dikenakan Pada Pesanan Yang Gagal

SST 6% juga mungkin dikenakan kepada anda ke atas Caj Pesanan Tidak Berjaya, termasuk Caj Penghantaran Awal dan Caj Penghantaran Pemulangan. 

Pesanan anda akan dikenakan SST yang ditentukan semasa pesanan dibuat, bukan pada masa ia dihantar. Jika pesanan anda dibuat pada atau sebelum 31 Ogos 2026, 11.59 malam, anda tidak akan dikenakan SST walaupun penghantarannya berlaku pada September. Pesanan yang dibuat mulai 1 September 2026 tertakluk kepada dasar SST yang dikemas kini, dengan syarat TikTok Shop menanggung cukai tersebut bagi pihak anda sehingga 6 September. 

Bermula 1 September 2026, jika berkenaan, jumlah SST 6% yang dikenakan ke atas caj penghantaran sebenar akan dipaparkan dalam halaman Pecahan Pelangsaian Penjual (butiran pecahan bayaran) di akaun TikTok Shop anda. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen