Logo RinggitPlus, platform perbandingan produk kewangan di Malaysia

Fahami Skor Kredit Dan Kepentingannya

Pelajari tentang skor kredit, kepentingannya, dan tips untuk memperbaikinya.

Cari Pinjaman Peribadi Terbaik

Jawab beberapa soalan dengan chatbot kami

3D Lock

Kami melindungi maklumat peribadi anda selaras dengan PDPA.

Kami menghormati privasi anda dan komited untuk mengendalikan maklumat peribadi anda dengan selamat dan bertanggungjawab

Apa itu Skor Kredit dan bagaimana ia memberi kesan kepada saya?

Skor kredit ialah satu nombor tiga digit yang digunakan untuk menunjukkan tahap kebolehpercayaan kewangan seseorang individu berdasarkan sejarah pembayaran balik pinjaman mereka. Di Malaysia, skor kredit biasanya diambil daripada laporan yang dikeluarkan oleh agensi seperti CCRIS (Central Credit Reference Information System) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia, serta CTOS, salah satu biro kredit swasta yang popular.

Ramai rakyat Malaysia hanya mula mengambil tahu tentang skor kredit apabila permohonan pinjaman mereka ditolak. Situasi ini sebenarnya agak biasa, terutamanya dalam kalangan individu yang baru mula berurusan dengan pinjaman bank atau kad kredit.

Namun, skor kredit bukanlah sekadar nombor yang muncul dalam laporan kewangan anda. Ia memainkan peranan yang penting dalam menentukan sejauh mana institusi kewangan mempercayai kebolehan anda untuk membayar semula pinjaman. Skor ini boleh mempengaruhi sama ada permohonan anda diluluskan atau ditolak, jumlah pinjaman yang anda layak terima, kadar faedah, dan juga syarat pembayaran balik.

Nombor ini menjadi penanda aras bagi pihak bank, institusi kewangan, dan pemberi kredit untuk menilai risiko sebelum meluluskan sebarang permohonan pinjaman, kad kredit, atau kemudahan kewangan lain. Semakin tinggi skor kredit seseorang, semakin besar peluang permohonannya untuk diluluskan, dan dalam sesetengah kes, skor yang baik juga boleh membuka peluang kepada kadar faedah yang lebih rendah dan syarat pembayaran yang lebih fleksibel.

Kenapa Skor Kredit sangat penting?

Skor kredit ialah suatu bentuk laporan mengenai tahap kesihatan kewangan anda. Ketahui lebih lanjut tentang kepentingan skor kredit di bawah:

Penentu kelulusan pinjaman
Bank

Skor kredit digunakan oleh pihak bank atau institusi kewangan untuk menilai kelayakan anda sebelum meluluskan sebarang permohonan pinjaman. Sama ada anda ingin memohon pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman kereta, atau kad kredit, skor kredit anda akan menjadi salah satu rujukan utama. Semakin tinggi skor tersebut, semakin tinggi peluang permohonan anda untuk diluluskan kerana ia menunjukkan anda mempunyai rekod kewangan yang baik dan boleh dipercayai.

Kadar faedah yang lebih rendah
Kalkulator faedah

Selain itu, skor kredit turut mempengaruhi kadar faedah atau kadar keuntungan yang dikenakan ke atas pinjaman anda. Pemohon yang mempunyai skor kredit tinggi biasanya akan ditawarkan kadar yang lebih rendah berbanding mereka yang mempunyai skor sederhana atau rendah. Ini bermaksud anda boleh berjimat lebih banyak dalam jangka masa panjang kerana jumlah faedah yang perlu dibayar akan lebih rendah.

Syarat pinjaman yang fleksibel
Kalendar pinjaman

Skor kredit yang baik juga membolehkan anda menikmati syarat pinjaman yang lebih fleksibel. Sebagai contoh, anda mungkin layak untuk tempoh bayaran balik yang lebih panjang atau jumlah pinjaman yang lebih besar. Ini memberi anda lebih ruang dalam menguruskan bajet bulanan dan komitmen kewangan tanpa tekanan berlebihan.

Penilaian tambahan oleh majikan atau pemilik rumah
Penilaian tambahan

Bukan itu sahaja, skor kredit anda juga boleh menjadi faktor pertimbangan di luar konteks pinjaman. Ada sesetengah majikan, terutamanya dalam sektor kewangan atau perbankan, akan menyemak laporan kredit calon pekerja sebagai sebahagian daripada proses saringan. Begitu juga dengan pemilik rumah atau ejen hartanah yang menyewakan unit mewah, mereka mungkin lebih cenderung untuk memilih penyewa dengan rekod kredit yang baik kerana dianggap lebih bertanggungjawab dari segi kewangan.

Bagaimana Skor Kredit dinilai?

Skor kredit anda bukan sekadar nombor rawak, ia dikira berdasarkan pelbagai faktor yang mencerminkan bagaimana anda mengurus kewangan secara konsisten. Di Malaysia, agensi seperti CTOS dan sistem laporan CCRIS mengambil kira beberapa aspek penting untuk menentukan sama ada anda dianggap peminjam berisiko rendah atau tinggi.

Setiap kali anda bayar ansuran pinjaman, bil kad kredit, atau apa-apa komitmen kewangan, semua itu termasuk dalam rekod. Jika anda bayar tepat pada waktu setiap bulan, ini akan memberi kesan positif kepada skor. Sebaliknya, jika pembayaran lewat terutamanya yang tertunggak sehingga lebih daripada 30 hari, ia boleh mencemarkan rekod anda. Apatah lagi jika mempunyai rekod pernah gagal bayar hingga kes diambil alih oleh agensi kutipan atau mahkamah.
Jika anda kerap menggunakan hampir 90% daripada had kad kredit atau mempunyai banyak pinjaman aktif pada satu-satu masa, ini boleh memberi gambaran negatif kepada pihak bank tentang tahap komitmen kewangan anda. Sebaliknya, jika anda hanya menggunakan sebahagian kecil daripada had kredit, ia menunjukkan bahawa anda seorang yang bijak mengurus perbelanjaan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada hutang.
Individu yang telah lama mempunyai rekod kredit yang bersih dan konsisten biasanya akan mempunyai skor lebih tinggi berbanding mereka yang baru sahaja mula menggunakan kemudahan kredit. Selain itu, jenis pinjaman yang anda gunakan juga diambil kira. Campuran antara kad kredit dan pinjaman jangka panjang seperti pinjaman kereta atau perumahan boleh membantu menstabilkan skor anda, asalkan ia diurus dengan baik.
Skor CTOS anda turut mengambil kira kepelbagaian jenis kredit yang dimiliki, seperti kad kredit, pinjaman peribadi, dan pinjaman rumah. Mempunyai gabungan akaun kredit yang diurus dengan baik boleh memberikan gambaran kewangan yang lebih stabil kepada pihak bank. Namun begitu, ini bukanlah faktor penentu utama dalam penilaian skor anda. Jika anda hanya mempunyai satu atau dua jenis kredit, itu sudah memadai dan tidak perlu membuka akaun baru semata-mata untuk menambah variasi.
Jika anda kerap memohon pinjaman atau kad kredit dalam masa yang singkat, pihak bank akan menganggap anda terdesak dan berisiko tinggi. Justeru itu, amat penting untuk anda merancang permohonan kewangan dengan teliti dan elakkan permohonan yang tidak perlu.

Apakah kesan jika Skor Kredit rendah dan bagaimanakah cara untuk tingkatkan skor?

Skor kredit amat penting untuk pihak bank atau institusi kewangan untuk menilai kelayakan anda dari segi kewangan. Tanpa skor yang baik, ianya akan menjejaskan kelayakan anda untuk memohon sebarang jenis pinjaman.

Jadual Skor Kredit Di Malaysia

Skor kredit biasanya dinilai dalam julat antara 300 hingga 850. Skor di bawah 650 dianggap kurang memuaskan, manakala skor yang melebihi 700 menunjukkan rekod kewangan yang kukuh dan disiplin yang tinggi dalam mengurus hutang. Oleh itu, amat penting untuk setiap individu memahami kedudukan skor mereka dan mengambil langkah untuk mengekalkannya pada tahap yang baik.

Berikut ialah panduan umum untuk memahami kategori skor kredit dan maksudnya:

Julat SkorPenilaianTafsiran Ringkas
744 - 850CemerlangSangat dipercayai, mudah lulus pinjaman dengan kadar faedah rendah dan syarat fleksibel.
718 - 743Sangat BaikBerisiko rendah, peluang tinggi untuk kelulusan pinjaman dengan syarat menarik.
697 - 717BaikAtas purata, permohonan pinjaman biasanya diluluskan dengan syarat standard.
651 - 696SederhanaPerlu penambahbaikan, pinjaman mungkin diluluskan dengan syarat lebih ketat atau kadar lebih tinggi.
529 - 650RendahBerisiko, sukar dapat pinjaman kecuali dengan cagaran atau kadar faedah tinggi.
300 - 528Sangat RendahRisiko tinggi, hampir tiada peluang untuk pinjaman diluluskan tanpa jaminan kukuh.
Tiada SkorTiada SejarahBelum cukup maklumat kredit, pihak bank sukar menilai risiko peminjam.

Soalan lazim mengenai Skor Kredit di Malaysia

Ketahui soalan-soalan lazim mengenai Skor Kredit di bawah:

Anda boleh semak skor kredit anda melalui penyedia laporan kredit seperti CTOS, Experian, dan juga eCCRIS. CTOS dan Experian menyediakan akses kepada laporan skor kredit peribadi dengan pendaftaran secara percuma, manakala eCCRIS pula dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia dan memberikan maklumat laporan kewangan berdasarkan data institusi kewangan tempatan.
Tidak. Menyemak skor kredit anda sendiri dikategorikan sebagai soft inquiry dan ia tidak akan memberi kesan negatif terhadap skor anda. Malah, anda digalakkan untuk menyemaknya secara berkala bagi memastikan tiada kesilapan dalam laporan dan untuk memantau tahap kewangan anda.
CTOS ialah agensi pelaporan kredit swasta yang mengumpul data daripada pelbagai sumber termasuk notis mahkamah, syarikat, dan individu. Manakala, CCRIS pula ialah sistem laporan kredit yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia dan hanya mengumpul data daripada institusi kewangan yang melaporkan secara bulanan. Kedua-duanya penting untuk penilaian kredit oleh pihak bank.
Tidak semestinya tinggi. Jika anda tidak mempunyai sebarang rekod kredit, institusi kewangan tidak mempunyai asas untuk menilai kebolehpercayaan anda. Ini boleh menyebabkan skor anda rendah atau anda tidak mempunyai skor langsung. Membina sejarah kredit yang sihat adalah penting walaupun anda belum pernah berhutang.
Kebanyakan rekod negatif seperti bayaran tertunggak atau tindakan undang-undang akan kekal dalam laporan kredit selama lima tahun dari tarikh penyelesaian. Oleh itu, penting untuk menyelesaikan tunggakan secepat mungkin agar rekod anda dapat dibersihkan lebih awal.

Ingin belajar lebih lanjut tentang pinjaman?
Kami boleh bantu anda.

Kami ada alat, panduan, dan pelbagai lagi untuk bantu anda mencari pinjaman bersesuaian