14 Bank Sudah Tawar Pembiayaan Sewa Beli Kaedah Pengurangan Baki

KONGSI

Sebanyak 14 daripada 20 institusi perbankan yang menyediakan pembiayaan sewa beli di Malaysia kini telah melaksanakan Kaedah Pengurangan Baki untuk mengira faedah anda, setakat 18 September 2026.

Enam Bank Lagi Bakal Menyusul Menjelang Disember

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, baki enam bank lagi dijangka siap beralih kepada kaedah baharu ini selewat-lewatnya 31 Disember 2026. Ini berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan kementerian dengan institusi perbankan berkenaan. Angka ini meningkat drastik berbanding hanya 11 penyedia yang mula beroperasi di bawah rangka kerja baharu pada 1 Jun 2026.

Beliau turut berkongsi bahawa 429 entiti, terdiri daripada bank dan syarikat sewa beli, berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia (AHPCM). Kenyataan ini dibuat pada sidang media sempena penutup Festival Pengguna (CONFEST) 2026 di Stadium Batu Kawan pada 19 September 2026.

Sasaran 80% Menjelang Akhir Tahun

Kementerian mahu 80 peratus penyedia sewa beli menawarkan pembiayaan patuh Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 menjelang akhir tahun ini. Penyedia yang belum bersedia diberi tempoh penyesuaian sehingga 31 Mac 2027, manakala kewajipan pematuhan sepenuhnya bermula 1 April 2027.

Kaedah Lama Bebankan Peminjam Yang Nak Selesai Awal

Di bawah kaedah kadar rata dan Peraturan 78 yang lama, sebahagian besar bayaran ansuran pada tahun-tahun awal pinjaman digunakan untuk faedah, manakala hanya sebahagian kecil untuk bayaran prinsipal. Ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal masih terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi, walaupun sudah membayar ansuran bertahun-tahun.

Contoh Pengiraan Kesan Kepada Peminjam Yang Selesaikan Pinjaman Awal 

Sebagai ilustrasi, andaikan pinjaman sewa beli berjumlah RM50,000 dengan tempoh lima tahun (60 bulan) dan kadar faedah rata 3.5% setahun. Ini menghasilkan jumlah faedah keseluruhan RM8,750 dengan ansuran bulanan sekitar RM979. 

Kalau peminjam selesaikan pinjaman pada bulan ke-24, iaitu baru menggunakan 40% daripada tempoh 60 bulan, kaedah lama (Peraturan 78) hanya memberi rebet sebanyak 36.4% daripada jumlah faedah. Ini bermakna peminjam masih perlu bayar RM5,566 daripada RM8,750 faedah asal, iaitu 64% daripada jumlah faedah walaupun baru menggunakan 40% tempoh pinjaman. Di bawah kaedah pengurangan baki pula, tiada faedah masa depan yang dicaj terlebih dahulu, peminjam hanya membayar faedah untuk tempoh sebenar mereka pegang pinjaman. 

Sebagai peringatan kepada anda, angka di atas untuk tujuan ilustrasi sahaja berdasarkan kadar dan tempoh andaian, kadar sebenar berbeza mengikut bank dan produk.

Faedah Kini Dikira Berdasarkan Baki Pinjaman Semasa

Pindaan akta yang berkuat kuasa 1 Jun 2026 ini bawa dua perubahan besar kepada anda sebagai peminjam iaitu Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif, menggantikan kaedah kadar faedah tetap sama rata dan Peraturan 78 (Rule of 78). “Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus kepada pengguna,” kata Armizan. 

Menurut KPDN, pindaan ini terpakai kepada semua pinjaman kadar tetap dan kadar boleh ubah. Sebaik peminjam melunaskan baki pinjaman, tiada faedah tambahan boleh dikenakan, jadi konsep “rebat” yang diamalkan di bawah Akta Sewa Beli 1967 tidak lagi diperlukan.

Perjanjian Sedia Ada Tidak Terjejas Kecuali Persetujuan Bersama

Pindaan ini hanya terpakai secara automatik kepada perjanjian sewa beli baharu yang dimeterai selepas Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa. Perjanjian yang telah ditandatangani sebelum itu kekal tertakluk kepada terma asal yang dipersetujui. Peminjam dan penyedia sewa beli boleh, secara persetujuan bersama, beralih kepada kaedah pengurangan baki, tertakluk kepada kesediaan sistem penyedia berkenaan.

Semak Status Penyedia Sebelum Tandatangan Perjanjian Sewa Beli 

Kalau anda sedang merancang untuk membuat pembiayaan kenderaan secara sewa beli, semak dahulu sama ada penyedia anda sudah beroperasi di bawah kaedah baharu ini sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen