Berita gembira buat rakyat Malaysia! Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua 2026 diawalkan kepada hari ini (10 Mac).
Keputusan ini diambil khusus untuk membantu penerima membuat persiapan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Peruntukan sebanyak RM1.3 bilion kepada kira-kira lima juta penerima
Menurut Anwar, pembayaran STR Fasa Dua 2026 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan kira-kira lima juta penerima di seluruh negara.
Untuk penerima biasa, jumlah yang akan diterima adalah sesuai dengan kategori anda sebagai penerima STR.
STR merupakan satu bentuk bantuan tunai langsung daripada kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
Jadual Pembayaran yang Dipercepat
Biasanya, STR Fasa Dua dijadualkan untuk dibayar pada bulan April seperti tahun lalu. Namun, pada tahun ini kerajaan telah mengambil keputusan untuk diawalkan pembayaran kepada 10 Mac 2026.
Keputusan ini bukan saja untuk memudahkan persiapan Aidilfitri. Tetapi juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memberikan bantuan yang lebih tepat pada masanya kepada rakyat.
Selain STR, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 juga akan diberikan kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk mereka yang dilantik secara kontrak. Pembayaran ini akan dilakukan pada 13 Mac 2026.
Bantuan Tambahan untuk Pesara dan Guru Agama
Tidak terhad kepada penerima STR sahaja yang mendapat manfaat. Kerajaan juga memperuntukkan bantuan khas untuk golongan lain:
Pesara dan Veteran: Pesara kerajaan, termasuk mereka yang berpencen dan tidak berpencen, akan menerima RM250 pada 13 Mac 2026. Bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan, ini bermakna anda tidak perlu risau tentang implikasi cukai.
Guru Agama: Sebanyak 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut akan menerima sumbangan khas sebanyak RM500 pada 13 Mac 2026. Ini adalah pengiktirafan kerajaan terhadap khidmat mereka dalam pendidikan agama.
Kenapa Ini Penting untuk Anda?
Di zaman kos sara hidup yang kian meningkat, bantuan secara tunai seperti ini sudah pasti amat bermakna buat golongan yang menerimanya.
Ia merupakan wang tunai yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan mendesak seperti membayar bil, membeli keperluan rumah atau membuat persiapan untuk perayaan.
Dengan pembayaran yang dipercepat ini, mereka akan mempunyai lebih masa dan ruang merancang perbelanjaan Aidilfitri dengan lebih baik.
Jika anda ingin mengetahui status pembayaran atau mempunyai sebarang pertanyaan mengenai STR Fasa Dua ini, sila lawati laman web https://bantuantunai.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut.
