Akta Sewa Beli Baharu Berkuat Kuasa 1 Jun, Kaedah Pengiraan Faedah Kini Berubah

KONGSI

Mulai 1 Jun 2026, sistem sewa beli di Malaysia akan mengalami perubahan secara rasmi. Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 kini berkuat kuasa dan 11 institusi kewangan serta syarikat sewa beli sudah bersedia untuk menawarkan pinjaman di bawah rangka kerja baharu ini.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Fasa Kedua Dijangka Bermula September Ini

Buat masa ini, 11 penyedia sahaja yang beroperasi di bawah rangka kerja baharu. Penyedia lain yang masih dalam proses menaik taraf sistem diberi tempoh sehingga 31 Mac 2027. Fasa kedua yang melibatkan lebih ramai penyedia pula disasarkan pada September 2026.

Jika anda  merancang untuk mengambil pembiayaan kenderaan, semak dahulu sama ada penyedia anda sudah beroperasi di bawah akta yang dipinda sebelum menandatangani sebarang perjanjian sewa beli.

Kaedah Rule of 78 Dimansuhkan

Perubahan paling besar dalam akta baharu ini adalah kadar faedah rata dan kaedah Rule of 78 tidak lagi diguna pakai.

Kaedah Rule of 78 sebelum ini mendapat pelbagai kritikan kerana membebankan peminjam dengan bayaran faedah yang tinggi pada tahun-tahun awal pinjaman. Akibatnya, ramai yang mendapati baki tertunggak mereka masih besar walaupun sudah membayar ansuran selama beberapa tahun dan mereka yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal tidak mendapat manfaat yang setimpal.

Kaedah Baki Berkurangan Pula Mengambil Alih

Di bawah akta baharu, faedah kini dikira menggunakan kaedah baki berkurangan (reducing balance) dan kadar faedah efektif (effective interest rate) untuk pinjaman sewa beli kadar tetap.

Ini bermakna faedah dikira berdasarkan baki pinjaman yang masih berbaki, bukan jumlah pinjaman asal. Penyelesaian awal kini lebih telus dan adil kerana peminjam hanya membayar faedah untuk tempoh yang sebenar mereka menggunakan wang tersebut.

Armizan berkata perubahan ini bertujuan untuk mewujudkan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan kompetitif untuk pengguna Malaysia.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen