WhatsApp Sudah Tak Boleh Digunakan Di Android 5.0 Dan 5.1

KONGSI

Aplikasi perbualan WhatsApp tidak lagi menyokong Android 5.0 atau 5.1 bermula 8 September 2026. Android 6.0 (dikenali sebagai Marshmallow) kini menjadi keperluan minimum untuk menggunakan WhatsApp.

Menurut laman sokongan rasmi WhatsApp, pengguna akan dimaklumkan dalam aplikasi dan diberi peringatan beberapa kali sebelum sokongan sesuatu versi sistem operasi ditamatkan. Selain Android, iPhone turut terjejas. iOS di bawah 15.5 akan berhenti disokong mulai 30 November 2026, naik daripada keperluan semasa iaitu iOS 15.1.

Kriteria WhatsApp Pilih Sistem Operasi Yang Disokong 

WhatsApp menjelaskan di dalam laman FAQ mereka bahawa semakan sokongan sistem operasi dibuat setiap tahun. Peranti dan sistem operasi paling lama, dengan bilangan pengguna paling sedikit, akan disemak dahulu terutamanya jika ia sudah tidak dapat kemas kini keselamatan atau tidak mampu menjalankan fungsi asas aplikasi.

Jadi kalau telefon anda tiba-tiba tidak boleh buka WhatsApp, ia bukan rosak. Cuma peranti anda sudah terlalu lama untuk sokong keperluan keselamatan WhatsApp masa kini.

Cara Semak Jika Telefon Anda Masih Disokong 

Buka ‘Settings’ di telefon anda, cari ‘System’ atau ‘Software Update, dan semak sama ada anda boleh naik taraf ke Android 6.0 ke atas.

Kalau telefon anda memang tidak menyokong kemas kini itu, bertukar ke telefon baharu jadi cara paling mudah untuk anda terus menggunakan WhatsApp. Kalau anda pengguna iPhone, anda ada sedikit lagi masa, sebab sokongan hanya tamat akhir November. Gunakan tempoh ini untuk naik taraf ke iOS 15.5 dahulu sebelum anda fikir ingin menukar peranti baharu.

Telefon lama yang sudah tidak menerima kemas kini keselamatan juga berkemungkinan membawa risiko lebih besar untuk anda, terutamanya pada aplikasi perbankan dan e-dompet yang anda guna setiap hari untuk urusan kewangan.

5 Telefon Bawah RM1,000 Untuk Gantikan Telefon Lama Anda

Jika anda memerlukan telefon baharu yang menyokong aplikasi WhatsApp tetapi tidak mahu berbelanja ribuan ringgit, terdapat banyak pilihan telefon pintar dengan Android moden di bawah RM1,000 di Malaysia setakat September 2026 seperti POCO C81 Pro (RM399, Android 15), Infinix HOT 70 (RM649, Android 16), Redmi 17 5G (RM799, Android 16), Redmi Note 17 4G (RM849, Android 16), dan Realme P4x (RM999, Android 16).

Kesemua telefon berharga bawah RM1,000 ini kebiasaannya sudah cukup untuk penggunaan asas setiap hari. Bagi anda yang mementingkan cip pemproses yang tinggi untuk kerja yang lebih berat seperti bermain game atau mahukan kualiti kamera yang baik untuk menangkap gambar serta mengambil video, pilihan di atas mungkin tidak sesuai buat anda.

Bagi anda yang mahukan pilihan bayaran bulanan tanpa faedah, kad kredit dengan Pelan Pembayaran Ansuran (IPP) 0% membolehkan anda membeli telefon baharu dan bayar secara bulanan tanpa sebarang caj tambahan. Bandingkan kad kredit di RinggitPlus untuk cari pilihan yang sesuai dengan keperluan anda. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen